Tuesday, December 30, 2014

MUNGKIN TIBA GILIRAN KITA


Piccredit: myboiler2u.com
UNTUK KITA YANG
TIDAK MENJADI
MANGSA

PADA saat ini, kita berbicara mengenai banjir yang jauh lebih dahsyat daripada tahun-tahun sebelum ini. Ia bukannya tengkujuh dan banjir tahunan yang lazim rakyat Malaysia lalui ~ hujan turun, air naik, berpindah ke pusat bantuan, pulang setelah air surut, bersihkan rumah dan teruskan kehidupan seperti biasa.

Banjir pada tahun ini begitu mencemaskan. Hujan turun tidak mahu berhenti, air naik di tempat yang tidak bah, ramai yang lari sehelai sepinggang kerana tak sangka tempatnya banjir, air mengganas laju dan bantuan dengan bot tidak boleh dilakukan, helikopter tidak boleh mendarat kerana tiada tanah kering, bantuan tak boleh dicampak ke bawah kerana bumbung rumah kebanyakkannya berbentuk ‘A.’ Suasana bagai berdepan dengan tsunami.

Selain daripada pihak berkuasa, pihak NGO dan orang awam pun turut menghantar bantuan kelengkapan diri dan makanan. Tetapi, bantuan lambat sampai kerana kenderaan berat pun sukar bergerak kerana jalan raya ditenggelami air. Yang mahukan pertolongan tidak dapat dibantu, yang hendak membantu pun tidak boleh berbuat apa-apa.

Banjir bukannya kemuncak peristiwa. Kemuncaknya apabila air mula surut. Ada yang pulang melihat rumah yang hanya tinggal tangga. Kereta dengan tayar ke atas. Tilam yang tersimpan di atas siling pun kelihatan lembab kerana air sudah menenggelamkannya. Barangan elektrik, satu pun  tidak hidup bila swis dipetik. Perabot sudah berserabut.

Banyak yang perlu diuruskan. Segala dokumen peribadi ~ surat beranak, surat nikah, surat perjanjian jual-beli rumah, resit-resit, bil-bil, buku sekolah dan kitab-kitab yang tersimpan kesemuanya perlu diganti dengan yang baharu.

Kerja memulihkan keadaan rumah seperti sediakala adalah kerja yang amat berat. Jika selut sudah sampai ke lutut, ia perlu dibersihkan segera kerana jika ia sudah membeku menjadi tanah, dua kali tenaga diperlukan untuk menolaknya. Hendak memanggil juruelektrik datang ke rumah, dia mungkin sibuk menghidupkan bekalan di rumah sebelah.  Ah, betapa letih menulis kisah banjir ini.  Apatah lagi, mereka yang berdepan dengan situasi pasca banjir ini. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Oleh kerana itu, kita yang tidak menghadapi banjir ini perlu insaf betapa bernasib baiknya kita. Tidak perlulah mengamuk sakan bila anak tumpahkan sedikit air sirap ke lantai. Tidak bolehlah mencebir bibir bila isteri lewat sedikit masak kerana dia kurang sihat. Tidak moleklah komplen ke sana ke mari bila bekalan air terganggu kerana paip pecah.  Tidak cantiklah melolong setiap kali siaran bolasepak EPL di TV terganggu kerana cuaca kurang baik. Itu semuanya masalah orang selesa. Tidak sebesar habuk pun dengan masalah mereka yang kehilangan sebahagian daripada semangat kerana menjadi mangsa banjir.

Sebaik-baiknya sibukkan diri untuk membantu mereka yang memerlukan. Kalau tidak boleh bergerak ke sana ke mari, menelefon ke sana-sini mengurus dengan mengumpul bekalan bantuan banjir daripada kawan-kawan, cukup sudah dengan menghantar bantuan melalui perbankan dalam talian ke mana-mana NGO yang bersedia mengkoordisasikan kiriman. Jika tidak boleh juga, duduk diam sambil menonton televisyen mengikuti perkembangan banjir pun sudah memadai. Sekurang-kurangnya kita beristighfar setiap kali menonton malapetaka banjir yang melanda.

