APA YANG ADA DI SEBALIK TOMBIRUO
Filem
Tombiruo: Penunggu Rimba, karya Ramlee Awang Murshid yang kini sedang
ditayangkan di 115 pawagam-pawagam seluruh tanah air termasuk di Brunei dan
Singapura telah berjaya mengutip lebih RM 2 juta meskipun baharu empat hari
tayangan. Ia terus menyelit ke carta nombor dua di rangkaian pawagam Golden
Screen Cinemas, salah sebuah rangkaian pawagam yang besar di negara ini. Hebat,
kerana filem tempatan telah berjaya mengenepikan filem-filem barat seperti The Foreigner, Blade Runner 2049 dan Kingsman: The Golden Circle.
Apakah rahsia
kejayaan filem Tombiruo ini? Di antaranya ialah kerja berpasukan di belakang
tabir. Tidak boleh tidak, pasukan yang mengadaptasi novel Tombiruo hingga
menjadi sebuah filem yang komersial telah melakukan suatu kerja yang amat
berat. Team kreatif yang menterjemah idea novel itu kepada visual memerlukan
persefahaman hingga ke dasar minda.
Orang kreatif
penuh emosi dalam mengekspresi idea. Mereka akan berbincang, berdebat dan bertelagah.
Kadangkala boleh berkecil-kecil hati. Tetapi itulah adat dalam berkarya. Betapa
pentingnya pergeseran dalam melahirkan idea. Pergeseran melahirkan tenaga dan
tenaga itulah yang akhirnya memberi nafas kepada filem ini. Akhirnya lahirlah
skrip untuk sebuah filem sepanjang 115 minit dari novel setebal 517 halaman.
Para pelakon
berpengalaman juga memainkan peranan yang penting untuk menghidupkan watak
khayalan penulis dalam bentuk fizikal. Nama-nama seperti Zul Ariffin, Farid
Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Artu, Hasnul Rahmat, Michael
Chen, Dato’ M Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Khusyairi dan Dynas Mokhtar telah
berjaya menghidupkan watak masing-masing. Tidak boleh tidak, tenaga di belakang
tabir dan yang penting sekali, pengarahan Seth Larney dengan air tangan
pengarah bersekutu Nasir Jani telah membentuk sebuah filem wajib tonton bagi
semua orang yang kenal bahasa sinema.
Bagaimana
dengan promosi dan pemasaran? Pihak Astro Shaw sebagai salah sebuah syarikat
yang melabur untuk filem ini bersama Kumpulan Media Karangkraf, Ideate Media
dan Layar Sunan sedang berani melakukan iklan yang melangkaui media sosial
seperti Facebook, Twitter, YouTube
dan Instagram. Itu tidak termasuk
promosi di media elektronik televisyen, radio dan billboard. Kesannya besar kerana ia memberi impak maksimum.
Namun, jangan
lupa juga kepada kesan kempen tular yang dijalankan oleh Fan Club Ramlee Awang Murshid. Sebenarnya, tidak ada penulis
tempatan yang punyai pasukan fan club yang
sebegini komited. Mereka berpadu lebih 10 tahun untuk sentiasa memberi sokongan
kepada setiap hasil karya penulis kesayangan mereka.
Para AJKnya
yang dikenali sebagai RAMbassadors bersama dengan para peminat yang bergelar
RAMians ini punyai rangkaian networking
yang kemas dalam mengajak para peminat penulis untuk menonton filem ini.
Kesannya, di laman-laman sosial terutamanya Facebook,
kita akan terserempak dengan status para peminatnya yang menularkan
kempen-kempen mereka.
Novel Tombiruo
yang terbit pada 1997 itu juga memainkan peranan sebagai alat bantu promosi
yang menghangatkan filem itu di pawagam. Sebahagian daripada kalangan penonton
filem ini adalah dari kalangan pembaca
novel ini. Novel yang sudah berbelas kali diulangcetak ini nampaknya bakal
menerima ledakan jualan kembali, seiring dengan tayangan filem ini.
Betapa pun,
yang paling berjaya dari kesemua ini ialah penulisnya sendiri, Ramlee Awang
Murshid. Tombiruo diilhamkan daripada nama semangat hutan kepercayaan pelbagai
suku kaum di Sabah. Ia adalah suatu kepercayaan karut. Namun, Ramlee berjaya
menterjemahkannya menjadi susuk tubuh seorang adiwira penjaga alam.
Sehinggakan
apabila nama Tombiruo disebut, konotasinya kini adalah mengenai seorang hero
pembela kezaliman manusia terhadap alam. Ramlee nampaknya berjaya memadam imej
hantu dan khurafat dari minda masyarakat, khususnya di kalangan generasi muda.
Inilah seruan kebaikan yang cuba disampaikan 20 tahun lalu. Kesannya hanya
baharu menular pada 2017. Sering kali, sesebuah seruan ke arah kebaikan itu
hanya meninggalkan kesan setalah bertahun-tahun kemudian. Semoga Tombiruo tidak
dilihat dari teropong riuh-rendah komersial semata-mata. Filem ini punyai isi
dan inti.
No comments:
Post a Comment