Piccredit: penwarriors.com
BUKU: PENTINGKAN
KULIT ATAU
ISI?
HUJUNG minggu lalu
saya berkemas untuk berpindah pejabat. Susun letak pejabat kali ini lebih
praktikal kerana kesemua warga kerjanya berada di aras yang sama. Kami duduk
sekumpul samada wartawan, penyunting, grafik dan editor. Begitu juga ruang
lokasi warga kerja Sinar Harian versi cetak, Online dan juga Sinar TV
kesemuanya sejauh mata memandang. Boleh nampak di antara satu sama yang lain.
Luas kawasan hanyalah
sepelaung. Sepelaung mengikut ukuran suara Pengarang Berita saya, Azmi Tarmizi
yang memang lontaran suaranya seperti komander tentera. Jika dia menjerit
memanggil wartawan, petugas yang duduk di hujung pejabat boleh dengar panggilan
itu. Dalam dunia persuratkhabaran, komunikasi secara jeritan yang konvensional
itu lebih praktikal daripada komunikasi secara talian. Malah suara riuh rendah
seperti pasar itu memeriahkan suasana.
Sedang saya berkemas,
saya terjumpa sekeping poster mini. Tertera di atasnya sebuah mutiara kata
berbahasa Inggeris yang berbunyi: ‘The
person who says, don’t judge a book by its cover is not a book publisher!’ Maksudnya,
‘Orang yang kata; jangan hakimi sesebuah buku dengan hanya melihat kulitnya itu
bukanlah seorang penerbit buku.’ Saya cetuskan mutiara kata ini pada 1997 tatkala mula menerajui syarikat penerbit buku, Alaf 21.
Ketika itu melalui pemerhatian, saya mentafsir industri
buku di Malaysia sudah ketinggalan zaman. Buku yang diterbitkan oleh
syarikat-syarikat penerbitan hampir kesemuanya menggunakan judul-judul buku
yang panjang. Malah judul yang dipilih tidak langsung menyengat minda untuk
menarik pembaca bila ia dipamer di gedung buku.
Judul-judul yang
dipilih bernada serius seolah-olah kumpulan sasar buku hanyalah untuk mereka di
bilik-bilik kuliah semata-mata. Misalnya, judul buku 'Krisis Identiti Remaja
Dalam Mendepani Era Kemodenan,' adalah judul yang berbaur akademik. Ia mungkin
hanya menarik para guru kaunseling ataupun para pensyarah di bidang sains
sosial. Ibu bapa, apatah lagi para remaja tidak mungkin memilih buku yang
berjudul sebegitu untuk bahan bacaan.
Seharusnya, buku yang
punyai isi yang padat dan ilmiah itu boleh sahaja memilih judul 'Remaja, Lu
Siapa?' misalnya. Judul buku yang begini boleh menarik minat golongan remaja juga
untuk memilih dan memilikinya. Kebanyakan ilustrasi kulit buku pada hujung 90an
biasanya dilakar secara abstrak dan memilih warna yang kedam. Boleh dikatakan
tiada yang bermotifkan pop art
sebagai penarik mata bakal pembeli.
Bidalan Inggeris 'don't judge a book by its cover'
menjadi mantra, malah kepercayaan bahawa kulit buku tidak menentukan isinya.
Keyakinan bahawa kalau buku itu bagus, kulitnya tidak wajib sebagus isinya,
itulah yang melahirkan buku-buku yang tidak punyai wajah yang komersial
langsung. Akhirnya, bila buku tidak
laku, dipersalahkan pula masyarakat Malaysia bahawa rakyat Malaysia malas
membaca. Tapi itu dulu, dua dekad yang lalu.
Sebaliknya kini,
trend mutakhir ini mementingkan kulit dan judul buku pula. Jika dahulu, wajah sasterawan menjadi penghias
kulit bukunya, kini para ustaz pun dipilih berposing dengan gaya ‘tidak ustaz’
sebagai penghias kulit buku. Judul-judul buku pun lebih santai dan
berwarna-warni untuk menarik hati golongan muda.
Cuma masalah sekarang
pula ialah, semakin banyak pula buku-buku yang punyai isi yang entah apa-apa,
tetapi dibalut dengan kulit berwarna-warni dan menggunakan judul-judul yang
menggunakan bahasa pasar dan tidak kurang juga menyelitkan bahasa Inggeris di
dalam judulnya. Ia laris seperti goreng pisang cheese. Tetapi, sudah banyak buku-bukunya boleh dihabiskan dalam
masa setengah hari kerana menggunakan saiz huruf yang besar dan isi yang
pendek-pendek untuk setiap bab.
Pendek kata, semakin banyak buku-buku pada
hari ini lebih indah kulit daripada isi. Tujuan penerbit adalah untuk mendapat
pulangan besar secepat yang boleh. Para penulis yang teruja dengan pasaran yang
cepat-cepat ini akhirnya turut kelabu mata dengan wang dan akhirnya
mementingkan kuantiti daripada kualiti.
Apakah ertinya? Jika
dahulu, banyak buku yang baik tidak diminati kerana persembahannya yang kurang
baik. Kini, sebaliknya pula yang terjadi ~ buku yang diterbitkan punyai isi
yang longgar dan tidak berbaloi dengan harganya ~ seperti kita memakan mi sup
yang banyak kuah daripada isi.
Seharusnya, buku yang
diterbitkan biarlah cantik di luar dan padat di dalam. Seperti yang kita lihat
pada hari ini, banyak sekali buku-buku lama yang diterbit kembali dengan wajah
baharu seperti buku sirah Rasulullah saw, The
Sealed Nectar oleh Sheikh Safi-ur-Rahman
al-Mubarkpuri, buku sejarah Al-Muqadimmah oleh Ibn Khaldun, mahupun
buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
oleh Hamka. Kesemuanya punyai rekebentuk kulit yang cantik dan rekaletak
menarik, kelihatan seperti buku penulis baharu.
Bila direnung dari
jauh, pembikin buku dahulu pentingkan isi. Pembikin buku sekarang pula mengutamakan
kulit. Sepatutnya buku itu juga perlu seimbang seperti manusia ~ tidak boleh
tampak hodoh luaran, asal budinya mulia. Ataupun molek di luar tetapi
peribadinya jelek. Yang bagus, cantik di luar, apatah lagi di dalam.
Insya-ALLAH, buku ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.1.17.
No comments:
Post a Comment