Tuesday, January 31, 2017

HENTIKAN SAHAJA TABIAT MENGUTUK


Piccredit: entrepreneur.com

SAMPAI BILA HENDAK MENGATA?

KITA berada di zaman teknologi maklumat. Apa sahaja yang diingini boleh dicapai di hujung jari. Internet memampukan kita menjelajah ke lautan dalam pasifik mahupun terbang melayang di angkasa lepas. Taip sahaja apa yang diingini di komputer dan dalam beberapa saat sahaja, apa yang dihajati itu akan terpapar di depan mata.

Dalam pada kita mencari apa yang dihasratkan, akhir-akhir ini kita pula diterjah dengan segala bentuk maklumat yang kita tidak fikir kita mahukan. Dulu, kita mencari maklumat. Kini lebih banyak maklumat pula yang memburu kita. Oleh kerana seringnya ia muncul tanpa diundang, lama-lama kita dipaksa menatap dan akhirnya terheret lalu tenggelam di alam sesawang.

Kemudahan telefon pintar bukan sahaja turut membolehkan kita melihat dunia di hujung jari. Sebaliknya, oleh kerana pentingnya telefon itu, kita akan bawa ia ke mana sahaja. Tanpa kita sedari, sebenarnya kita juga membawa sebuah perangkap halus yang membuat kita melekat hingga tidak mampu keluar dari alam sesawang itu sendiri.

Denting telefon itu sudah cukup membuat kita teruja untuk membuka telefon dan menatap mesejnya. Selain daripada sembang kawan-kawan di perisian Whatsapp, kita boleh tengok apa yang kawan kita masak di laman Facebook atau Instagramnya. Dan, melalui video YouTube yang terdapat di laman sesawang, kita mampu melihat upacara angkat sumpah Donald Trump sebagai Presiden Amerika.

Bukan setakat itu sahaja. Kita boleh tatap dan mula mengenali wajah Melania Trump, isteri Donald. Dan dapat pula melihat wajah masam mencuka Melania sebaik sahaja Donald berpaling daripadanya. Perang dingin suami isteri itu diperkatakan ke seluruh dunia internet. Tetapi, apakah kita perlu maklumat seperinci demikian? Tidak. Jadi, mengapa kita menatapnya? Alasan yang kita berikan, kita menontonnya kerana seseorang rakan telah mengirim video itu kepada kita.

Apabila kita disua dengan artikel, foto dan video tanpa diundang, kita menatapnya kerana ia terdapat di dalam telefon pintar kita. Okey jugalah andainya kita mengambil bahagian untuk menyebarkannya kepada rakan yang lain untuk berkongsi tontonan. Kita lakukan ia kerana kita mahu sebarkan apa yang menguja kita.

Tetapi, ia menjadi tidak molek, malah sia-sia dan membuang masa apabila kita turut sama memberi komen-komen terhadap apa yang kita sebarkan. Komen-komen biasa selalunya terbabas menjadi kritik dan akhirnya kita mengutuk perlakuan manusia di dalam artikel, foto mahupun video yang ditularkan. Ia biasa melarat menjadi lawak lalu kita mula mempersenda apa sahaja mesej, imej dan video yang kita terima.

Selepas seorang, seorang lagi individu yang kita kutuk dan tertawakan. Padahal asalnya kita hanya ingin berkongsi sesuatu yang mungkin rakan kita minati. Akhirnya sikap mengutuk apa yang ditatap itu menjadi suatu kebiasaan.

Kita yang pada asalnya mahu berkongsi perkara-perkara yang baik atau berdakwah kepada rakan-rakan akhirnya hanya memilih sesuatu yang amat melalaikan bila kita akan tertawa dan tertawa apabila menatap keaiban orang. Peribadi kita yang jarang sekali mengumpat orang sudah berubah sama sekali.

Betapa malang apabila kita tidak sedar akan perubahan peribadi kita kerana teman-teman lain pun sama. Mereka pun tidak sedar akan perubahan diri masing-masing. Apabila satu kelompok kawan-kawan punyai perangai yang serupa, siapakah yang dapat menyedarkan anda agar menjaga perilaku?

Mari kita renungi sudah berapa lamakah kita bebas mengutuk selepas seorang, seorang lagi personaliti yang kita kongsikan di laman internet ataupun lelain perisian laman sosial. Setahun? Dua tahun? Atau lebih daripada itu? Apakah yang kita peroleh apabila kesemua komen dan kritik kita itu tidak sampai pun kepada si empunya diri?