Tidak perlu penuh perasaan pula menjadi wartawan dengan menyebarkan apa sahaja yang dijumpai di laman sosial tanpa memeriksa kesahihannya. Cara itu bukannya membantu tetapi menghuruharakan. Jangan perasan diri menjadi keyboard warrior jika berita yang disampaikan itu tidak tentu hala, tidak beretika malah tidak berakhlak. (Mengapa mereka ini diberi gelaran mulia sebagai keyboard warrior?)

Dalam pada itu, kalau pun ada kenalan atau saudara mara yang menjadi mangsa, berilah ruang untuk mereka meratapi apa yang mereka alami. Sebahagian besar daripada mereka punyai emosi kesedihan yang perlu mereka lepaskan.  Selagi mereka tidak menjadi tak keruan, biarkan mereka dihurung kesedihan buat seketika.

Belum boleh lagi kita memberi motivasi dengan kata-kata penuh semangat. Hal-hal jatidiri, wawasan, semangat waja, metafora kata, membujur lalu melintang patah ataupun peribahasa patah sayap bertongkat paruh, belum diperlukan pada waktu ini. Yang bersedih akan terus bersedih di dalam dunianya. Hanya setelah dia menoleh kerana sedar akan kehadiran kita, baharulah kita pegang tangannya, genggam bahunya lalu membisik kata dan nas yang membina semangat.

Semua perkara perlukan ruang masa. Kesemuanya juga akan berlalu bila sampai masanya. Banjir ada musimnya, kemarau ada tempohnya. Bersedih ada saatnya dan bergembira pun ada ketikanya. Buat kita yang tidak menjadi mangsa, yang perlu kita ingat ialah, apakah kita akan menjadi mangsa di lain ketika? Simpatilah. Empatilah. Insaflah.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, esok...

Tuesday, December 23, 2014

MELANGKAH KE JALAN PULANG


 
Pic credit: hdw.eweb4.com
 
BAHAGIA MENANTI SAAT KEMBALI

KELMARIN, di Surau Karangkraf, saya berpeluang mengikuti tazkirah yang disampaikan oleh Pak Legisan Sugimin, seorang motivator dari Indonesia. Pak Legisan yang biasa mengendalikan kursus-kursus ESQ165 masih lancar menyampaikan buah fikirannya dengan berkesan, meskipun katanya, sudah hampir dua tahun tidak menyampaikan motivasi.

Saya teruja apabila mendapat tahu beliau dapat meluangkan masa berceramah di Karangkraf. Sungguh terkesan sekali dengan penyampaiannya yang penuh kiasan dan ibarat. Seperti biasa, isi kuliah ringkasnya begitu rapat dengan makna insan, agama dan Penciptanya. Izinkan saya mengupas inti ucapan beliau mengikut tafsiran saya.

Katanya, kita hidup di zaman yang penuh pancaroba. Masyarakat kian permisif. Apa sahaja boleh meskipun ia melanggar tata susila adat, budaya, peradaban dan agama. Malah, pelanggaran syariat itu begitu berleluasa hingga ia sudah menjadi suatu kebiasaan. Kita melihat kemungkaran di mana-mana dan pada bila-bila masa sampai ramai di kalangan kita sudah tidak berasa apa-apa lagi.

Sikap ketidakapaan ini sebenarnya menggambarkan kita tidak sedar yang kita sudah kalah untuk menentang segala kemungkaran ini. Ia amat berbahaya kerana orang yang tidak sedar yang dia sudah kalah dalam perjuangan tidak akan menentang tetapi sebaliknya mengizinkan ia berlaku. Malah, secara tanpa disedari mula menyukai dan menyanjung segala yang tidak baik, tidak betul dan tidak bagus. Bukankah kita berfikiran songsang apabila menyukai yang buruk dan membenci pula yang baik?

Untuk itu, kita mesti menentang segala kemungkaran ini. Perlu isytihar jihad untuk menjernihkan kembali segala noda yang mengotori nilai-nilai peradaban insan. Kita perlu berjuang. Namun, perjuangan itu adalah jalan yang penuh kepayahan. Kita silap jika mengandaikan jalan perjuangan itu mudah. Jika ia semudah mengayuh basikal menuruni bukit, ia bukannya perjuangan. Iya, jalan menuruni bukit sememangnya lebih mudah. Kita tidak perlu berkayuh. Sambil bersiul-siul pun, roda akan berputar laju menuruni bukit. Tetapi jalan semudah itu bisa menjerumuskan kita pula ke gaung yang dalam!

