Tuesday, September 26, 2017

BAHANA DUNIA GLAMOUR


DITIPUKAMERA
DAN LAMPU SOROT
RAMAI di kalangan teman-teman rapat, teman-teman sekolah mahupun jiran, tidak tahu apakah jawatan saya sekarang. Pada asasnya, mereka hanya tahu saya bekerja di akhbar Sinar Harian. Itu jugalah gambaran yang saya ingin ketengahkan kepada sesiapa pun.
Malah, di kalangan orang akhbar pun, saya tidak dikenali. Dan, saya tidak kisah kerana saya tidak mahu ke hadapan kerana menuruti organisational role yang saya mainkan. Saya punyai seorang pegawai yang lebih senior lagi berpengalaman dalam organisasi syarikat ~ Datuk Abdul Jalil Ali.
Beliau adalah orang surat khabar totok kerana menaiki tangga kerjayanya dari seorang wartawan cabuk hingga kini menjadi Penasihat Editorial majalah dan akhbar syarikat. Meskipun, beliau selalunya berkata ‘yes’ kepada hampir semua cadangan saya, namun satu ‘no’ beliau cukup buatkan saya angguk dan akur, ala sami'na wa atho'na. Begitulah hormat saya kepada dia.
Oleh kerana kedudukan dan pengalamannya, Datuk Jalil akan menghadiri mesyuarat, taklimat dan program di luar samada di peringkat kementerian mahupun dalam perhubungan dengan pelbagai organisasi luar. Saya pula memainkan peranan sebagai orang dalam dan orang belakang tabir.
Namun, keadaan sedikit berubah apabila saya ditugaskan sebagai Setiausaha Sekretariat SINAR4ROHINGYA. Selain daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras, saya juga perlu tampil menyertai temubual di TV,  menjadi panel forum serta membuat kenyataan akhbar mengenai hal-hal bantuan untuk etnik Rohingya.
Peranan itu membuatkan saya perlu keluar ke hadapan khalayak. Ia adalah organisational role baharu yang semestinya saya laksanakan. Namun, ia merubah sisi imej saya di mata mereka yang mengenali saya. Saya dianggap berketrampilan, individu yang lebih serius dan berpersonaliti. Malah, ada yang rapat dengan saya menganggap saya sudah jauh dan lain dari saya yang lazimnya. Masya-ALLAH.
Sebenarnya, saya mahupun sesiapa pun akan nampak berlainan dan lebih hebat apabila muncul di media, samada di media cetak mahupun di media elektronik. Rakan sekolah kita yang sering diejek dan dipersenda boleh mengubah persepsi kita semata-mata jika dia tampil di skrin televisyen sebagai penceramah, penyanyi, ustaz mahupun sebagai pak menteri! Padahal secara asasnya, dia adalah orang yang sama.
Lampu sorot dan kerlipan kamera itu sebenarnya boleh manjadikan seseorang yang biasa itu kelihatan hebat. Serupalah apabila kita melihat kawan kita yang ala-ala itu menjadi bak puteri di hari persandingannya. Kita terpesona dan lihat dia menjadi orang lain. Manakan tidak. Bukankah dia dihias lebih sejam oleh mak andam, sedangkan pada hari biasa, dia hanya tepuk-tepuk pipinya dengan bedak, calit sedikit gincu, kemam-kemam bibir dan dah… siap untuk keluar pergi pasar malam!
Orang sekarang juga dah tidak malu dengan kamera. Lagi banyak kamera, lagi meliuk dia berposing untuk swafotonya. Untuk pak menteri misalnya, posing dia bersalaman boleh dirakam tiga empat kali untuk mendapat posisi yang menarik. Buat seorang model pula, dalam 20 syot wajahnya diambil, pastilah salah satu daripada syot yang terpilih itu memperlihatkan wajahnya yang cantik, kata orang sekarang… flawless!
Andainya tidak begitu lawa pun, perisian di kamera mahupun di komputer boleh sahaja membuat touch-up agar segala bintik dan bopeng di wajah itu dapat dipadam dan digilap menjadi berseri-seri. Jadi, apa yang hebatnya, apa yang glamournya seseorang itu jika dia menjadi fokus kamera dan lampu?
Betapa pun, imej itulah yang bisa mempersona dan memukau hingga seseorang yang biasa itu kelihatan luarbiasa. Kerana itu, kita pun boleh tertipu dengan permainan silap mata kamera dan lampu ini. Malang sekali seandainya kita yang disirami lampu dan kerlipan kamera ini silau hingga akhirnya sirna dari diri sendiri yang sebenarnya serupa juga dengan insan-insan yang lain. Memang itu salah diri kita sendiri yang perasan!
Hebat kita, bukan kerana kulit, tetapi isi.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.9.17.

