KITA MAKIN SUKA MEMUJI DIRI
DAHULU, kita tidak
selesa apabila dipuji. Malah, ada yang sampai marah-marah apabila teman-teman
memberi kata-kata yang positif tentang diri kita. Barangkali, oleh kerana punyai
nilai harga diri yang rendah, sesebuah pujian itu ditafsir sebagai sebuah
sindiran. Mungkin juga sesebuah pujian itu dianggap menjadikan kita lupa diri, kembang
dan terawang-awang hingga mendapat penyakit ain.
Masa berlalu
dan pandangan kita mengenai pujian itu mula berubah. Pendidikan di sekolah yang
mengajar kita menyanjung mereka yang berjaya dengan memberi pingat apabila
menang lumba lari, hadiah berupa sijil apabila mendapat markah cemerlang
ataupun selempang sebagai pelajar terbaik. Secara perlahan-lahan ia menjadikan
kita semakin biasa menerima pujian. Ertinya kita mula pandai memuji dan pandai
pula mengendalikan perangai apabila dipuji.
Pada hari
ini, keterbukaan yang dibawa media sosial menjadikan kita lebih selesa untuk
memuji. Melalui Facebook misalnya,
kita menyatakan pujian segera hanya dengan menekan butang ‘like.’ Kita juga boleh mengirim pelbagai emoticon yang menggambarkan pujian kita kepada seseorang. Bagus
sangat.
Namun, akhir-akhir
ini, sedarkah kita bahawa kita semakin selesa memuji diri sendiri? Ia bermula
dengan ucapan-ucapan kejayaan bagi seseorang tokoh, penerima anugerah dan juga
pemenang pertandingan. Melalui majlis sebegitu, kita juga mula menerima
perbuatan memuji diri di depan khalayak.
Kita mula
menyedari bahawa selain daripada bersedia menerima pujian, kita juga tidak
salah seandainya memuji diri sendiri asalkan ia dilakukan secara formal, tertib
dan terkawal di sesebuah majlis rasmi.
Bagaimana pun, tidak ramai yang berpeluang memuji diri sendiri di depan orang
ramai seandainya belum benar-benar layak di mana beratus-ratus manusia mendengar
dan menatap wajahnya di skrin gergasi.
Tetapi,
sekali lagi media sosial memberi peluang kepada sesiapa sahaja memuji diri
sendiri pada bila-bila masa, untuk apa-apa sahaja tidak kira kecil mahupun
besar. Kejayaan seseorang membuat cekodok dipapar di media sosial siap dengan
video dan voice overnya. Mendapat
nombor giliran di hospital pun kita tayang sebagai suatu kejayaan. Kereta yang dikilatkan
pun kita beritahu dunia sebagai suatu pencapaian.
Sesungguhnya
perbuatan-perbuatan itu tidak salah sama sekali. Kejayaan yang kecil pun suatu
kejayaan juga. Kecil bagi orang lain, besar bagi diri si pencerita itu. Bagi
yang pandai buat cekodok yang lembut dan gebu, apalah sangat video cekodok penyek
yang ditayang rakan. Namun, dalam ramai-ramai yang memandang status itu, ada
yang tak tahu langsung membuat cekodok!
Begitu juga,
untuk apa menayang kejayaan mendapat nombor giliran? Bagi yang tak pernah
merasa menunggu lama hingga berpeluh kerana bersesak, mendapat nombor giliran
itu adalah suatu kelegaan. Keseronokan itulah yang ingin dikongsi dengan kita.
Sedekahkanlah butang ‘like’ sebagai
tanda kita gembira yang dia gembira!
Seandainya
kereta yang tiga bulan tidak dibasuh kerana malas tuannya itu tiba-tiba
berkilat dan berkilau, lalu ditayang sebagai suatu pencapaian, tidakkah itu
bagus? Gembirakanlah kawan yang menayangkan foto kereta berkilaunya asalkan dia bahagia.
Akhirnya, kita
selesa menerima pujian dan pandai pula menyambut pujian itu dengan berhemah.
Kita memuji diri dengan kejayaan-kejayaan kecil kita untuk memberi kegembiraan kepada rakan-rakan di
media sosial. Walaupun betapa kecil pun kegembiraan itu, ia juga memberi warna
kepada kehidupan mereka di sekeliling kita.
Kini kita semua
melalui hari-hari yang penuh cabaran serta dugaan yang tidak menentu mengikut
jalur skrip hidup masing-masing. Selagi bernama manusia, mana ada insan yang punyai
segalanya itu gembira senantiasa? Mana ada insan yang tidak punyai apa-apa itu
bersedihan secara kekal?
Sebab itulah
kita perlu menjadi anggota masyarakat yang apresiatif. Tidak meminta-minta
untuk dipuji atau lokek pula untuk memuji.
INSYA-ALLAH artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.4.18.
INSYA-ALLAH artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.4.18.
No comments:
Post a Comment