MAHIR MEMAINKAN
PERANAN SEHARIAN
PERANAN SEHARIAN
DALAM hidup, kita perlu memainkan pelbagai peranan.
Peranan-peranan ini kita ketahui secara perlahan-lahan melalui pengalaman dan
juga apabila ia diajar oleh ibubapa mahupun guru. Sewaktu kecil, kita diasuh
sebagai anak. Ibu mengajar kita betapa perlunya kita menghormatinya. Kita
diberitahu juga agar menghormati bapa. Tidak boleh melawan kedua-duanya kerana
nanti dikatakan derhaka kepada mereka.
Kita juga belajar memainkan peranan sebagai adik, kakak
mahupun abang menurut kedudukan kita. Di dalam keluarga, kita belajar mengenai
mereka yang berpangkat datuk, nenek mahupun emak saudara. Mereka yang lebih tua
perlu dihormati. Andainya tidak setuju, paling tidak pun tidak boleh melawan
mereka.
Kemudian, kita belajar memainkan peranan sebagai kawan
kepada anak-anak jiran tetangga. Kita juga mengenali mereka yang lebih tua di
dalam keluarga jiran-jiran kita. Melangkah ke alam persekolahan, kita belajar
memainkan peranan sebagai murid kepada guru dan kawan-kawan rakan sebaya di
dalam darjah. Begitu jugalah apabila menjejakkan kaki ke kolej. Semakin dewasa,
perhubungan kita dengan manusia lain menjadi semakin kompleks.
Sebagai orang dewasa, kita memainkan pelbagai peranan
dalam satu-satu hari. Di rumah kitalah suami atau isteri, bapa atau ibu. Di
pejabat, kita adalah orang bawahan bos besar, bos kepada pekerja bawahan dan
juga berperanan rakan sekerja. Ketika membeli-belah, kita adalah pelanggan.
Dalam komuniti, kita adalah ahli, makmum di surau dan jiran kepada jiran.
Memainkan peranan ini perlukan kemahiran. Semua ini perlu
kita lakukan dengan penuh kesedaran. Daripada suatu segi, kita bagai seorang
pelakon yang perlu berubah keperibadian demi menyesuaikan diri dengan keadaan.
Jika kita tidak menyedari peri pentingnya memainkan
peranan ini, maka kita akan mudah mentertawa, malah mempersenda mereka yang
kita nampak merobah penampilan. Seseorang pengurus yang kita ketahui garang
akan dilihat lemah, malah berpura-pura apabila berdarling-darling di dalam telefon apabila bercakap dengan isteri.
Padahal, itulah peranannya di rumah ~ seorang suami yang romantik lagi
penyayang.
Seorang anak yang petah di rumah, rupa-rupanya dilaporkan
cikgu sebagai murid yang paling pendiam di dalam kelas. Ataupun, seorang ustaz
yang dilihat sebagai seorang yang begitu alim di khalayak rupa-rupanya boleh
berkejar-kejaran dengan anaknya di rumah.
Inilah kita semua. Apabila di dalam masjid, kita duduk
bersila dengan tertib. Di kedai mamak, kita duduk di kerusi dengan sebelah kaki
tersila. Di pejabat, kita duduk tegak dengan kedua-dua kaki di lantai.
Namun barangkali, kerana mahu bebas, kian ramai di antara
kita sudah tidak menjaga peranan dengan menjaga perwatakan mengikut kesesuaian
keadaan. Di dalam kapalterbang, ada yang membaringkan kerusi hingga orang di
belakang sukar hendak makan.
Di jalanraya, semakin melihat orang hendak melintas,
semakin laju ditekannya minyak agar kita boleh meluncur dahulu. Malah kini di
laman-laman sosial, kita itu mengenepikan semenggah dengan menulis apa sahaja tanpa
mempedulikan betapa orang lain menghormatinya di dunia nyata. Maknanya, kita
menjatuhkan diri sendiri dengan kelakuan diri sendiri.
Pada hari ini, kian ramai di antara kita yang tidak boleh
memainkan peranan dengan baik. Mustahil tidak tahu, kerana ia diasuh sejak
kecil. Barangkali tidak mahu, kerana ingin bebas melakukan sesuatu mengikut
sesuka hati. Kini, apa yang terbetik di hati pun dilepaskan tanpa berasa segan
dan silu dalam bentuk tulisan mahupun dalam bentuk visual-visual yang dihantar
kepada kawan-kawan.
Dunia memanglah tanpa sempadan. Kita ini manusia yang perlu
meletakkan had-had mengikut suasana dan keadaan. Lebih-lebih lagi agama
memerlukan kita mengawal segala tingkah laku. Agama itu konsisten walau di
zaman apa kita berada.
Apabila tingkah laku penuh berbudi bahasa dan berperwatakan
yang menyenangkan sesiapa sahaja itu dipandang mulia, perangai yang kasar,
buas, celupar dan laser itu tidak pernah menjadi sesuatu yang akan disanjung. Malah,
ia tidak pernah dicatat dengan markah yang baik oleh mereka yang di langit.
Pekalah dengan siapa kita berinteraksi. Padankan dengan
kehendak suasana. Baharulah kita dilihat sebagai insan yang berketrampilan.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.11.17.
No comments:
Post a Comment