DITIPUKAMERA
DAN LAMPU SOROT
DAN LAMPU SOROT
RAMAI di kalangan teman-teman rapat, teman-teman
sekolah mahupun jiran, tidak tahu apakah jawatan saya sekarang. Pada asasnya,
mereka hanya tahu saya bekerja di akhbar Sinar Harian. Itu jugalah gambaran
yang saya ingin ketengahkan kepada sesiapa pun.
Malah, di kalangan orang akhbar pun, saya tidak
dikenali. Dan, saya tidak kisah kerana saya tidak mahu ke hadapan kerana menuruti
organisational role yang saya
mainkan. Saya punyai seorang pegawai yang lebih senior lagi berpengalaman dalam
organisasi syarikat ~ Datuk Abdul Jalil Ali.
Beliau adalah orang surat khabar totok kerana menaiki
tangga kerjayanya dari seorang wartawan cabuk hingga kini menjadi Penasihat
Editorial majalah dan akhbar syarikat. Meskipun, beliau selalunya berkata ‘yes’ kepada hampir semua cadangan saya,
namun satu ‘no’ beliau cukup buatkan saya
angguk dan akur, ala sami'na wa atho'na. Begitulah hormat saya kepada
dia.
Oleh kerana kedudukan dan
pengalamannya, Datuk Jalil akan menghadiri mesyuarat, taklimat dan program di
luar samada di peringkat kementerian mahupun dalam perhubungan dengan pelbagai
organisasi luar. Saya pula memainkan peranan sebagai orang dalam dan orang
belakang tabir.
Namun, keadaan sedikit
berubah apabila saya ditugaskan sebagai Setiausaha Sekretariat SINAR4ROHINGYA.
Selain daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras, saya juga perlu
tampil menyertai temubual di TV, menjadi
panel forum serta membuat kenyataan akhbar mengenai hal-hal bantuan untuk etnik
Rohingya.
Peranan itu membuatkan saya
perlu keluar ke hadapan khalayak. Ia adalah organisational
role baharu yang semestinya saya
laksanakan. Namun, ia merubah sisi imej saya di mata mereka yang mengenali
saya. Saya dianggap berketrampilan, individu yang lebih serius dan
berpersonaliti. Malah, ada yang rapat dengan saya menganggap saya sudah jauh
dan lain dari saya yang lazimnya. Masya-ALLAH.
Sebenarnya, saya mahupun
sesiapa pun akan nampak berlainan dan lebih hebat apabila muncul di media,
samada di media cetak mahupun di media elektronik. Rakan sekolah kita yang
sering diejek dan dipersenda boleh mengubah persepsi kita semata-mata jika dia
tampil di skrin televisyen sebagai penceramah, penyanyi, ustaz mahupun sebagai
pak menteri! Padahal secara asasnya, dia adalah orang yang sama.
Lampu sorot dan kerlipan
kamera itu sebenarnya boleh manjadikan seseorang yang biasa itu kelihatan
hebat. Serupalah apabila kita melihat kawan kita yang ala-ala itu menjadi bak
puteri di hari persandingannya. Kita terpesona dan lihat dia menjadi orang
lain. Manakan tidak. Bukankah dia dihias lebih sejam oleh mak andam, sedangkan
pada hari biasa, dia hanya tepuk-tepuk pipinya dengan bedak, calit sedikit
gincu, kemam-kemam bibir dan dah… siap untuk keluar pergi pasar malam!
Orang sekarang juga dah tidak
malu dengan kamera. Lagi banyak kamera, lagi meliuk dia berposing untuk
swafotonya. Untuk pak menteri misalnya, posing dia bersalaman boleh dirakam
tiga empat kali untuk mendapat posisi yang menarik. Buat seorang model pula,
dalam 20 syot wajahnya diambil, pastilah salah satu daripada syot yang terpilih
itu memperlihatkan wajahnya yang cantik, kata orang sekarang… flawless!
Andainya tidak begitu lawa
pun, perisian di kamera mahupun di komputer boleh sahaja membuat touch-up agar segala bintik dan bopeng
di wajah itu dapat dipadam dan digilap menjadi berseri-seri. Jadi, apa yang
hebatnya, apa yang glamournya seseorang itu jika dia menjadi fokus kamera dan
lampu?
Betapa pun, imej itulah yang
bisa mempersona dan memukau hingga seseorang yang biasa itu kelihatan
luarbiasa. Kerana itu, kita pun boleh tertipu dengan permainan silap mata
kamera dan lampu ini. Malang sekali seandainya kita yang disirami lampu dan
kerlipan kamera ini silau hingga akhirnya sirna dari diri sendiri yang
sebenarnya serupa juga dengan insan-insan yang lain. Memang itu salah diri kita
sendiri yang perasan!
Hebat kita, bukan kerana
kulit, tetapi isi.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.9.17.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.9.17.
No comments:
Post a Comment