Tuesday, September 19, 2017

MENYATU UMMAH




Islam hashtag

HASRAT BESAR

SINAR4ROHINGYA


RABU dua minggu lalu, saya menerima mesej daripada Puan Suhaida, Setiausaha kepada bos saya, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub. Mesejnya ringkas, ‘Haji nak jumpa!’ ‘Haji’ adalah gantinama yang orang lama Karangkraf biasa gunakan untuk bos saya.
Hati saya lantas berkata, ‘Aduh, kenapa Tuan Haji nak jumpa aku petang-petang, ni.’ Lazimnya, mesej yang sebegini menandakan yang bos saya hendak berbincang sesuatu yang penting. Dan, saya mesti laksanakannya kerana lazimnya  deadline akan diberi sebelum keluar dari bilik pejabatnya.
Sebaik sahaja saya menguak daun pintu ofisnya, beberapa pasang mata menoleh memandang saya. Ada Lan, Laila, Naqui, Mey, Yatt, Marhaini dan bos Jalil. Semuanya mereka jenis ‘gurka gempur batu’ istilah yang bos saya umpamakan kepada mereka yang boleh buat apa jua kerja sehingga ‘mission accomplished!’
Saya pun duduk diam-diam dan pasang telinga. Datuk menyampaikan hasratnya untuk membantu masyarakat etnik Rohingya yang kini teraniaya, malah terseksa di negara mereka sendiri. Ramai yang didera, dibunuh, dibakar, dan diperkosa. Beratus ribu daripada mereka lari meninggalkan Myanmar memasuki sempadan Bangladesh. Ramai juga yang lari ikut jalan darat atau mengharung samudera hinga sampai ke negara kita.
Sebetulnya, saya mengikuti perkembangan yang berlaku di negara itu. Memang hati saya tersayat melihat video yang tular mahupun melalui laman-laman sosial dan juga televisyen mengenai bangsa ini. Sedihnya melebihi sayu hati melihat rakyat Palestin. Bangsa Palestin adalah  bangsa berani yang melawan musuh Yahudi meskipun dengan membaling batu.
Tetapi bangsa Rohingya ini hanya mampu bercempera lari apabila askar-askar Myanmar memasuki kampung mereka sebelum membakarnya. Mereka tidak pandai melawan. Mungkin kerana mereka tiada pemimpin yang berani membakar semangat. Itulah sebabnya mereka hanya tahu lari, lari dan lari. Hati saya lebih pilu apabila memikirkan apa yang akan terjadi pada bangsa saya andainya mereka tidak lagi punyai pemimpin yang berani!
Taklimat dan arahan yang diberi boleh bos saya hanya sekitar 30 minit. Namun, hasratnya amat besar dan murni. Bersandarkan semangat QuranHour iaitu mendalami al-Quran dengan semangat ‘Bangsa Berbudi & Penyayang,’ kami yang mendengar taklimat itu dipinta untuk mentafsirnya kepada suatu gerakan untuk membantu bangsa Rohingya dengan menghimpun dana.