Kejayaan itu pula biasanya berada di puncak. Seseorang pendaki gunung akan berusaha bersungguh-sungguh memanjat untuk sampai ke puncak. Keringat dan tenaga perlu dikerah untuk sampai ke mercunya. Apabila berjaya di sana, dia akan mengibarkan bendera sebagai simbol kejayaan menawan puncak gunung. Kepuasan. Itulah perasaan yang akan diperoleh apabila sesuatu perjuangan itu mencapai kejayaan.

Tetapi, bagaimana jika perjuangan yang penuh sukar menempuh onak dan duri itu kecundang? Tewas setelah mencuba? Jangan berasa kalah. Sebaliknya, kita perlu umpamakan diri kita seperti trak yang penuh muatan tetapi kehabisan minyak. Trak yang kehabisan minyak tentunya tidak dapat bergerak lagi. Tetapi ia lebih baik daripada trak yang kosong isinya kerana kenderaan yang tidak membawa apa-apa tidak ada gunanya meskipun ia tiba ke destinasi.

Pendek kata, dalam perjuangan itu, yang penting bukannya kemenangan kerana jika ada kemenangan, tentu ada kekalahan. Menang dan kalah itu bersifat keduniaan. Yang harus dinilai dalam perjuangan ialah kejayaannya. Dan kejayaan itu pula adalah kejayaan dari kacamata ALLAH SWT. Bukan dari kacamata kita. Bukankah tentera Islam kalah di peperangan Uhud? Tetapi walaupun kalah, mereka yang gugur itu semuanya syahid. Dan para syuhada itu tempatnya di syurga. Maknanya, mereka hanya kalah di dunia, tetapi menang mengikut perkiraan ALLAH Azzawajalla.

Berjuanglah. Tetapi jangan cari kemenangan, tetapi kejayaan. Bila kita berjuang, kita melakukan apa yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Dan semua itu kita lakukan sebagai persediaan untuk pulang. Biarlah kepulangan itu sesuatu yang menggembirakan. Seperti murid yang gembira bila terdengar loceng berbunyi kerana itu menandakan tamat waktu sekolah dan dia boleh pulang. Seperti kita yang gembira setiap kali dapat pulang ke kampung halaman.

Jika kita belum lagi berasa gembira untuk pulang kepada-Nya, maka kita perlu bersedia dengan bekalannya. Seperti trak yang bergerak dengan penuh muatan. Seperti seorang pendaki yang bersusah payah memanjat gunung untuk menempa kejayaan di puncaknya. Hanya dengan persediaan dan usaha, baharulah kita tidak berasa cemas dan gentar untuk kembali ke alam baqa’. Malah, kita akan menghadapinya dengan penuh perasaan bahagia.    

Dari Abu Said Al Khudri R.A berkata: Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Siapa yang melihat kemungkaran, maka rubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, rubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya; dan hal itu adalah selemah-lemah iman.’ (Riwayat Muslim)
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.12.2014.

Tuesday, December 16, 2014

BERFIKIRAN YANG SEGAR & MATANG


Piccredit: suara13.blogspot
 
MENJADI OTAI YANG BERBISA

SEMALAM, saya menghadiri majlis sidang akhbar filem Tombiruo. Filem ini adalah adaptasi daripada novel Tombiruo atau Semangat Hutan karya novelis Ramlee Awang Murshid. Dalam usianya yang baharu 47 tahun, Ramlee sudah menulis 27 buah novel. Akhir-akhir ini beliau dapat menulis dua buah novel dalam setahun. Dengan usia dan tahap prolifiknya, Ramlee boleh dianggap sebagai seorang otai, atau old timer jika dibandingkan dengan ratusan lagi novelis popular yang jauh lebih muda daripadanya.

Filem Tombiruo ini pula bakal diarahkan oleh Nasir Jani,  seorang pengarah yang mempunyai imej yang rebellious ketika usia mudanya. Di antara filem yang mendapat sentuhan beliau ialah Kembara Seniman Jalanan yang turut dibintangi oleh Datuk M. Nasir. Setelah lama meninggalkan dunia pengarahan dan hanya bekerja di belakang tabir, Nasir bersetuju membuat comeback setelah 27 tahun  menyepi. Pengacara majlis menggelarnya sebagai seorang otai. Walaupun sudah berusia 60 tahun, perawakannya seperti orang yang berusia 40an.

