Piccredit: iaspaper.net
APAKAH HIDUP ITU
UMPAMA RODA?
UMPAMA RODA?
BAHARU-BAHARU ini seorang
bekas staf saya Rai, berkunjung ke pejabat. Dia sengaja singgah mencari saya
kerana katanya, dia memang hendak bertemu. Katanya, sayalah orang yang
menemuduga dan mengambilnya bekerja dengan Sinar Harian.
Saya teringat sesi
temuduga pengambilan kadet wartawan Sinar Harian sekitar lima tahun yang lalu.
Daripada beberapa orang calon yang ditemuduga, saya tertarik untuk mengambil Rai
bekerja kerana keunikan pengalamannya.
Dia mencatat pengalaman
menternak ikan keli, apabila saya menliti resumenya.
Tatkala ditemuduga, lantas saya mengemukakan soalan tentang mengapa dia hendak
bekerja sebagai wartawan, sedangkan dia punyai perusahaan menternak ikan keli.
Lalu dia menceritakan yang sebenarnya dia tiada perniagaan itu. Tetapi
sebaliknya telah melabur sejumlah wang di dalam perniagaan yang lebur kerana
dia tertipu.
Pengalaman adalah guru
yang terbaik. Walaupun beliau bukan berkelulusan dalam bidang kewartawanan,
saya ambil dia bertugas dengan akhbar Sinar Harian kerana pengalamannya sebagai
orang yang pernah terduduk kerana tertipu. Pengalaman tertipu dalam perniagaan
itulah yang membezakan beliau dengan calon-calon yang lain. Jelas, apabila mula
bekerja, Rai menampilkan diri sebagai orang yang ringan mulut. Dia lebih mudah
dan cepat mendapat kontak dan sumber berita berbanding dengan wartawan-wartawan
yang lain
Namun selang dua tahun
beliau bekerja, Rai berhenti kerana katanya hendak berniaga. Tetapi apabila dia
berkunjung di pejabat saya baharu-baharu ini, dia menceritakan bagaimana dia
menjadi wartawan sambilan kembali di sebuah penerbitan lain walaupun perniagaan
adalah minatnya yang utama. Pada pandangan saya, Rai telah kembali melakukan
apa yang dia minat lakukan sebelum ini. Putaran kerjaya buat dirinya ke bidang
kewartawan juga meskipun dia memilih bidang perniagaan.
Dalam kehidupan, kita
akan lalui apa yang kita pernah lakukan sebelum ini. Kadangkala, kita tidak
menyangka apa yang kita pernah terlintas dalam pengalaman kita yang lalu, rupa-rupanya
akan kembali kepada kita dalam keadaan yang berbeza.
Tahun 1973. Saya
mengikuti rombongan sekolah dari Mersing hingga ke Padang Besar, Perlis. Dalam
perjalanan, bas singgah di Kuala Lumpur dan terus ke Lapangan Terbang Sultan
Abdul Aziz. Kami ke sana untuk melihat kapalterbang. Seronok sangat rasanya.
Dalam perjalanan pulang, bas melalui Lebuhraya Persekutuan. Saya terpandang
sebuah kawasan tasik dengan air pancutan dengan lampu yang berwarna warni.
Lalu saya bertanya cikgu,
kawasan apakah itu? Jawab cikgu, itulah Subang Jaya. Pada waktu itu, saya tak pernah dengar nama
Subang Jaya. Bandar di Lembah Kelang yang sentiasa disebut-sebut, malah
tercatat di buku teks geografi ialah Petaling Jaya.
Bagaimana pun pada tahun
1985, saya tak sangka akan menetap di sebuah rumah teres di seksyen 14, Subang
Jaya. Dan saya biasa membawa anak-anak ke Kampung Subang untuk melihat
kapalterbang mendarat dan berlepas!
Tatkala di zaman
persekolahan pada tahun-tahun 70an dahulu, saya menjadi pengarang majalah
persatuan bahasa Melayu berjudul ‘Purnama.’ Majalah itu dicetak dengan mesin cyclostyle. Kini saya menjadi pengarang
akhbar Sinar Harian. Kerja saya yang pertama selepas tamat belajar pada tahun
1980 ialah sebagai seorang Setiausaha Kerja di Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung, sebuah NGO. Kini saya menjadi Setiausaha Sinar4Rohingya, sebuah
kumpulan yang menggabungkan 105 NGO untuk membantu etnik Rohingya.
Hidup umpama roda. Ada
banyak ketika bilamana kita bergerak 360 darjah. Bukan sahaja daripada segi
baik dan buruk, kaya dan miskin, suka dan dukanya yang silih berganti. Roda
kehidupan daripada segi pengalaman dan tindakan juga bisa mengkedepankan kita
dengan apa yang kita pernah lakukan sebelum ini.
Daripada sudut ini, maka
saya yakin bahawa peluang bukannya datang sekali, malah berkali-kali dalam
kehidupan seseorang. Apabila kita berdepan kembali dengan bentuk cabaran yang
pernah kita alami sebelum ini, kita seharusnya lebih tenang Yang penting, apa
yang kita lalui buat kali kedua itu bisa menjadikan kita lebih bijak menangani
apa yang kita bakal lalui berbekalkan pengalaman lalu.
Maka benarlah kata-kata
bahawa ‘sejarah itu berulang.’ Tetapi alangkah baiknya jika kita sendiri mengulangi
sejarah itu?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.11.17.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.11.17.
No comments:
Post a Comment