CABARAN
AKHBAR
VERSI DIGITAL
VERSI DIGITAL
MULAI Januari tahun ini, team Sinar Harian memulakan transformasi
penerbitan akhbarnya. Jika selama ini Sinar Harian memberi tumpuan kepada versi
cetaknya, mulai Januari 2018 akhbar ini mula menumpukan pula kepada versi online. Jargonnya ~ digital first!
Inilah tuntutan pada hari ini.
Khalayak pembaca mahukan berita yang cepat dan murah, terus ke dalam komputer
atau telefon pintar mereka. Akhbar cetak harus dibeli untuk menatapnya. Berita
digital boleh didapati secara percuma. Jadi, barang percumalah jadi pilihan.
Dalam pada jumlah cetakan akhbar
semakin menggelongsor, jumlah bacaan atas taliannya kian meningkat. Akhbar
cetak hanya ditatap oleh puluhan ribu pembaca. Versi digital Sinar Online
dilayari oleh jutaan pembaca.
200 orang tenaga kerja Sinar Harian
bertungkus lumus menghasilkan akhbar digital di sepanjang hari. Menjelang
senja, akhbar versi cetak pula dicanai untuk para pembaca yang ingin menatap akhbar
itu dalam bentuk fizikal pada esok hari.
Perubahan persembahan akhbar dari
versi cetak kepada digital ini sebenarnya merombak sama sekali cara kerja
akhbar itu sendiri. Kini, tidak ada lagi situasi stop press. Dahulu, sebaik sahaja ada berita mutakhir tiba ke meja
pengarang ketika mesin cetak sedang berjalan, jentera dihentikan supaya berita
terkini itu dapat dimasukkan. Kini, mesin cetak yang sedang bergerak tidak
perlu dihentikan untuk memuatkan berita terkini. Sebaliknya, berita-berita
mutakhir dimuatkan sahaja ke dalam versi online.
Dahulu, khalayak pembaca hanya
disajikan dengan berita satu versi melalui kenyataan akhbar. Penyampaiannya
mendatar, penuh dengan statistik dan fakta. Ia membosankan. Pembaca hanya
memandangnya sekali lalu. Kini, berita itu boleh disertakan dengan reaksi atau
komen orang lain. Ulasan-ulasan itulah yang memberi sudut pandang baharu kepada
sesebuah kenyataan akhbar itu.
Oleh kerana akhbar berbentuk digital
itu bersifat 24 jam, semua berita yang
sampai ada ruangnya. Kerana itu, tidak ada lagi istilah scoop atau eksklusif. Sesebuah akhbar itu dikatakan handal apabila
memperoleh sesebuah berita yang scoop.
Tetapi, keadaan itu tidak berlaku lagi.
Berita yang dikatakan scoop pada hari ini boleh sahaja menjadi
sebuah berita basi apabila pihak lain menyampaikan berita dari sudut pandang
yang berbeza. Kerana itu, pecahan kepada sesebuah berita yang dikatakan scoop itu boleh menjadikan sesebuah
berita itu lebih segar daripada berita asal.
Persembahan digital pada hari ini membolehkan
sesebuah berita itu menjadi bahan interaktif. Terdapat ruang agar yang ditatap itu
dapat dikomen oleh para pembacanya.
|
Satu lagi perbezaan di antara berita
versi cetak dan versi digital ialah keterlibatan para pembaca untuk memberi
maklumbalas agar berita yang salah fakta itu diperbaiki. Jika dalam versi
cetak, sesebuah fakta yang silap itu hanya boleh diperbetul dengan memuatkan
ruangan ‘RALAT,’ pada terbitan esok hari.
Kini, kesilapan fakta yang terjadi
itu boleh diedit dan dikemaskini untuk diterbitkan semula dengan mudah. Ada ketikanya pihak editorial akhbar yang
sedar akan kesilapan itu. Ada masanya ia dikesan oleh para pembaca sendiri. Hubungan
yang baik di antara pihak akhbar dan para pembacanya itulah yang mewujudkan kerjasama
untuk memperbetul kesilapan.
Tidak timbul tanggapan bahawa
pembetulan sesebuah fakta yang silap itu dibuat kerana pihak akhbar itu takut
disaman atau kerana sengaja ingin memfitnah mana-mana pihak. Kononnya, apabila
fitnah itu mendapat reaksi pihak akhbar tampil untuk memadam fitnahnya.
Sebenarnya, dunia pemberitaan secara
digital itu mempunyai kadar stres sepuluh kali ganda daripada pemberitaan
secara cetak. Dunia digital menuntut semua berita yang sampai itu ditatap
sekarang, meskipun laporannya hanyalah sebaris ayat. Jika lambat, para pembaca
akan lari untuk menatap berita yang seumpamanya di lain-lain portal ataupun
mendapat maklumat daripada kenalan. Tak sempat hendak beragenda untuk
menganjing mana-mana pihak.
Tetapi, kepantasan dan ketangkasan
menyampaikan berita itulah yang menjadi ukuran kehebatan sesebuah akhbar. Jika
lambat, akhbar itu akan dilupakan. Jika cepat, ia akan menjadi perhatian samada
untuk dipuji atau dikeji.
Bagaimana pun, berita-berita yang
buruk dari segi penerimaan pembaca itu kerap memberi pulangan yang tak
disangka-sangka. Lagi buruk sesebuah berita itu dikutuk, lagi ramailah yang
menatapnya. Lagi ramai yang menatap, lagi banyak iklan yang masuk ke ruang
berita itu. Iklan menghasilkan pendapatan kepada akhbar.
Namun, apakah warga akhbar sengaja
merancang dan mahu cari makan dengan menyajikan berita-berita yang buruk
semata-mata untuk membuat duit? Jika anda orang surat khabar, apakah anda
sendiri gembira dengan keadaan itu?
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.3.18.
No comments:
Post a Comment