Piccredit: adrianhasissues
CYBER WARRIOR
LAWAN CYBER TROOPER
LAWAN CYBER TROOPER
DARI semasa ke semasa, apabila timbul sesuatu isu yang
punyai kepentingan awam, kita akan
dapati pihak media segera mendapatkan komen-komen daripada pakar-pakar daripada
bidang-bidang yang berkaitan.
Apabila terjadi ribut taufan Irma di Florida
baharu-baharu ini, media di sana mendapatkan ulasan daripada pakar-pakar
kajicuaca, geografi, mateorologi, seismologi dan juga oceanografi. Skop ilmu
terhadap sesuatu bidang itu semakin luas dan kita biasanya akan mendapat maklumat,
malah ilmu baharu yang lebih terperinci daripada cendekiawan-cendekiawan ini.
Pada waktu yang sama muncul pula pakar-pakar segera yang
mengulas kejadian alam itu. Mereka memperkatakan mengenai isu itu hanya dengan
merujuk bahan bacaan masing-masing di Prof. Google.
Mereka petik daripada fragmen-fragmen berita, catatan di
blog, Facebook, Twitter dan
cebisan-cebisan video di Youtube.
Komen-komen mereka lazimnya disalut sensasi seolah-olah apa yang diulas itu
seolah-olah seperti pandangan pakar juga. Beriya-iya sehinggakan kita turut
percaya dan berkata, ‘ya, ya,’ di dalam hati.
Di negara kita pun apa kurangnya. Misalnya, baharu-baharu
ini, apabila timbul berita perhimpunan kaum Rohingya di Jalan Ampang, banyak
sekali komen ala-ala pakar ekonomi, sosial dan juga politik.
Ada juga yang lebih berani yang memberi komen daripada
sudut sejarah tentang kepalsuan identiti kaum Rohingya di Myanmar. Padahal,
ulasan tiga suku masak itu dipetik daripada laman-laman web yang tidak sahih.
Kononnya hendak menjadi cyber warrior,
tetapi sebenarnya hanya cyber scum ~
sampah siber yang patut sekali dienteng-entengkan.
Namun, apabila persepsi itu diulangtayang, diperbesar dan
ditular, maka pandangan masyarakat akan mudah mempercayainya. Komen dan ulasan
mereka yang menyamar menjadi pakar itulah yang lazimnya menjelmakan sesuatu
persepsi itu menjadi realiti.
Bahayanya ialah, persepsi yang negatif itu akan
dipercayai sebagai sesuatu yang benar. Ia benar-benar akan mengubah public opinion. Dan, public opinion yang terpapar di internet
itu lebih berbahaya kerana jika ia palsu, masyarakat yang percaya sesuatu yang
tidak betul dan memberi reaksi yang tidak betul juga. Mempercayai sesuatu yang
salah akan mengakibatkan kita salah bertindak.
Soalnya di sini, bagaimanakah kita berdepan untuk
membanteras sesuatu yang tidak benar itu? Andainya kita seorang individu dan
kita berdepan pula dengan fitnah yang mencemarkan nama baik, cara yang tepat
menanganinya ialah dengan berdiam diri sehingga sesuatu fitnah itu mati begitu
sahaja.
Kita semua berada dalam dunia yang serba-serbi laju dan
begitu cepat berubah. Banyak pula hal-hal yang boleh mengalih perhatian kita
dalam masa beberapa saat. Lebih-lebih lagi apabila kita punyai telefon pintar;
ingatan kita mengenai sesuatu perkara itu akan lebih singkat kerana belum pun
sempat kita menghazam sesuatu perkara, perkara lain pula yang muncul.
Kerana itu, sesuatu yang menjadi topik bualan yang hangat
pada hari ini akan begitu cepat dilupakan pada keesokkan harinya. Orang tak
akan ingat masalah kita sebab ada beratus-ratus masalah baharu yang menjadi
perhatian pada hari esoknya.
Seandainya ia masih menular dalam masa dua-tiga hari,
adalah bagus jika suatu laporan polis dibuat dan kita menularkan pula langkah
kita itu di laman sosial. Dengan cara itu, yang heboh dan kepoh itu akan
senyap-senyap mengundur diri ataupun terus memadam status yang boleh dijadikan
bukti untuk tindakan undang-undang terhadapnya.
Tetapi, bagaimana pula seandainya ia sesuatu isu yang
begitu besar dan tidak henti-henti diperkatakan oleh ratusan netizen? Jika kita
berdiam diri, komen serta kongsi akan menular dan kekal diperkatakan.
Kadangkala, apa yang sudah sejuk akan panas kembali seandainya ia diperkatakan
oleh orang yang baharu mengetahuinya meskipun setelah berbulan berlalu
Apa pula yang patut dilakukan pada sesuatu perkara yang
diperkatakan secara negatif oleh ratusan malah ribuan netizen? Jawabnya, kita
perlu menjawab secara besar-besaran juga. Bukan secara api dilawan dengan api,
tetapi api dilawan dengan air.
Itulah yang sebenarnya terjadi pada pandangan-pandangan
negatif terhadap isu Rohingya baru-baru ini. Apabila komen-komen negatif mula
menular dan meliar, ramai aktivis NGO yang turun padang untuk membalas balik
komen-komen yang negatif itu.
Hanya beberapa hari isu negatif itu menular, ia
disejukkan dengan pandangan-pandangan yang lebih bertanggungjawab dan hands-on oleh mereka yang berpengalaman
di medan. Nampaknya, semakin sehari kita semakin nampak jalan bagaimana sesuatu
yang tidak betul itu boleh dilawan dan dimenangi.
Cyber warrior mesti ditentang oleh cyber trooper.
Maknanya kena punyai ramai tenaga untuk memperbetulkan yang silap. Cuma
adatlah, meruntuh itu lebih mudah daripada membina; apatah lagi untuk
membaikpulih.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.9.17.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.9.17.
No comments:
Post a Comment