Piccredit: sixth sense
BOS ITU BUKAN HANYA KETUA
BOS ITU BUKAN HANYA KETUA
DUA tiga hari lalu saya berasa tak selesa. Bukannya
kerana tak cukup tidur, tak cukup makan, banyak kerja atau tidak sihat.
Sebaliknya, saya berasa tidak selesa sebab terlepas cakap dengan seorang staf
saya. Mula-mula saya hanya ingin menegur agar dia cepat dapat siapkan
tugasannya. Entah bagaimana, ketika menegur itu, darah saya tiba-tiba naik,
maka tersemburlah kata-kata yang laser. Sebagai seorang penghidap hypertensi,
saya tertewas kali ini.
Mujurlah tatkala itu kebetulannya kami berada di dalam
lif. Jadi, kata-kata keras saya itu hanya seketika dan tiada sesiapa yang ada
mendengar atau menyaksikan. Bila pintu lif terbuka, teguran saya itu pun tamat.
Betapa pun, saya nampak mata staf saya itu terkelip-kelip kerana bengang.
Bengang kerana bingung bila saya menegurnya di dalam lif, bukan di pejabat
saya.
Betapa pun, saya menyelesaikan episod menegur tak kena
tempat apabila staf itu berjumpa saya kerana tugas. Saya nyatakan bahawa
teguran saya itu nothing personal dan harap dia terima secara positif.
Alhamdulilah, staf itu sudah pun menerimanya secara positif pada hari saya
menegurnya. Maknanya, staf itu tidak pula memendam rasa. Saya pula berasa okey
setelah staf itu berjumpa saya.
Sebenarnya, menjadi ketua atau bos bukan sesuatu yang
mudah. Secara zahir, bos menyuruh dan stafnya pula yang menyiapkan kerja.
Namun, secara lebih terperinci, seseorang bos itu memandu organisasinya dengan
cara menyuruh, membimbing dan juga memantau seluruh operasi Jabatan agar mencapai
matlamatnya. Dalam proses itu, tindakan seorang bos juga adalah menegur, malah
menghukum mana-mana tugasan staf yang tersasar daripada yang dirancang.
Betapa pun, jika tugas seseorang bos itu hanya berperanan
sebagai pemangkin agar staf organisasinya dapat mencapai matlamat, maka bos
yang sedemikian itu patut digantikan dengan robit sahaja. Ini adalah kerana bos
juga punyai peranan yang lebih luas skopnya. Di antaranya ialah aura
kehadirannya.
Saya pernah
melawak kepada staf saya yang saya ini berketurunan malaikat. Ia adalah
kerana, staf-staf saya yang sedang rancak berbual boleh memperlahankan suara
atau diam sama sekali sebaik sahaja saya tampil menghampiri mereka! Meskipun
saya tidak mahu mereka menghentikan perbualan apabila saya berada dekat dengan
mereka, namun sebenarnya ia okey kerana itu menggambarkan rasa hormat mereka
kepada saya.
Saya tidak minta dihormati. Tetapi bayangkan seandainya
staf-staf saya rancak berbual dengan gelak ketawa tanpa mempedulikan saya, apa
pula tafsiran saya terhadap mereka dan tentu mereka tidak mahu dilihat sebagai
orang yang tidak hormatkan ketua.
Ketua juga adalah pembimbing. Dia harus menggamit stafnya
agar sama-sama menjalankan tugas. Setelah stafnya dilihat boleh melakukan
sesebuah tugasan, dia harus memberi sepenuh kepercayaan kepada stafnya itu
untuk menyudahkan kerjanya. Yang penting, tugas itu siap. Bagaimana ia
disiapkan pula adalah mengikut cara pilihan atau preference seseorang staf itu. Bukannya hanya menggunakan satu
jalan. Sebaliknya dengan pelbagai cara dan pendekatan.
Sebagai seorang ketua, peranannya juga seharusnya seperti
seorang pemimpin yang memahami. Keadaan pada hari ini memerlukan seseorang staf
sentiasa dapat dihubungi meskipun di luar waktu pejabat. Jika itulah kehendak
masakini, seseorang bos juga perlu memahami masa staf dengan anggota
keluarganya menjadi semakin terhad.
Kerana itu, jika seseorang staf terpaksa menyimpang
seketika tugasnya sebagai suami, ibu atau bapa, maka bos perlu mengerti. Malah, pada banyak ketika, dia perlu menjadi tempat mengadu. Tidak banyak
sedikit, dia perlu memahami bahawa stafnya itu juga manusia yang perlu menemani
isterinya ke kelinik, terpaksa menghadiri perjumpaan guru dan ibubapa pelajar
atau semudah menjawab telefon daripada anak saudaranya yang baharu datang ke
kota untuk menghadiri temuduga. Dan, tentulah apabila stafnya membawa anak ke
pejabat pada hujung minggu, dia pula harus dilihat sebagai datuk agar anak itu
selesa dengan kehadirannya.
Mengapa saya menulis hal begini pada minggu ini? Oh ya.
Esok, dua orang staf saya, Siti Shahrosamirah Shaharman dan Mohamad Shamsul Abd
Ghani akan berangkat ke Bangladesh untuk
membuat liputan mengenai krisis Rohingya. Begitulah perasaan saya apabila ada
di antara staf saya yang akan berjalan jauh. Perasaan seorang bos itu
kadangkala boleh berubah menjadi bimbang seorang ayah akan keselamatan anak-anaknya.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit pada 11.10.17.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit pada 11.10.17.
No comments:
Post a Comment