KE MANA ARAH
PERJALANAN KITA?
SESUNGGUHNYA hidup ini adalah sebuah perjalanan. Mahu atau
tidak mahu, kita mesti bergerak. Orang kata, kalau tak bergerak, kita akan
ketinggalan. Namun, bergerak ke mana? Ke suatu arah yang selamat. Bagaimanakah
kita hendak tahu samada kita sedang bergerak ke arah yang selamat sedangkan
kita tidak tahu di manakah kita berada?
Andainya kita di tempat yang selamat, buat apa berjalan ke daerah
yang mungkin tidak seselamat seperti di sini? Persoalannya, bagaimanakah kita
tahu kita kini berada di tempat yang selamat? Jika begitu, kita perlu ada peta.
Peta itulah yang akan menentukan arah perjalanan kita ke tempat yang selamat.
Tetapi, nanti dulu. Dari mana kita nak dapatkan peta itu? Dan
kita mesti dapatkan peta yang betul, bukannya peta yang kita tidak tahu dari asal
usulnya. Jika tidak, barangkali kita akan dapat peta yang palsu, yang bukan
membawa kita ke tempat yang selamat, tetapi sebaliknya ke jalan yang jahanam.
Peta apakah yang betul, yang boleh membawa kita ke tempat yang
selamat? Tentu sekali, al-Quran. Peta ini sahih. Ia wahyu ALLAH S.W.T yang disampaikan
kepada Rasulullah S.A.W oleh Jibril A.S. Kemudian dipanjang secara lisan, mulut
ke mulut hingga dicatat ke atas pelepah kamar dan akhirnya dijilidkan seperti
hari ini. Inilah peta untuk perjalanan hidup. Ini jugalah peta untuk perjalanan
maut.
Ramai sekali kita yang tahu bahawa al-Quran itu juga peta. Tetapi,
ramai juga yang masih tidak mahu mengambilnya sebagai teman berjalan di bumi
ini. Mereka mencari peta-peta kejayaan selain daripada al-Quran yang hanya
memberi pandu arah perjalanan setakat di dunia sahaja.
Maknanya, peta separuh jalan atau peta yang akan membawa ke
jalan mati. Dead end! Apa guna
membawa peta tak lengkap yang kemudiannya dibuang kerana tiada berguna, malah
kita sesat semula? Wal hasil balik asal, Pi mai pi mai tang tu juga.
Sebab itulah, kita bijak
bila mengambil al-Quran sebagai peta. Ia peta pelbagai fungsi sebagai manual,
prosedur operasi standard, skrip dan kompas yang akan menunjukkan dua fasa
perjalanan. Yang pertama, perjalanan penuh cabaran onak, duri, gunung dan
gaung. Yang kedua, perjalanan bahagia di atas bahagia.
Tetapi, al-Quran sebagai peta sebenar perjalanan ini
mencatatkan apa yang betul. Betul dalam ertikata bila kita mengikuti peta ini,
ia akan melewati lorong yang sempit dan sesak. Laluan menurunnya berduri, berlopak,
curam, licin dan bergaung. Hala mendakinya penuh berbatu, jalan-jalan terhalang
yang perlukan kesabaran untuk sampai ke puncak.
Dalam pada itu, peta ini juga menunjukkan jalan-jalan di kiri
dan kanan yang nampaknya indah-indah. Lorong-lorongnya menuju ke kawasan penuh
bercahaya lagi berwarna-warni yang indah terjulang ke langit. Ada banyak sekali
denai-denai yang menghala ke gua yang mana datangnya irama indah lagi
mengasyikkan.
Namun, peta yang mencatat wilayah-wilayah ini di al-Quran tidak memaksud mengajak kita ke
sana. Ia hanyalah ujian untuk melatih kita supaya fokus dengan apa yang kita
lakukan. Oleh kerana itu, tatkala melangkah dalam perjalanan, lalui sahaja
tanpa menoleh. Apa jua yang datang, walau mempesona, hanya mahu kita berhenti
lalu terlupa asal tujuan perjalanan kita.
Dalam pada itu, perjalanan hidup akan disulam dengan yang
yang sakit dan sukar. Namun, andainya kita mengerti prinsip putaran alam… siang
berganti malam, pasang berganti surut, patah tumbuh dan hilang berganti; apa
jua yang sukar itu harus dilewati jua. Sudah namanya perjalanan… kesemuanya
akan berlalu dan ditinggalkan dalam lipatan simpang-simpang kehidupan.
Rujuklah al-Quran sebagai panduan dalam perjalanan hidup ini.
Ia adalah peta kehidupan yang mudah yang tidak terdapat di peta-peta lain
ciptaan manusia. Ia adalah kerana, jalan laluannya simple. Ia lurus. Tiada
bengkang-bengkok. Bila kita ikut jalan yang ini, kita akan sampai ke tempat
penuh kesenangan dan kebahagiaan yang hakiki.
Oleh itu, sisipkan ayat-ayatnya di dada pada setiap waktu.
Nescaya, kita akan berasakan apa jua yang berlaku di sekeliling kita ini
sebenarnya tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Ini akan membuatkan kita
tenang menangani apa jua cabaran dan ujian yang mendatang.
Sesungguhnya Al-Qur'an ini
memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi kabar gembira
kepada orang-orang mu'min yang mengerjakan amal shalih bahwa bagi mereka ada
pahala yang besar. ~ Al-Israa' : 9.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.3.18.
No comments:
Post a Comment