DI ANTARA
SOALAN DAN JAWAPAN
SOALAN DAN JAWAPAN
PETANG semalam, saya menghadiri program Wacana Sinar yang
membicarakan tajuk Apa Sebab Etnik
Rohingya Dizalimi? Kali ini saya tidak duduk di barisan hadapan majlis.
Sebaliknya saya duduk di bahagian belakang Dewan Karangkraf. Saya sengaja
berbuat begitu untuk melihat bagaimanakah perilaku audien di wacana yang ilmiah
sebegini.
Seperti biasa, audiennya terdiri daripada kalangan ahli akademik, cendekiawan, pekerja swasta, pesara dan para pelajar universiti. Cuma sedikit perbezaan kehadiran ialah adanya beberapa orang daripada etnik Rohingya yang menemani salah seorang ahli panel, Encik Abdul Ghani Abdul Rahman yang juga Timbalan Presiden, Rohingya Society in Malaysia.
Selain daripada pembentangan hujah ahli-ahli panel, saya
tertarik dengan soalan-soalan mencabar yang dilontarkan oleh moderator, Haji Nazri
Kahar dari Astro Awani. ‘Kita lebih mudah
menilai pemikiran seseorang melalui soalan-soalannya, bukan kepada
jawapan-jawapannya,’ kata Pierre Mark Gaston duc de Levis, seorang ahli
politik Perancis.
Benar, kita boleh kenal personaliti seseorang dengan cara
dia menyoal, pemilihan perkataan serta melalui nada suaranya. Soalan dikatakan
sebagai inti utama di dalam bidang ilmu sains dan juga seni. Tanpa bertanya mengapa
buah epal jatuh ke tanah, Isaac Newton tidak mungkin menemui hukum graviti.
Tanpa menyoal, bagaimana hendak mengumpul habuk yang disapu tanpa ia
berterbangan semula, maka Daniel Hess tidak akan terfikir untuk membuat alat
penyedut hampagas yang pertama di dunia.
Di dalam berkomunikasi, menyoal itu adalah di antara inti
utamanya. Terdapat beberapa jenis soalan yang biasa kita sendiri tanyakan
kepada seseorang kerana beberapa tujuan. Yang lazimnya ialah soalan yang
dikemukakan kerana hendak mendapat maklumat ataupun hanya untuk berbasa basi.
Misalnya, kita bertanya kepada jiran, dia hendak ke mana apabila nampak dia
menghidupkan enjin motorsikalnya. Ataupun kita bertanya anak mengenai apa yang
dipelajari di sekolah kerana ingin tahu apa yang dilalui si anak. Apabila
mendapat jawapan itu, biasanya kita tidak akan bertanya soalan seterusnya.
Ada kalanya kita bertanya untuk menyelidik atau
mengesahkan sesuatu perkara. Ia berkait dengan pengalaman yang dilalui oleh
orang yang ditanya ataupun mengenai sesuatu berita. Kita bertanya kawan, apakah
dia tahu mengenai kemalangan jalan raya yang terjadi di simpang jalan ke
pejabatnya. Jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ kawan itu akan mensahihkan berita yang
kita terima.
Ada juga suasana bila mana sesebuah soalan itu diajukan
untuk menguji tahap pengetahuan seseorang. Ini biasanya terjadi di dalam sesi
temuduga pekerjaan. Dalam pada itu, terdapat juga di dalam mana-mana kuliah,
akan ada seorang pelajar extrovert yang
sengaja bertanya soalan semata-mata untuk menguji tahap pengetahuan si
pensyarah.
Kadangkala, kita akan temui juga mereka yang bertanya
soalan-soalan yang lekeh. Mereka ini akan kita temui di majlis-majlis ilmu
seperti kuliah agama. Saya pernah menemui orang begini di dalam sebuah kuliah
haji. Serbannya lebih besar daripada serban si penceramah tetapi soalannya
mengenai solat sunat musafir. Daripada nada suaranya, saya dapat mengagak,
soalan individu itu bukannya kerana dia tidak tahu. Sebaliknya, soalannya itu
adalah untuk pengetahuan para hadirin yang segan untuk bertanya.
Tatkala
bertanya, kita tidak seharusnya pula memaksa orang yang ditanya itu menjawab
seperti apa yang kita mahu. Jika inilah niat kita bila bertanya, barangkali
kita sendiri sudah sedia untuk bertekak. Perkara asas iaitu menyoal untuk mendapat
jawapan sudah bertukar kepada perbahasan, malah pertengkaran.
Sebagai
orang yang bertanya, kita perlu menghormati jawapan yang dikemukakan oleh orang
yang ditanya. Samada jawapannya benar atau sebaliknya, itu adalah hak orang
yang menjawab. Namun, seandainya kita tidak berpuashati dengan jawapan itu,
kita boleh bertanya untuk menjalurkan kepada jawapan bagi menyelesaikan
pertikaian.
Bertanyalah
apa sahaja, tetapi berikan ruang orang yang ditanya itu untuk menjawab mengikut
susun kata atau ayatnya. Orang yang ditanya itu pula patut memberi jawapan yang
memuaskan hati orang yang bertanya. Tidak cantiklah, jika tidak mahu menjawab,
menyoal pun tak boleh!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit pada 25.10.17 di akhbar Sinar Harian.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit pada 25.10.17 di akhbar Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment