MALANGNYA BILA
KITA TIADA PEMIMPIN
KITA TIADA PEMIMPIN
SEHINGGA kini, jumlah pelarian etnik Rohingya yang
menyeberangi sempadan Myanmar untuk masuk ke Bangladesh sudah melebihi setengah
juta. Mengikut laporan media, jumlah mereka akan bertambah. Keadaan ini kian
menyulitkan usaha mengatur bajet bantuan kemanusiaan. Belum pun jumlah sebenar
dibanci, mereka yang baru tiba dari
Myanmar semakin meningkat.
Jika kita perhatikan, pelarian etnik Rohingya ini bagai
ayam kehilangan ibu. Mereka berjalan mengikut yang di hadapan. Berminggu-minggu
mereka merentas hutan dan menyeberangi sungai dan akhirnya dapat membolos
sempadan. Soalnya, sebaik sahaja tiba mereka ke tanah Bangladesh, mereka
disambut petugas-petugas kemanusian di kalangan pasukan NGO yang terdapat di
sana.
Tiada sesiapa pun dari kalangan mereka sendiri yang
tampil untuk memberi kata-kata penenang hati, kata-kata nasihat, apatah lagi
kata-kata semangat agar mereka tahu bahawa mereka hanya lari buat sementara.
Ucapan-ucapan bahawa suatu hari nanti, mereka akan kembali ke tanah tumpah
darah mereka. Itulah harapan yang tersemat di hati sesiapa yang meninggalkan
tanah tumpah darah masing-masing secara paksa. Lihatlah wajah-wajah layu
mereka. Kita nampak mereka kesemuanya kebingungan. Tak tahu apa nak buat kerana
tiada pemimpin di kalangan mereka.
Inilah bezanya golongan teraniaya Rohingya dengan
lain-lain golongan yang teraniaya. Rakyat Palestin yang tertindas punyai
pemimpin agung mereka seperti Yasser Arafat ataupun Sheikh Ahmad Yassin. Rakyat
Afrika Selatan yang berdepan dengan dasar apartheid juga punyai pemimpin agung
iaitu Nelson Mandela. Kemudian, pemimpin-pemimpin seperti Mahatma
Ghandi(India), Che Guevara(Cuba), Ayatollah Khomeini(Iran) dan Aung San Suu Kyi
sendiri untuk negara Burma.
Etnik Rohingya tiada pemimpin besar yang boleh menjadi
ikon; penyuluh masa depan dan pembara semangat mereka. Saya menelusuri
laman-laman mengenai golongan itu dan tiada menemui walau seorang pemimpin
besar yang boleh mewakili kaumnya. Masya-ALLAH tiada! Itulah padah dan
kasihannya jika sesuatu kaum itu tiada pemimpin.
Tatkala menyertai forum mengenai Rohingya di UNiMAP
minggu lalu, saya utarakan persoalan ini kepada panel forum Prof. Madya Dr.
Iqbal Omar, yang juga dari etnik Rohingya. Beliau mengakui ketiadaan pemimpin
besar di kalangan mereka yang boleh menjuarai perjuangan membela nasib anak
bangsa. Sesungguhnya keadaan ini amat unik dan juga malang. Kita patut
renungkan realiti ini.
Kita yang berada di Malaysia pula punyai jumlah para
pemimpin yang melimpah ruah. Kita ada pemimpin di peringkat kampung, mukim,
daerah, negeri dan juga negara. Malah, setiap bangsa, kaum dan suku pun punyai
pemimpin yang tersendiri. Namun, meskipun punyai begitu ramai pemimpin, semakin
ramai juga mereka yang berebut untuk menjadi pemimpin.
Mahu atau tidak mahu, suasana over-politiking di negara kita juga menggambarkan betapa sengitnya
pertarungan mereka yang ingin menjadi pemimpin kerana kita punyai jumlah
pemimpin yang ramai. Daripada sudut ini, kita berasa bertuah sekali kerana masa
depan kita bakal terbela untuk seribu tahun lagi! Silap-silap, kitalah
sesuatunya bangsa yang punyai lebih ramai pemimpin daripada pengikut!
Namun, menjadi pemimpin itu sendiri bukannya matlamat.
Pemimpin perlu bertanggungjawab, bukan bertanggungsoal! Pemimpin, tugasnya
mencari jawapan kepada masalah pengikutnya. Mereka tidak patut mempersoal
pengikut mereka pula seperti sebilangan daripada kalangan pemimpin kita!
Pemimpin yang begini sebenarnya tidak menyumbang kepada
masa depan para pengikutnya. Malah, mereka pula menyusahkan para pengikut
mereka. Oleh itu, tiada gunanya punyai pemimpin yang ramai tetapi bukan untuk
membela sebaliknya menipu pengikut. Jika sedemikian, apa bezanya etnik Rohingya
yang tiada pemimpin yang baik dengan kita yang punyai ramai sekali pemimpin
tetapi ada yang tergamak memijak golongan yang mereka pimpin!
Betapa pentingnya pemimpin itu kepada sesuatu bangsa
seperti juga pentingnya pengikut kepada seseorang ketua. Ilmu dan sains
kepimpinan mesti menjadi suatu subjek yang wajib dipelajari dan diajar di
mana-mana sekolah. Ia bukannya bakat yang boleh muncul begitu-begitu sahaja
kerana cabaran dan tekanan yang di hadapi oleh seseorang pemimpin itu bukannya
mudah. Jangan tiada pemimpin seperti etnik Rohingya. Jangan pula over-over ramai pemimpin seperti di
Malaysia!
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.10.17.
No comments:
Post a Comment