Turut hadir di majlis itu ialah mereka dalam bidang seni persembahan seperti Pyanhabib, Ito Blues Gang dan juga Datuk M. Nasir. Saya lihat sebahagian besar para hadirin kelihatan begitu teruja dengan kehadiran mereka ini walaupun lebih dua pertiga daripada mereka adalah daripada golongan muda. Ramai yang ingin berselfie dengan mereka untuk kenangan dan kebanggaan. ‘Mengapa, ya?’ Fikir saya. ‘Oh, mereka adalah otai; otai yang berbisa!’  

Otai adalah slanga yang membawa konotasi seseorang yang telah berusia tetapi masih punyai energi. Mereka bertenaga daripada segi idea dan juga fizikal. Oleh kerana mereka sentiasa membaca, menelaah, berfikir, menulis mahupun berkarya, maka minda mereka sentiasa segar dengan idea, rumusan dan saranan yang baharu. Amalan sentiasa mengasah fikiran dengan santapan minda inilah yang juga mentrampilkan mereka dengan personaliti fizikal yang segak seperti orang muda.

Jika kita sudah berusia, apakah kita boleh kategorikan diri kita sebagai seorang otai? Andainya kita masih muda, apakah kita boleh menjadi seorang otai apabila sudah berusia kelak? Segala-galanya bergantung kepada cara kita melihat dan menangani apa isu, masalah mahupun peluang yang mendatang.

The wise old man, mengikut istilah seorang pakar psikologi terkenal Carl Jung, adalah seorang tua yang bestari yang memahami makna atau falsafah apa yang berlaku di sekelilingnya. Dengan memahami maksud kejadian, dia boleh membuat kesimpulan dan keputusan yang bijak.   

Kita lihat ramai juga insan-insan yang walaupun sudah lanjut usianya, tetapi fikiran dan pandangan yang mereka zahirkan ini masih semasa dan tidak ketinggalan zaman. Dalam kehidupan yang semakin pantas berubah ini, kita juga mesti dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan apa jua perkembangan. Orang muda, mahupun yang sudah berusia tidak boleh ketinggalan, apatah lagi menolak segala perubahan yang sedang berlaku di sekeliling kita.  

Perkembangan dan perubahan teknologi pada hari ini berlaku begitu pantas. Jika kita ingin mengikuti setiap perkembangan itu, kita akan kepenatan mengejarnya. Sebaliknya jika kita menolaknya, kita akan jauh ketinggalan. Ini akan menjadikan kita letih dan akhirnya tidak mahu berubah. Kita tercicir juga. Pada asasnya, seseorang otai perlu pandai menggunakan kemudahan teknologi semasa seperti aplikasi telefon pintar, televisyen, pengangkutan, perbankan dan juga sistem di tempat awam.

Segala kemudahan yang ada itu sebenarnya hanyalah perhiasan bagi seseorang otai kerana ia menjadikan seseorang otai itu up-to-date dengan teknologi agar dia tidak tercangak-cangak dengan segala perubahan itu. Namun, prinsip bagi segala kemudahan itu ialah untuk memudahkan dan bukannya untuk menyusahkan. Mesti menjadi pengendali dan bukan hamba kepada teknologi. Ramai orang yang misalnya, mati kutu sebaik sahaja telefonnya habis bateri. Dia tidak boleh lagi bersembang panjang kerana siang malam hanya menulis entri yang pendek-pendek.

Untuk menjadi otai adalah menjadi seorang manusia yang mesra dengan manusia di sekelilingnya kerana dia hidup di alam manusia. Dia mesra dengan alam kerana dia hidup di dunia dan tubuhnya terjadi daripada unsur-unsur alam itu sendiri. Apabila dia memahami manusia dan mengerti prinsip-prinsip alam, dia tahu segala kejadian yang datang itu berputar dan berulang-ulang. Zahirnya sahaja ada perbezaan namun prinsipnya serupa.

