KENAPA KEDAI
BUKU
MAKIN SUNYI?
MAKIN SUNYI?
HUJUNG minggu lalu saya ke gedung
buku yang dah lama saya tidak kunjungi. Premisnya yang terletak di sebuah
kompleks membeli belah itu kelihatan cantik berseri kerana terang dengan
lampu-lampunya. Pencahayaan yang terang adalah di antara elemen penarik para
pelanggan, sesuai sebagai sebuah kedai buku.
Ia berbeza dengan penataan cahaya
kafe yang sedikit suram agar pelanggan dapat merehatkan mata dan fikiran atau
pencahayaan di disko yang gelap tetapi disimbahi lampu-lampu yang
berkelip-kelipan untuk merangsang naluri semi-fantasi. Yang pasti, pencahayaan
di panggung wayang seharusnya gelap gelita di waktu tayangan filemnya.
Saya perhati ke sekeliling sebaik
sahaja melangkah masuk. Terdapat rak buku-buku baharu. Di dinding berhampiran
pintu masuk juga terdapat carta buku terlaris dan naskhah-naskhah buku yang
terpilih. Kemudian terdapat rak demi rak yang dipenuhi buku kategori undang-undang,
ekonomi, bisnes, pengurusan, motivasi, biografi, novel, buku-buku teks dan komik.
Saya juga nampak kedai buku itu kini
dipenuhi dengan alat-tulis. Pen, pensil, pensil warna, kertas, klip dan apa
sahaja nampaknya sudah menakluki sepertiga ruang di kedai buku itu. Saya
terpandang dua petugas sedang menyusun fail-fail dan aksesori meja. Wah,
nampaknya barang-barang alat tulis akan mengambil lebih ruang dalam seminggu
dua lagi.
Saya ke rak buku-buku pemasaran. Mencari
sebuah buku berjudul ‘Positioning: The
Battle for Your Mind’ kerana buku yang saya ada dah hilang dari simpanan.
Saya berdiri, meneleng, membongkok dan mencangkung mencari buku itu. Tapi tak
jumpa. Saya pandang ke sekeliling mencari bantuan petugas.
Ada tiga orang petugas di luar
kaunter. Mereka kesemuanya sedang sibuk menyusun alat tulis di rak, mengalih
buku dan menyusun buku-buku dari kotak. Saya gamit salah seorang dari mereka.
Sambil tersenyum, gadis itu datang menghampiri. Saya jelaskan hasrat saya.
Agaknya beban buku yang ditatangnya
itu berat. Sambil menggunakan bibirnya untuk mengunjuk arah, dia berkata
kesemua buku-buku pemasaran hanya terdapat di rak di sebelah saya. Katanya
lagi, jika tak terdapat buku yang dikehendaki itu di situ, bermakna di kedai
buku itu tiada judul buku yang dimaksudkan.
Baharu sahaja saya hendak membuka
mulut bertanya mengenai sebuah judul buku yang lain, gadis itu sudah pun
berlalu. ‘Oh, dia sibuk,’ kata saya
di dalam hati seraya mengeluh. Memang saya dah anggap situasi ini akan terjadi
di kedai buku. Malah sudah menjadi kebiasaan di kebanyakan kedai buku.
Hingga saya punyai tanggapan, apabila
kita ke kedai buku, bersedialah untuk mencari buku sendiri, membelek, membayar
dan kemudiannya nyah dari situ. Dari saat kita masuk ke kedai dan keluar
setelah membayar atau jika tidak jadi membeli pun, jangan hairan seandainya
kita tidak disapa langsung oleh promoter buku.
Situasinya berbeza apabila kita pergi
ke kedai mekap, kedai kasut, kedai komputer, kedai perabot, kedai jamu, kedai
farmasi dan kedai pakaian. Ada premis perniagaan yang menyuruh para petugasnya
memberi ucapan ‘selamat datang’ secara serentak sebaik sahaja kita melangkah
masuk ke kedai mereka. Mat Bangla di stesen minyak pun menyapa kita meskipun
kita gerenti membeli minyak apabila ke stesen.
Pantang apabila melihat kita
berkeliaran atau melilau… pasti salah seorang promoter di mana-mana kedai pun
akan menghampiri untuk membantu. Namun, apabila kita ke kedai buku situasinya…
hmm.
Sebenarnya, sikap tuanpunya
perniagaan yang tidak melatih para promoternya untuk mempelajari product knowledge itulah yang menjadikan
para petugas mereka tidak petah dan ramah melayani para pelanggan di kedai
buku. Seandainya melayani para pelanggan dijadikan prosedur standard operasi, pasti
lebih ramai dari para pelanggan yang datang ke kedai buku akan keluar dengan
pembelian.
Kedai buku merupakan point of sales. Bagaimana sesebuah buku
yang dikarang selama berbulan-bulan, dicetak beribu naskhah, dipromosi di
pelbagai media ataupun diperkenalkan secara bisik-bisik sesama peminat buku itu
tidak memperoleh keistimewaan yang sepatutnya apabila ia terpamer di kedai-kedai
buku?
Sikap endah tak endah terhadap
buku-buku yang terpamer itu sendiri merupakan suatu ketidakadilan kepada
industri buku itu sendiri. Ia menggambarkan parahnya mereka di dalam hiliran
industri kerana tidak bersungguh-sungguh menjual buku. Kerana itu, jangan
mengeluh seandainya jualan buku merudum.
Jika aspek mempromosi buku secara one-to-one ini tidak ditangani segera,
apa nak hairan jika rakyat Malaysia kembali untuk membaca hanya dua halaman
setahun seperti laporan tabiat membaca oleh UKM pada tahun 1997 atau lebih
buruk lagi hanya membaca satu halaman setahun seperti kajian UPM pada tahun
1983.
Apabila itu terjadi, kita mengundur
lebih 30 tahun ke belakang dalam usaha menjadikan membaca suatu budaya.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.3.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.3.18.
No comments:
Post a Comment