Kita tidak mendapat apa-apa. Dan si empunya diri sudah tentu tidak tahu kita ada memberi komen terhadap dirinya. Meskipun ia baik, orang yang dikritik itu tidak dapat memperbetul kelemahannya kerana tidak tahu kita ada memberi pandangan terhadap kesilapannya.

Sebenarnya, ramai sekali orang yang kita kritik melalui laman-laman sosial itu tidak berguna walau satu sen kepada kita! Apa yang mereka lakukan itu tidak langsung memberi kesan terhadap diri kita. Jika perlakuan mereka benar-benar menjejaskan kehidupan kita, pasti kita mencari orang itu untuk kita ajar dia secukupnya!


Sebaliknya, rasa marah kita, benci kita, meluat kita itu ditumpahkan dalam bentuk tulisan. Beranikah kita sebenarnya jika hanya menegur sesuatu kesilapan, kelemahan mahupun keaiban hanya dengan cara menulis? Dan tulisan kita tidak pun setajam mata pedang!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.2.17.

Tuesday, January 24, 2017

CANTIK DI LUAR MOLEK DI DALAM


Piccredit: penwarriors.com


BUKU: PENTINGKAN 
KULIT ATAU ISI?
HUJUNG minggu lalu saya berkemas untuk berpindah pejabat. Susun letak pejabat kali ini lebih praktikal kerana kesemua warga kerjanya berada di aras yang sama. Kami duduk sekumpul samada wartawan, penyunting, grafik dan editor. Begitu juga ruang lokasi warga kerja Sinar Harian versi cetak, Online dan juga Sinar TV kesemuanya sejauh mata memandang. Boleh nampak di antara satu sama yang lain.
Luas kawasan hanyalah sepelaung. Sepelaung mengikut ukuran suara Pengarang Berita saya, Azmi Tarmizi yang memang lontaran suaranya seperti komander tentera. Jika dia menjerit memanggil wartawan, petugas yang duduk di hujung pejabat boleh dengar panggilan itu. Dalam dunia persuratkhabaran, komunikasi secara jeritan yang konvensional itu lebih praktikal daripada komunikasi secara talian. Malah suara riuh rendah seperti pasar itu memeriahkan suasana.
Sedang saya berkemas, saya terjumpa sekeping poster mini. Tertera di atasnya sebuah mutiara kata berbahasa Inggeris yang berbunyi: ‘The person who says, don’t judge a book by its cover is not a book publisher!’ Maksudnya, ‘Orang yang kata; jangan hakimi sesebuah buku dengan hanya melihat kulitnya itu bukanlah seorang penerbit buku.’ Saya cetuskan mutiara kata ini pada 1997 tatkala mula menerajui syarikat penerbit buku, Alaf 21.
Ketika itu melalui pemerhatian, saya mentafsir industri buku di Malaysia sudah ketinggalan zaman. Buku yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat penerbitan hampir kesemuanya menggunakan judul-judul buku yang panjang. Malah judul yang dipilih tidak langsung menyengat minda untuk menarik pembaca bila ia dipamer di gedung buku.
Judul-judul yang dipilih bernada serius seolah-olah kumpulan sasar buku hanyalah untuk mereka di bilik-bilik kuliah semata-mata. Misalnya, judul buku 'Krisis Identiti Remaja Dalam Mendepani Era Kemodenan,' adalah judul yang berbaur akademik. Ia mungkin hanya menarik para guru kaunseling ataupun para pensyarah di bidang sains sosial. Ibu bapa, apatah lagi para remaja tidak mungkin memilih buku yang berjudul sebegitu untuk bahan bacaan.
Seharusnya, buku yang punyai isi yang padat dan ilmiah itu boleh sahaja memilih judul 'Remaja, Lu Siapa?' misalnya. Judul buku yang begini boleh menarik minat golongan remaja juga untuk memilih dan memilikinya. Kebanyakan ilustrasi kulit buku pada hujung 90an biasanya dilakar secara abstrak dan memilih warna yang kedam. Boleh dikatakan tiada yang bermotifkan pop art sebagai penarik mata bakal pembeli.
Bidalan Inggeris 'don't judge a book by its cover' menjadi mantra, malah kepercayaan bahawa kulit buku tidak menentukan isinya. Keyakinan bahawa kalau buku itu bagus, kulitnya tidak wajib sebagus isinya, itulah yang melahirkan buku-buku yang tidak punyai wajah yang komersial langsung.  Akhirnya, bila buku tidak laku, dipersalahkan pula masyarakat Malaysia bahawa rakyat Malaysia malas membaca. Tapi itu dulu, dua dekad yang lalu.
Sebaliknya kini, trend mutakhir ini mementingkan kulit dan judul buku pula.  Jika dahulu, wajah sasterawan menjadi penghias kulit bukunya, kini para ustaz pun dipilih berposing dengan gaya ‘tidak ustaz’ sebagai penghias kulit buku. Judul-judul buku pun lebih santai dan berwarna-warni untuk menarik hati golongan muda.
Cuma masalah sekarang pula ialah, semakin banyak pula buku-buku yang punyai isi yang entah apa-apa, tetapi dibalut dengan kulit berwarna-warni dan menggunakan judul-judul yang menggunakan bahasa pasar dan tidak kurang juga menyelitkan bahasa Inggeris di dalam judulnya. Ia laris seperti goreng pisang cheese. Tetapi, sudah banyak buku-bukunya boleh dihabiskan dalam masa setengah hari kerana menggunakan saiz huruf yang besar dan isi yang pendek-pendek untuk setiap bab.
 Pendek kata, semakin banyak buku-buku pada hari ini lebih indah kulit daripada isi. Tujuan penerbit adalah untuk mendapat pulangan besar secepat yang boleh. Para penulis yang teruja dengan pasaran yang cepat-cepat ini akhirnya turut kelabu mata dengan wang dan akhirnya mementingkan kuantiti daripada kualiti.
Apakah ertinya? Jika dahulu, banyak buku yang baik tidak diminati kerana persembahannya yang kurang baik. Kini, sebaliknya pula yang terjadi ~ buku yang diterbitkan punyai isi yang longgar dan tidak berbaloi dengan harganya ~ seperti kita memakan mi sup yang banyak kuah daripada isi.
Seharusnya, buku yang diterbitkan biarlah cantik di luar dan padat di dalam. Seperti yang kita lihat pada hari ini, banyak sekali buku-buku lama yang diterbit kembali dengan wajah baharu seperti buku sirah Rasulullah saw, The Sealed Nectar oleh Sheikh Safi-ur-Rahman al-Mubarkpuri, buku sejarah Al-Muqadimmah oleh Ibn Khaldun, mahupun buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Hamka. Kesemuanya punyai rekebentuk kulit yang cantik dan rekaletak menarik, kelihatan seperti buku penulis baharu.