Kerana itu, dia sudah dapat mengagak apa yang bakal terjadi esok hanya berdasarkan pengalaman semalam. Dia boleh mentafsir bahawa esok dia akan tersenyum kerana semalam dia sudah puas menangis. Dia mampu menelah kesudahan sesuatu itu sebelum dia memulakan langkah.   

Semua pandangan hasil renungannya ini dikongsi dan disebarkan kepada semua manusia yang ada di sekelilingnya. Mereka digelar otai yang berbisa ~ sudah tua tetapi masih tangkas dalam menangani apa yang mendatang. Padahal, kita juga boleh jadi otai seperti mereka jika kita fahami bahawa pola kehidupan itu sebenarnya berputar dan berulang-ulang seperti seluruhgalaksi di cakerawala.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 17.12.2014.

Tuesday, December 9, 2014

BERGAYA HINGGA TAK BERDAYA


 
Piccredit: generationext.com.au
KITA YANG MEMAHALKAN
HARGA BARANG

SEKARANG ini, kita selalu bercakap mengenai kenaikan harga barang. Setelah naik, tidak mahu turun, meskipun harga minyak mula menggelongsor. Apabila harga barang semakin naik, kita marah kepada kerajaan. Kita lepaskan perasaan secara tulisan di laman sosial, secara lisan kepada sesiapa sahaja yang kita temui mahupun ingin berarak dengan sesiapa yang berkempen mahukan harga barang turun. Tetapi, setelah menulis, bercakap serta bertindak dan harga barang tidak turun juga… apa yang kita nak buat?

Sebenarnya, banyak pihak yang menyumbang kepada kenaikan harga barang. Di antaranya ialah sikap pemerintah yang tidak mahu kalah dengan negara lain. Kemajuan dinilai dengan pembangunan fizikal melalui suntikan wang pinjaman. Kita bangga kerana diberi hutang yang besar, kononnya kemudahan itu diyakini kerana mempunyai daya maju, sedangkan peminjam pula lihat mereka bakal mendapat untung besar dengan memberi pinjaman itu. Kita bangga dengan segala ranking itu, ranking ini mengikut pengiktirafan dunia, bukannya menurut tahap kita sendiri. Apabila mengukur baju di badan orang, mana mungkin ia boleh muat ditubuh sendiri?

Mereka yang diamanahkan untuk mengurus belanjawan pula menggunakan wang yang diperoleh seolah-olah duit itu mereka yang punya. Saban tahun, Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mengesahkan berbilion ringgit perbelanjaan mengalir kerana kelemahan dan salahlaku pengurusan kewangan. Ia menjadi acara tahunan bilamana jumlah pembaziran kian meningkat. Ia menaikkan kos mengurus.

Golongan pengeluar, pengedar dan peniaga juga tidak mahu kalah dengan strategi dan helah untuk menaikkan harga barang. Apa sahaja barangan kegunaan semakin meningkat harganya. Pergilah ke mana-mana pasaraya mahupun kedai-kedai biasa dan kita akan dapati hampir kesemua barang keperluan naik harganya. Yang pasti, tiada pun barang yang turun harganya.

Di peringkat diri kita sendiri, apakah kita sedar yang kita turut menyumbang kepada kenaikan harga? Ia terjadi kerana kita mempunyai persepsi yang tidak betul bahawa yang mahal itu mestilah lebih baik. Yang murah itu tiada kualiti. Padahal, ada barang murah yang baik. Ada juga barang yang mahal itu sebenarnya murah jika kita tahu di mana untuk mendapatkannya.

Berbelanja sudah menjadi suatu gaya hidup. Justeru, kemewahan dan kehidupan penuh stail yang kita amalkan itu bukannya taraf hidup. Ia adalah imej yang kita cuba kejar, sedangkan kemewahan material itu umpama fatamorgana. Ia kelihatan hampir, tetapi apabila kita mendekatinya ia menghilang dan muncul lebih jauh di ufuk sana.

Kerana pengaruh iklan dan mereka di sekeliling, kita juga berbelanja di sepanjang masa. Padahal, kita seharusnya berbelanja pada masa-masa tertentu dan berkira dalam banyak ketika. Tetapi oleh kerana ingin terus bergaya, kita akhirnya tidak berdaya lagi. 

