MARAH DAN KETAWA
TANPA USUL PERIKSA
BARU-BARU ini saya menerima sebuah mesej berfoto di
aplikasi WhatsApp mengenai suatu
perhimpunan yang menimbulkan kesesakan jalanraya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Mesej itu mencatat, ia adalah pernhimpunan warga Bangladesh yang merusuh kerana
dikatakan tidak dibenarkan bercuti menyambut Hari Raya Aidiladha dan Hari
Kemerdekaan oleh majikan masing-masing.
Saya terus memanjangkan mesej dan foto-foto itu kepada
team Sinar Online. Oleh kerana petugas Sinar Online sentiasa menghadap
komputer, mereka boleh mencari kesahihan mesej yang tular itu. Benar. Dalam
tempoh beberapa minit, saya mendapat maklumbalas bahawa mesej dan foto yang tular
itu sebenarnya bukannya perhimpunan warga Bangladesh yang mengamuk kerana tidak
dapat cuti raya.
Sebaliknya, ia adalah foto sekumpulan kaum Rohingya yang
beremosi. Mereka datang beramai-ramai ke kedutaan Myanmar untuk memberi
sokongan kepada NGO-NGO Malaysia yang ke sana untuk menyerahkan memorandum
bantahan. Aktivis NGO-NGO Malaysia itu datang dan mendesak untuk bertemu dengan
Duta Myanmar untuk menyerahkan memorandum bantahan itu. Malangnya dutanya tidak
muncul. Yang keluar untuk mengambil memorandum itu hanyalah seorang derebar
kedutaan. Tentu sekali kaum Rohingya yang hadir untuk memberi sokongan kepada
NGO-NGO Malaysia itu naik marah dan mengamuk.
Apabila mendapat tahu mengenai hal sebenar mesej dan foto
tular itu, saya berasa kesal, terkilan dan kecewa. Kaum Rohingya dipandang hina
kerana tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar sehinggakan dutanya tidak
bersikap diplomatik sebagaimana etika seorang duta. Jika tidak mengiktiraf kaum
Rohingya, apa salahnya menghormati tetamu daripada Malaysia, bertukar senyuman,
bersalam-salaman, melambai-lambai, menerima memorandum untuk mengambil hati
bagi menenangkan keadaan? Itulah peribadi seorang duta yang mengutamakan
diplomatical engagement. Sama ada setuju atau tidak dengan memorandum itu, yes or
no, boleh disuarakan kemudian.
Pada keesokannya saya terserempak dengan Presiden Majlis
Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia(MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, ataupun
Cikgu Azmi di program World Quran Hour, di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIA.
Lantas saya bertanya mengenai cerita yang tular itu. Beliau mengesahkan, memang
benar MAPIM dan beberapa NGO Malaysia ke sana untuk menyerahkan memorandum
bantahan di atas tindakan zalim kerajaan Myanmar terhadap kaum Rohingya di
negara itu.
Lalu saya ambil keputusan untuk menghebahkan cerita yang
sebenar di Sinar Online, SinarTV dan juga akhbar bercetak. Kenalah betulkan
mesej dan foto tular itu. Sebagai sebuah akhbar, Sinar Harian bukan sahaja berperanan untuk menyampaikan
berita atau menghebahkan masalah agar ia diatasi. Malah, akhbar ini turut
berperanan untuk memperbetul apa jua persepsi yang tidak tepat mengenai sesuatu
peristiwa atau isu yang terjadi.
Malangnya, apabila berita yang betul dipaparkan,
sebahagian besar para pembaca di talian terus menempelak kaum Rohingya. Ada
yang mengatakan mereka patut dihantar pulang ke negara mereka. Mereka tidak patut
tinggal di negara ini kerana menyusahkan. Mereka juga dikhuariti akan
menimbulkan masalah sosial sebagai pendatang. Malah, ada yang mengatakan bahawa
kaum ini akan mengambil alih ekonomi di negara ini!
Apabila saya menatap komen-komen para pembaca, saya mula
sedar bahawa masyarakat sebenarnya tidak didedahkan dengan apa yang dihadapi oleh kaum Rohingya
di negara Myanmar hingga mereka menjadi pelarian ke negara ini. Ramai yang
tidak tahu, nasib mereka lebih malang daripada nasib warga Palestin sendiri
kerana mereka sedang berdepan dengan pembersihan etnik!
Saya mula sedar bahawa pihak media di negara ini belum
cukup memberi liputan yang komprehensif dan holistik mengenai masalah kaum
Rohingya. Jika tidak, mengapa ramai sekali rakyat Malaysia mudah sangat melepas
cakap terhadap kaum yang malang ini. Mereka menyamakan kaum ini dengan warga
Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Filipina, Thailand dan Cina. Membuat persepsi
secara generalisation atau pukul rata
bahawa semua pendatang adalah sama sahaja.
Kerana tidak mendapat maklumat yang sebenarnya, orang
kita tidak fasal-fasal menyuarakan kemarahan tanpa sekelumit rasa belas
kasihan. Memang, zaman ini, zaman orang mudah sangat marah-marah. Dalam pada
itu, mereka juga mudah sangat sukakan sesuatu. Seolah-olah, marah dan suka
sahaja sifat yang ada pada diri mereka. Mungkin kerana sikap marah dan suka itu
adalah manifestasi perasaan yang mudah buat mereka.
Tetapi, kanak-kanak pun punyai sikap asas itu… marah dan
suka, menangis dan ketawa. Mudah sangat menjadi manusia jika itu sahaja
perasaan yang kita ada!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.9.17.
No comments:
Post a Comment