Bila direnung dari jauh, pembikin buku dahulu pentingkan isi. Pembikin buku sekarang pula mengutamakan kulit. Sepatutnya buku itu juga perlu seimbang seperti manusia ~ tidak boleh tampak hodoh luaran, asal budinya mulia. Ataupun molek di luar tetapi peribadinya jelek. Yang bagus, cantik di luar, apatah lagi di dalam.

Insya-ALLAH, buku ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.1.17.

Tuesday, January 17, 2017

BERPENDIRIAN OKEY DAN BAIK-BAIK SAJA



Piccredit: immediatefuture

TAK GUNA ASYIK 
MENJAGA HATI

PADA dasarnya kita adalah insan yang cintakan keamanan. Peace loving humans. Sebab itulah kita tidak gemar berbeza pendapat, berhujah, apatah lagi berbalah dan bertengkar meskipun ia bertujuan menyatakan pandangan peribadi terhadap sesuatu perkara yang subjektif. Seboleh mungkin, kita cuba mengelak daripada menyatakan sesuatu yang bertentangan daripada apa yang diutarakan oleh orang lain.

Sikap menggunakan minda kritikal yang panas dan pedas hanya diaplikasikan di bilik-bilik kuliah, bilik-bilik mesyuarat dan dewan seminar. Sebaik sahaja keluar daripada suasana ilmiah itu, kita kembali dengan pemikiran simple, menurut kata dan pandangan orang, semata-mata kerana tidak mahu berfikir dalam mengeluarkan pendapat dan pendirian yang sebenarnya mencerminkan identiti dan wibawa seseorang itu.

Ini terjadi apabila kita bersembang. Kata orang, kita cuba bermanis mulut. Sambil menanti tren dan apabila orang di sebelah memberi komen mengenai jerebu, kita akan mengiyakan. Malah, kita akan mengulas kata-katanya dengan konotasi yang seiring dengan komennya.  Sementara berbaris untuk membayar harga makanan, kalau teman bercakap mengenai kesesakan jalanraya, kita pun menambah-nambah sokongan kata-katanya siap dengan beberapa contoh. Ujarlah apa sahaja dan kita akan memberi komen yang senada dan seirama.