Apabila membeli nasi lemak untuk sarapan di pejabat pun, kita tambah dengan telur mata lembu dan sotong kerana mereka yang berkunjung ke gerai juga meminta lauk tambahan. Oleh kerana segan meminta nasi lemak ‘biasa,’ kita tambah lauknya. Esoknya kita beli mihun berlaukkan kerang dan paru pula.  Akhirnya ia menjadi tabiat harian kerana ingin mengikut menu orang lain.

Padahal, kita boleh kenyang bila makan nasi lemak atau mihun yang dibungkus dengan daun pisang. Makanan yang kita beli dengan penuh gaya itu biasanya bukannya habis, malah terbuang begitu sahaja. Pada hari kerja, makan yang sedikit sudah mencukupi.

Ramai juga yang mempunyai lebih daripada sebuah telefon bimbit pada satu-satu masa. Itu belum termasuk telefon lama yang tersimpan di dalam laci, yang sebenarnya masih boleh digunakan. Telefon yang pada asalnya digunakan untuk berkomunikasi atau mengirim mesej sudah menjadi smartphone yang berfungsi komputer, kamera mahupun televisyen. Apakah kita masih kerap gunakan komputer di rumah, selalukah kita gunakan kamera yang dibeli dua tahun lalu atau berapa saluran televisyen yang sebenarnya kita tonton dalam satu-satu hari apabila kita sudah ada telefon pintar?

Jika kita mengkritik projek gajah putih kerajaan, jangan lupa, kita pun ada anak-anak gajah putih di rumah! Ada banyak pinggan mangkuk, pakaian, mainan dan peralatan yang kita simpan dan tidak digunakan walaupun kita dah beli ia dengan harga yang mahal!

Apabila membeli ikan pun, kita mahu bergaya. Dengan berpakaian lip-lap pun, kita boleh mendapatkannya di pasaraya walaupun harganya lebih mahal. Tetapi oleh kerana tidak mahu mengharungi suasana becak dan berbau hanyir, kita sanggup membeli ikan yang sudah merah matanya walaupun harganya jauh lebih tinggi daripada harga di pasar tani ataupun pasar basah. Apabila memilih sayur pun, kita pilih yang import, bukannya jenis yang biasa kita makan selama ini. Yang import tentulah lebih mahal daripada yang diperoleh di sekeliling kampung.

Hukum ekonomi menentukan apabila ada permintaan, maka adalah penawaran. Apabila tinggi permintaan, maka tinggilah harganya. Justeru, apabila kita sendiri memilih barang yang berharga mahal, maka yang mahal itu akan meningkat lagi harganya. Ini semua tidak akan ada akhirnya selagi kita tidak memahami bahawa kita juga menyumbang kepada meningkatnya harga barangan.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.12.2014.

Tuesday, December 2, 2014

CAKAP MESTI SERUPA BIKIN


Piccredit: afatdude.com
 
BERCAKAP MUDAH DARIPADA BERTINDAK

“PETANG INI, saya nak makan pisang goreng panas. Sedapnya jika dapat cicah dengan sos cili. Kalau dapat teguk dengan kopi-O, amboi lazatnya.”
Saya menaip tiga ayat di atas dalam tempoh tidak sampai 20 saat. Bila saya tuturkan apa yang saya taip, ia memakan masa 5 saat sahaja. Namun, jika saya ingin nikmati apa yang saya idamkan, saya mengambil masa hampir sejam untuk makan pisang goreng panas dengan sos cili serta menghirup kopi-O.

Pertamanya, saya kena pergi ke gerai goreng pisang di hujung simpang. Berjalan kaki dari rumah pun mengambil masa 10 minit. Pada waktu petang, gerai abang Dol yang menjual goreng pisang dan pelbagai gorengan seperti keladi, cempedak, ubi dan sukun biasanya dikerumuni pelanggan yang pulang dari kerja.

Walaupun lazimnya saya akan ambil plastik merah sendiri dan memilih pisang goreng yang diingini, saya kena juga tunggu abang Dol mengira jumlah pisang yang saya pilih, sambil saya pula menyeluk saku untuk mengambil wang. Saya mengambil masa 10 minit lagi untuk proses jual beli itu.