Kemudian, kutipan itu akan diserahkan kepada mereka yang boleh menyampaikannya kepada bangsa itu. Mudahnya jika tugasan yang diberi itu hanya mengumpul wang dan kemudian mengamanahkan kepada mana-mana pihak yang boleh menyalurkannya.  Jika ia seperti lain-lain bentuk kutipan yang biasa dilakukan, ia amat senang. Buat iklan di akhbar Sinar Harian, Sinar Online dan Sinar.TV serta berikan nombor akaun; dalam masa seminggu sahaja dana akan terkumpul. Kemudian buatlah majlis penyerahan cek. Ambil foto lip-lap-lip-lap… dan selesailah tugas berat tetapi penuh glamor itu.
Tetapi tidak. Bos saya punyai idea yang lebih unik daripada itu. Dia mahu Sinar Harian main peranan sebagai pemudahcara kepada NGO-NGO yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan untuk bangsa Rohingya di lapangan. Dia mahu kesemua NGO-NGO itu bersatu hati dan bersatu tenaga serta bergerak seiring bahu dalam melakukan kerja-kerja itu.
Maka, kami dipinta untuk membuat iklan bagi mengumpul dana. Kemudiannya, menghubungi sebanyak mungkin NGO untuk mempelawa mereka bersama-sama membela nasib bangsa Rohingya. Alhamdulilah. Pada hari Rabu, 6 September taklimat diberi, pada hari Jumaat, 8 September berikutnya iaitu dalam masa 48 jam, 104 NGO tampil di Dewan Karangkraf untuk sama-sama menunjukkan sokongan.
Pada petang pertemuan itu sendiri pun, lebih RM30,000 telah terkumpul. Pada hari Selasa berikutnya, mesyuarat pertama untuk memilih Jawatankuasa Penyelaras telah diadakan. Dan pada hari Selasa minggu berikutnya, iaitu 12 hari setelah penubuhannya, Jawatankuasa Penyelaras sudah merangka program di mana RM200,000 mesti dikeluarkan untuk kegunaan membeli makanan, peralatan asas diri, khemah dan juga tandas untuk lebih 1,000 keluarga! Dengan penggunaan RM200,000, hanya tinggal RM100,000 sahaja wang yang tinggal. Namun, kami percaya, wang kutipan akan datang lagi dan lagi dan lagi seperti mata air yang memenuhi telaga. Pada saat ini pun, beberapa anggota NGO sudahpun berada di lapangan untuk menjalankan tanggungjawab membantu bangsa yang malang ini.
Dalam pada itu, ada banyak NGO-NGO lain, yang tidak menjalankan aktiviti kemanusiaan telah sanggup menjalankan kerja-kerja untuk mengumpul dana. Sesungguhnya ini adalah suatu gerakan yang besar untuk kemanusiaan. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat bantu sebuah bangsa yang hendak rebah ini untuk berdiri dengan gagah kembali seperti nenek moyang bangsa Rohingya dahulu.
Terima kasih kepada anda semua!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.9.17.

