Piccredit: dailymail.com
TAK BOLEH
PUTUS BILA BERSAHABAT
PADA hujung minggu lalu, saya menjemput staf Muhamad
Mat Yakim untuk masuk sebentar ke mesyuarat harian syarikat. Saya menjemputnya kerana hari itu adalah hari
terakhir beliau berkhidmat di Sinar Harian. Dia yang kami gelar Che Mat
kelihatan tenang pada hari itu. Maklumlah, beliau memberi notis tiga bulan.
Biasanya seseorang yang hendak berhenti akan memberi
notis sebulan sebelum mengundurkan diri. Mungkin tempoh yang panjang itu
membolehkan dia dan juga kami menyesuaikan diri dengan suasana baharu. Agar
kami boleh bekerja tanpa dia dan dia pula bekerja dengan team yang baharu. Mengikut
katanya, hatinya memang berat untuk meninggalkan akhbar yang disertainya sejak
penubuhannya 10 tahun yang lalu. Namun, untuk meneruskan minatnya, Che Mat mengambil
keputusan untuk beralih angin.
Beliau menjelaskan serba sedikit yang beliau akan
meneruskan kerjayanya di dunia persuratkhabaran juga. Tentulah kami berasa
gembira apabila mendengar pengumuman bahawa Che Mat masih di dunia media akhbar.
Staf yang lain turut memberikan ucapan selamat kepada Che Mat. Harapan kami
semuanya senada. Meskipun tidak lagi bersama, ia bukan bererti kami semua akan
putus persahabatan.
Bila tiba giliran saya, selain ucapan selamat
kepada seseorang yang ingin meletakan jawatan, saya menyentuh mengenai perhubungan
di antara saya dengannya di sepanjang perkhidmatan bersama dengan Sinar Harian.
Tidak boleh tidak dalam perhubungan itu, pelbagai mood kami rasai dalam
interaksi seharian kami. Ada ketikanya di antara kami pernah berasa duka,
marah, geram, sakit hati, jauh hati, meluat, letih, suka, kagum, lega, bangga
dan yakin di antara satu sama lain. Ada pahit, ada manis, ada masam dan ada
masin.
Segala perasaan positif mahupun negatif di antara
kami itu dirasai dari satu ekstrim ke satu ekstrim yang lain kerana kami
bekerja di syarikat dan jabatan yang sama. Ia tidak akan terjadi seandainya
kami tidak bertemu dan bermesyuarat pada setiap hari untuk memilih dan menyusun
berita, meneliti sudut pandang pendekatan pemberitaan dan juga memperbetul
segala kekurangan.
Namun, apa sahaja yang rapat akan melahirkan
pergeseran. Pergeseran yang ditangani secara negatif akan menghasilkan api yang
membakar hingga rentung lalu menjadi abu. Sebaliknya pergeseran yang dibendung
dan dijagai akan menghasilkan tenaga. Tenaga inilah yang akan menghasilkan
kuasa; kuasa yang mempengaruhi minda pembaca melalui berita yang dihasilkan.
Bagaimana pun, seandainya Che Mat hanya seorang jiran saya, apakah
interaksi kami akan punyai spectrum perhubungan yang begitu pelbagai? Sebagai
jiran. mungkin kami hanya akan bersembang bila terserempak ketika saya membasuh
kereta. Mungkin bertanya khabar serba sedikit sebelum masing-masing masuk ke
dalam rumah. Kalaupun kami bertemu apabila berjemaah di surau, perbualan
panjang kami di majlis kenduri tentunya mengenai isu-isu sekitar kawasan
perumahan seperti jalan berlubang, padang yang tidak ditebas pekerja PBT
ataupun tentang sampah yang tidak dikutip secara berkala.
Begitu juga, seandainya saya cam Che Mat sebagai
salah seorang pengunjung di restoran mamak tempat saya bersarapan, mungkin
sahaja kami akan bersembang kosong mengenai banjir di Kelantan, kesesakan
jalanraya, mengenai kenaikan harga minyak, hal belanja sekolah yang meningkat
dan apa sahaja yang menjadi tular di media sosial. Cukup sekadar berbual kosong
sebagai teman semeja tatkala bersarapan.
Kadangkala, perhubungan kerana ada kepentingan
bersama itulah yang penuh ranjau dan cabaran yang bakal menentukan rapat atau
renggangnya perhubungan. Perhubungan suami isteri, adik-beradik, ipar duai,
saudara-mara, sedarjah, sekolej, satu
persatuan, satu pasukan mahupun satu pejabat biasanya mengalami suhu panas,
suam dan dinginnya. Ia terjadi kerana rasa prihatin kita pada kepada orang itu
kerana rapatnya perhubungan itu.
Oleh kerana itu, usah kecewa sangat apabila perhubungan
kita dengan seseorang itu melalui jalan berduri. Ia petanda bahawa perhubungan kita
dengannya itu sebenarnya erat, malah
saling memerlukan di antara satu dengan yang lain. Pergeseran yang berlaku itu
adalah kerana dinamika perhubungan itu yang sedang melalui fasa-fasa
persahabatan. Dengan mereka inilah kita tidak boleh berpisah walau apa pun yang
terjadi kerana ia sebenarnya ada kena mengena dengan erti silaturrahim yang
dituntut agama.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 4.1.17.
No comments:
Post a Comment