Di rumah, saya perlu menjerang air, membancuh kopi, menyediakan piring untuk meletak pisang goreng, seteko kopi dan kole serta menuang sos cili ke dalam sebuah mangkuk kecil. Setelah siap kesemuanya, baharulah saya boleh nikmati apa yang saya ingini.

Jika bercakap hendak makan pisang goreng dengan kopi-O mengambil masa 5 saat, tindakan untuk merealisasikan hasrat itu mengambil masa 50 minit. 10 minit ke gerai abang Dol, 10 minit memilih pisang goreng dan membayarnya, 10 minit berjalan kembali ke rumah, 10 minit menanti air masak dan 10 minit lagi untuk menghidangkan kesemuanya! Bercakap memang lebih mudah daripada bertindak.

Meskipun ramai yang tahu akan keadaan ini, ramai yang masih belum sedar betapa mudahnya bercakap, berucap, berceramah, bersyarah mahupun berpidato berbanding dengan mengkotakan apa yang diperkatakan. Ramai juga yang terlupa akan hal ini. Kerana itulah, mereka yang bercakap berdegar-degar boleh lupa diri apabila setiap patah sebutannya menerima tepukan gemuruh daripada para hadirin. Kita yang mendengar pun sama-sama naik semangat hingga melaung takbir atau menjeritkan slogan yang meremangkan bulu roma kerana terlupa hakikat bahawa bercakap itu lebih mudah daripada mengkotakannya.

Apabila kita berkata bahawa kita ingin menjadi jutawan, membina rumah impian seindah di kayangan, mempunyai isteri secantik bidadari atau suami yang lebih hensem daripada hero Bollywood, ia adalah angan-angan yang perlu dibajai hingga menjadi impian dan dipasak dengan tawakkal dan usaha. 10 tahun pun masih belum tentu impian itu akan menjadi kenyataan oleh kerana kita perlu menempuh jalan sukar dengan kerja secara gigih.

Jika hal-hal peribadi pun sukar direalitikan, apatah lagi bila hal-hal kemasyarakatan, bangsa dan agama. Bukannya senang menyusun masyarakat, bukan mudah membasmi kemiskinan dan payah sekali untuk meletakkan agama di singgahsana hingga ia dihormati oleh semua.

Oleh itu, apabila mula berucap hal-hal sedalam lautan mahupun setinggi angkasa raya, selain daripada menyusun ritma bahasa dan intonasi suara, apa yang lebih mustahak diinsafi ialah apakah perkara yang hendak diucapkan itu boleh dilaksanakan? Berucap dengan penuh saranan tetapi tanpa cadangan metodologi untuk melaksanakannya samalah seperti bercakap separuh jalan.

Ia umpama mencadangkan seseorang ke Terengganu untuk mendapatkan keropok yang sedap tanpa memberitahu cara untuk sampai ke Kampung Losong, di Kuala Terengganu. Sudah pasti orang yang mendengar mengenai keropok losong yang sedap itu setakat termimpi untuk merasainya sahaja. Sebaliknya, jika disampaikan juga cara untuk ke sana, pasti ramai yang akan pergi bila ada peluang.

Bercakap dan bertindak adalah dua perkara yang berbeza. Bercakap merupakan teori, bertindak itu praktiknya. Dalam hal-hal yang peribadi, lazimnya kita akan mencari jalan untuk mengkotakan apa yang kita perkatakan. Bagaimana pun, dalam hal-hal besar seperti yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara, kita kenalah beringat bahawa apa yang diperkatakan itu mungkin hanya didengar oleh mereka di sekeliling kita. Mungkin juga syok sendiri.

Perkara umum itu melibatkan tenaga dan fikiran orang lain untuk merealisasikannya. Justeru itu, cakap itu mesti disulami dengan yang tulisan agar mereka yang tidak mendengar kata-kata kita pada ketika itu dapat membaca dan bertindak di atas apa yang dihasratkan. Maknanya, perlu ada ucapan berserta pelan tindakan. Pelan tindakan mempermudah sesuatu idea itu dilaksanakan. Tanpa ia, mereka yang mendengar saranan itu akan blurr, langsung melupakan terus segala idea yang diucapkan. Jika terjadi demikian, maka berlakulah apa yang selalu disebut sebagai ‘cakap tak serupa bikin!’
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 3.12.2014