Apakah ini bagus? Bagus juga. Tetapi bagus setakat menjaga perhubungan secara mengambil hati. Walhal jika kita mengutamakan suasana yang aman dan tenteram tetapi tidak mahu menzahirkan pandangan yang boleh memperbetul sesuatu tanggapan, kita menyumbang kepada pembinaan persepsi umum atau public perception. Sedangkan public perception itu tidak semestinya baik dan betul.
Apa akan terjadi apabila masing-masing cuba menyedapkan hati orang lain semata-mata untuk menjaga keharmonian? Walhal ini hanya akan menjadikan sesebuah masyarakat itu lemah dan lembam sebab kesemuanya sepakat untuk melihat sesuatu hal itu sebagai okey dan baik-baik sahaja.

Apabila kita malas mengeluarkan pendapat semata-mata kerana tidak mahu mengeruhkan suasana perhubungan, padahal pendapat kita itu ada kewajaran dan kebenarannya, kita sebenarnya membiarkan orang lain mempunyai pandangan yang salah. Membiarkan masyarakat mempunyai pandangan yang salah itu sama seperti menyetujui pandangan yang salah kerana kita sendiri berada di dalam masyarakat itu.

Benarlah, menyuarakan sesuatu pandangan yang berbeza mengenai sesuatu yang besar itu barangkali tidak akan mengubah apa-apa. Mungkin seperti anjing menyalak bukit. Tetapi, yang penting kita akan berasa puas hati kerana telah menyatakan sesuatu kebenaran. Orang tak tahu, tidak mengapa. Orang lain tidak setuju pun tidak mengapa.  Seperti juga bila kita berpakaian baharu… orang lain mungkin tak perasan kita mengenakan baju baharu pada hari itu. Tetapi yang penting kita berasa puas dan selesa dengan pakaian itu. Inilah syok sendiri yang positif!

Ubahlah pandangan dan pendirian masyarakat seandainya kita punyai pandangan yang jitu dan betul. Bagaimana pun, seandainya kita dah cuba menyatakan pandangan dengan mereka di sekliling kita, terserahlah kepada keadaan samada masyarakat akan mengubah pandangan mahu pun sebaliknya.
Bagaimana pun, seandainya pandangan kita tidak diterima, maka teruslah dengan pandangan dan pendirian kita yang tersendiri itu. Dan, jangan lupa untuk bertindak berseorangan. Impak kepada perubahan itu tidak semestinya dilakukan oleh sekumpulan manusia. Seorang insan pun sudah boleh mengubah segala. Kitalah insan itu.

Jika kita rajin meneliti perangai manusia di kalangan kawan-kawan kita, misalnya dalam kumpulan Whatsapp, kita akan temui mereka yang kerap punyai pandangan dan pendirian yang berbeza daripada yang lain. Lazimnya mereka ini pada zahirnya tampak menyetujui segala apa yang dibicarakan. Malah tidak semestinya aktif mengeluarkan pandangan. Tetapi dalam diam, mereka berbuat sesuatu yang sebaliknya daripada pandangan kumpulan.

Orang bersembang, dia bersembang. Orang bermain, dia pun bermain. Tetapi orang lain tak lulus peperiksaan, dia lulus dengan cemerlang. Dia boleh bersetuju dengan kata-kata kita bahawa kehidupan pada hari ini semakin sukar kerana kenaikan harga barang, GST, 1MDB, rasuah dan apa sahaja.

Tetapi tatkala kita asyik berkata sama seperti orang lain, gerakannya menongkah arus pandangan kita. Kehidupannya semakin senang sedangkan kita masih ditakuk lama dengan masalah negara yang kita fikir ia masalah kita yang terpaksa kita pikul.

Orang tua kata, inilah manusia diam-diam ubi berisi.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.1.17. 








Tuesday, January 10, 2017

KEGAGALAN ITU SAUDARA KEJAYAAN


Piccredit: aloypro.wordpress.com

APABILA TERTIPU 
DENGAN KEJAYAAN

SEBENARNYA bukannya senang untuk berjaya. Namun, bukan sukar ia diperoleh asalkan kita berusaha dengan konsisten untuk mencapainya apabila kita menapak mengikuti pelan tindakan yang dilakar. Apabila kejayaan dalam genggaman, apa yang dirasa adalah kepuasan.

Yang sukar dirasa senang. Yang payah dirasakan mudah. Hilang segala pemikiran negatif tatkala mengharungi cabaran untuk berjaya. Yang difikir hanyalah yang positif. Rasa puas sangat. Tetapi biasalah… kepuasan kita hanyalah seketika.