Thursday, September 14, 2017

PERANG BENAR DAN BATIL DI ALAM SIBER



Piccredit: adrianhasissues

CYBER WARRIOR
LAWAN CYBER TROOPER

DARI semasa ke semasa, apabila timbul sesuatu isu yang punyai kepentingan  awam, kita akan dapati pihak media segera mendapatkan komen-komen daripada pakar-pakar daripada bidang-bidang yang berkaitan.
Apabila terjadi ribut taufan Irma di Florida baharu-baharu ini, media di sana mendapatkan ulasan daripada pakar-pakar kajicuaca, geografi, mateorologi, seismologi dan juga oceanografi. Skop ilmu terhadap sesuatu bidang itu semakin luas dan kita biasanya akan mendapat maklumat, malah ilmu baharu yang lebih terperinci daripada cendekiawan-cendekiawan ini.
Pada waktu yang sama muncul pula pakar-pakar segera yang mengulas kejadian alam itu. Mereka memperkatakan mengenai isu itu hanya dengan merujuk bahan bacaan masing-masing di Prof. Google.
Mereka petik daripada fragmen-fragmen berita, catatan di blog, Facebook, Twitter dan cebisan-cebisan video di Youtube. Komen-komen mereka lazimnya disalut sensasi seolah-olah apa yang diulas itu seolah-olah seperti pandangan pakar juga. Beriya-iya sehinggakan kita turut percaya dan berkata, ‘ya, ya,’ di dalam hati.
Di negara kita pun apa kurangnya. Misalnya, baharu-baharu ini, apabila timbul berita perhimpunan kaum Rohingya di Jalan Ampang, banyak sekali komen ala-ala pakar ekonomi, sosial dan juga politik.
Ada juga yang lebih berani yang memberi komen daripada sudut sejarah tentang kepalsuan identiti kaum Rohingya di Myanmar. Padahal, ulasan tiga suku masak itu dipetik daripada laman-laman web yang tidak sahih. Kononnya hendak menjadi cyber warrior, tetapi sebenarnya hanya cyber scum ~ sampah siber yang patut sekali dienteng-entengkan.
Namun, apabila persepsi itu diulangtayang, diperbesar dan ditular, maka pandangan masyarakat akan mudah mempercayainya. Komen dan ulasan mereka yang menyamar menjadi pakar itulah yang lazimnya menjelmakan sesuatu persepsi itu menjadi realiti.
Bahayanya ialah, persepsi yang negatif itu akan dipercayai sebagai sesuatu yang benar. Ia benar-benar akan mengubah public opinion. Dan, public opinion yang terpapar di internet itu lebih berbahaya kerana jika ia palsu, masyarakat yang percaya sesuatu yang tidak betul dan memberi reaksi yang tidak betul juga. Mempercayai sesuatu yang salah akan mengakibatkan kita salah bertindak.
Soalnya di sini, bagaimanakah kita berdepan untuk membanteras sesuatu yang tidak benar itu? Andainya kita seorang individu dan kita berdepan pula dengan fitnah yang mencemarkan nama baik, cara yang tepat menanganinya ialah dengan berdiam diri sehingga sesuatu fitnah itu mati begitu sahaja.
Kita semua berada dalam dunia yang serba-serbi laju dan begitu cepat berubah. Banyak pula hal-hal yang boleh mengalih perhatian kita dalam masa beberapa saat. Lebih-lebih lagi apabila kita punyai telefon pintar; ingatan kita mengenai sesuatu perkara itu akan lebih singkat kerana belum pun sempat kita menghazam sesuatu perkara, perkara lain pula yang muncul.
Kerana itu, sesuatu yang menjadi topik bualan yang hangat pada hari ini akan begitu cepat dilupakan pada keesokkan harinya. Orang tak akan ingat masalah kita sebab ada beratus-ratus masalah baharu yang menjadi perhatian pada hari esoknya.
Seandainya ia masih menular dalam masa dua-tiga hari, adalah bagus jika suatu laporan polis dibuat dan kita menularkan pula langkah kita itu di laman sosial. Dengan cara itu, yang heboh dan kepoh itu akan senyap-senyap mengundur diri ataupun terus memadam status yang boleh dijadikan bukti untuk tindakan undang-undang terhadapnya.
Tetapi, bagaimana pula seandainya ia sesuatu isu yang begitu besar dan tidak henti-henti diperkatakan oleh ratusan netizen? Jika kita berdiam diri, komen serta kongsi akan menular dan kekal diperkatakan. Kadangkala, apa yang sudah sejuk akan panas kembali seandainya ia diperkatakan oleh orang yang baharu mengetahuinya meskipun setelah berbulan berlalu
Apa pula yang patut dilakukan pada sesuatu perkara yang diperkatakan secara negatif oleh ratusan malah ribuan netizen? Jawabnya, kita perlu menjawab secara besar-besaran juga. Bukan secara api dilawan dengan api, tetapi api dilawan dengan air.
Itulah yang sebenarnya terjadi pada pandangan-pandangan negatif terhadap isu Rohingya baru-baru ini. Apabila komen-komen negatif mula menular dan meliar, ramai aktivis NGO yang turun padang untuk membalas balik komen-komen yang negatif itu.
Hanya beberapa hari isu negatif itu menular, ia disejukkan dengan pandangan-pandangan yang lebih bertanggungjawab dan hands-on oleh mereka yang berpengalaman di medan. Nampaknya, semakin sehari kita semakin nampak jalan bagaimana sesuatu yang tidak betul itu boleh dilawan dan dimenangi.

Cyber warrior mesti ditentang oleh cyber trooper. Maknanya kena punyai ramai tenaga untuk memperbetulkan yang silap. Cuma adatlah, meruntuh itu lebih mudah daripada membina; apatah lagi untuk membaikpulih.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.9.17.

Tuesday, September 5, 2017

MEMAIN PERASAAN ATAU DIMAIN PERASAAN?