Dahaga kepada kejayaan yang seterusnya menjadikan kita meningkatkan target pencapaian. Seperti seorang pendaki gunung, kita mahu menjejakkan kaki di gunung Everest sebagai petanda yang kita sudah benar-benar berjaya. Mujurlah ia gunung tertinggi di dunia. Jika ada lagi gunung yang lebih tinggi, tentu sekali kita mendaki gunung yang lain itu pada keesokan harinya.

Manusia punyai sikap ingin cuba memperbaiki kejayaannya. Apabila berjaya mencapai matlamat ‘A’ misalnya, mengulangi pencapaian itu dirasakan begitu mudah. Jika formulanya sudah menjadi peta kejayaan, apa yang perlu dilakukan ialah dengan menggunakan formula yang sama. Ulangilah apa jalan yang dilalui. Mengikut hukum akal, kejayaan akan diperoleh secara pasti.

Namun, kejayaan itu punyai tipu dayanya yang tersendiri. Tipuan pertama ialah perasaan bahawa ia pasti diperoleh jika kita gunakan pendekatan yang serupa. Kita terlupa, pelan adalah teori. Tindakan pula, walau digerakkan, ia melalui iklim sekeliling yang berbeza.

Analoginya, jika sebelum ini kita melangkah menuju kejayaan merentas padang yang dipenuhi bunga pelbagai warna, kali ini kita mengharung padang yang diliputi salji tebal. Jalannya sama, tetapi suasana persekitarannya berbeza. Kejayaan bakal dipeoleh jua tetapi dengan mengambil masa yang lebih lama dan mengharungi cabaran yang berbeza.

Tipuan kedua ialah perasaan tidak boleh gagal. Sementelah pernah berjaya,  mengapa berasa kejayaan itu hak kita? Mengapa terus mencuba di sesuatu bidang yang baharu tanpa berfikir panjang kerana berasa sempat berfikir untuk menyesuaikan tindakan tatkala bergerak. Sedangkan cara yang sepatutnya ialah berfikir dan merancang dahulu sebelum bertindak. Tindakan bertindak sebelum merancang sepenuhnya itu petanda over-confident. Ia pendirian yang tidak praktikal. Kejayaan sebelum ini adalah perkara dahulu. Yang didepani kini adalah usaha baharu yang perlu ditangani secara semasa.

Tipuan ketiga pula ialah sikap tidak mengizinkan kesilapan. Jika setahun diambil untuk mengukir kejayaan yang pertama, kita  mahu ia dicapai pada masa yang lebih singkat. Kerana terlalu taksub tidak mahu melakukan kesilapan, tindakan kita seperti maju selangkah ke hadapan tetapi berundur dua langkah. Akibat takut melakukan kesilapan, masa yang diambil lebih lama. Tenaga dan material pasti lebih banyak. Pendek kata, rugi banyak sebelum bermula pun.

Tipuan keempat pula ialah perasaan seronokkan kejayaan. Apa sahaja ingin dicuba. Diri dirasakan seperti mitos Yunani iaitu Raja Midas yang boleh menukar apa sahaja yang disentuh menjadi emas. Seseorang yang berasa diri begitu hebat hingga mahu menceburi apa sahaja bidang sebenarnya rambang mata. Satu pun tidak akan menjadi kerana kejayaan itu perlukan fokus.

Tipuan kelima pula ialah meninggalkan formula yang menjadikan seseorang itu berjaya. Banyak usaha yang berjaya menemui kegagalan bukan sebab faktor luaran. Sebaliknya ia datang daripada faktor dalaman iaitu tidak menggunakan sepenuhnya apa yang mendatangkan kejayaan. Malah, meninggalkan terus kubu di mana kejayaan itu terpasak. Tentera Islam di Perang Uhud adalah contoh bagaimana kejayaan menjelma menjadi kegagalan akibat meninggalkan tempat asal yang telah menjamin kejayaan.

Orang yang gagal pun punyai banyak masalah seperti orang yang berjaya. Tetapi orang yang gagal biasanya bergelumang dengan masalah. Sedangkan orang yang berjaya selalunya menjemput masalah datang menghurunginya. Orang yang gagal sedar dia inginkan kejayaan. Tetapi orang yang berjaya tidak sedar ia mahu merasa kegagalan melalui tindakan-tindakan  bodohnya.

Insya-allah artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 11.1.2017.