MARAH DAN KETAWA
TANPA USUL PERIKSA

BARU-BARU ini saya menerima sebuah mesej berfoto di aplikasi WhatsApp mengenai suatu perhimpunan yang menimbulkan kesesakan jalanraya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Mesej itu mencatat, ia adalah pernhimpunan warga Bangladesh yang merusuh kerana dikatakan tidak dibenarkan bercuti menyambut Hari Raya Aidiladha dan Hari Kemerdekaan oleh majikan masing-masing.
Saya terus memanjangkan mesej dan foto-foto itu kepada team Sinar Online. Oleh kerana petugas Sinar Online sentiasa menghadap komputer, mereka boleh mencari kesahihan mesej yang tular itu. Benar. Dalam tempoh beberapa minit, saya mendapat maklumbalas bahawa mesej dan foto yang tular itu sebenarnya bukannya perhimpunan warga Bangladesh yang mengamuk kerana tidak dapat cuti raya.
Sebaliknya, ia adalah foto sekumpulan kaum Rohingya yang beremosi. Mereka datang beramai-ramai ke kedutaan Myanmar untuk memberi sokongan kepada NGO-NGO Malaysia yang ke sana untuk menyerahkan memorandum bantahan. Aktivis NGO-NGO Malaysia itu datang dan mendesak untuk bertemu dengan Duta Myanmar untuk menyerahkan memorandum bantahan itu. Malangnya dutanya tidak muncul. Yang keluar untuk mengambil memorandum itu hanyalah seorang derebar kedutaan. Tentu sekali kaum Rohingya yang hadir untuk memberi sokongan kepada NGO-NGO Malaysia itu naik marah dan mengamuk.
Apabila mendapat tahu mengenai hal sebenar mesej dan foto tular itu, saya berasa kesal, terkilan dan kecewa. Kaum Rohingya dipandang hina kerana tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar sehinggakan dutanya tidak bersikap diplomatik sebagaimana etika seorang duta. Jika tidak mengiktiraf kaum Rohingya, apa salahnya menghormati tetamu daripada Malaysia, bertukar senyuman, bersalam-salaman, melambai-lambai, menerima memorandum untuk mengambil hati bagi menenangkan keadaan? Itulah peribadi seorang duta yang mengutamakan diplomatical engagement. Sama ada setuju atau tidak dengan memorandum itu,  yes or no, boleh disuarakan kemudian.
Pada keesokannya saya terserempak dengan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia(MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, ataupun Cikgu Azmi di program World Quran Hour, di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIA. Lantas saya bertanya mengenai cerita yang tular itu. Beliau mengesahkan, memang benar MAPIM dan beberapa NGO Malaysia ke sana untuk menyerahkan memorandum bantahan di atas tindakan zalim kerajaan Myanmar terhadap kaum Rohingya di negara itu.
Lalu saya ambil keputusan untuk menghebahkan cerita yang sebenar di Sinar Online, SinarTV dan juga akhbar bercetak. Kenalah betulkan mesej dan foto tular itu. Sebagai sebuah akhbar, Sinar Harian  bukan sahaja berperanan untuk menyampaikan berita atau menghebahkan masalah agar ia diatasi. Malah, akhbar ini turut berperanan untuk memperbetul apa jua persepsi yang tidak tepat mengenai sesuatu peristiwa atau isu yang terjadi.
Malangnya, apabila berita yang betul dipaparkan, sebahagian besar para pembaca di talian terus menempelak kaum Rohingya. Ada yang mengatakan mereka patut dihantar pulang ke negara mereka. Mereka tidak patut tinggal di negara ini kerana menyusahkan. Mereka juga dikhuariti akan menimbulkan masalah sosial sebagai pendatang. Malah, ada yang mengatakan bahawa kaum ini akan mengambil alih ekonomi di negara ini!
Apabila saya menatap komen-komen para pembaca, saya mula sedar bahawa masyarakat sebenarnya tidak didedahkan  dengan apa yang dihadapi oleh kaum Rohingya di negara Myanmar hingga mereka menjadi pelarian ke negara ini. Ramai yang tidak tahu, nasib mereka lebih malang daripada nasib warga Palestin sendiri kerana mereka sedang berdepan dengan pembersihan etnik!
Saya mula sedar bahawa pihak media di negara ini belum cukup memberi liputan yang komprehensif dan holistik mengenai masalah kaum Rohingya. Jika tidak, mengapa ramai sekali rakyat Malaysia mudah sangat melepas cakap terhadap kaum yang malang ini. Mereka menyamakan kaum ini dengan warga Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Filipina, Thailand dan Cina. Membuat persepsi secara generalisation atau pukul rata bahawa semua pendatang adalah sama sahaja.
Kerana tidak mendapat maklumat yang sebenarnya, orang kita tidak fasal-fasal menyuarakan kemarahan tanpa sekelumit rasa belas kasihan. Memang, zaman ini, zaman orang mudah sangat marah-marah. Dalam pada itu, mereka juga mudah sangat sukakan sesuatu. Seolah-olah, marah dan suka sahaja sifat yang ada pada diri mereka. Mungkin kerana sikap marah dan suka itu adalah manifestasi perasaan yang mudah buat mereka.

Tetapi, kanak-kanak pun punyai sikap asas itu… marah dan suka, menangis dan ketawa. Mudah sangat menjadi manusia jika itu sahaja perasaan yang kita ada!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.9.17.