USAH RISAU
BERDEPAN HAL BAHARU
BERDEPAN HAL BAHARU
Di zaman kanak-kanak, kita
belajar senyum, ketawa, marah dan pelbagai perasaan lain apabila diajar oleh
ibu dan bapa. Mimik-mimik wajah itu diajuk daripada perbuatan mereka. Apabila
kita membesar, orang tua kita mengajar pula perbuatan-perbuatan mudah seperti
membuang sampah ke dalam tong, mengemas mainan mahupun cara menyantuni diri
ketika bersalaman.
Kemudian, kita diajar
perkara-perkara yang lebih kompleks seperti cara melintas jalan, cara menaiki
kenderaan awam, membeli jajan di kedai, menghenjut buaian adik yang menangis dan
juga bersolat.
Apabila memasuki sekolah, kita
belajar pula melalui kelas yang disampaikan guru-guru. Kita dilatih cara
menghitung, menulis dan membaca. Perkara-perkara yang lebih kompleks seperti
semangat berpasukan, disiplin, hukuman dan hadiah juga kita pelajari.
Selain daripada latihan
formal, kita juga mula belajar melalui pengalaman yang menimpa diri. Apabila
wang saku hilang kerana kelalaian dan kita terpaksa berlapar, ditimpa hujan dalam perjalanan pulang dari
sekolah atau lari apabila dikejar anjing adalah latihan survival yang kita
lalui. Situasi-situasi ini juga adalah
perkara baharu yang dipelajari melalui pengalaman.
Dalam pada itu, banyak
sekali pelajaran itu kita peroleh melalui pemerhatian mahupun tontonan. Rancangan drama atau dokumentari di
televisyen atau video di internet banyak sekali mengajar kita secara berkesan
kerana persembahannya berbentuk audio visual. Pembacaan di buku mahupun
internet turut memberi tunjuk ajar kepada kita dalam menimba ilmu.
Betapa pun, apabila kita
berdepan dengan sesuatu yang baharu, perasaan bimbang dan ragu menjelma di
hati. Risau seandainya kita tidak boleh menangani dan menguasai apa yang kita
hadapi.
Apabila kita dinaikkan
pangkat dan diberi tanggungjawab yang lebih besar, kita jadi gusar. Apabila syarikat
memaklumkan sistem baharu dalam pengurusan, kita berasa ia sesuatu yang begitu
payah kita kuasai. Apabila muncul aplikasi baharu komputer, kita cepat berasa
bingung dan lambat sekali mempelajarinya kerana kita sebenarnya tidak yakin
dengan kebolehan sendiri.
Mengapa ini terjadi?
Bukankah sedari kecil lagi, setiap kali datang sesuatu perkara yang perlu kita
pelajari, kita boleh menguasainya? Perkenalkan apa sahaja kepada kita. Kemudian
kita diberi penerangan, taklimat, latih tubi, ulangkaji dan amali. Akhirnya apa
yang kita itu tak tahu akan kita kuasai.
Kita semua yang cukup sifat,
boleh berjalan dan berlari seperti orang lain. Semua daripada kita boleh
membaca. Semua pandai melakukan kerja-kerja kecil yang boleh dilakukan oleh
orang lain seperti mengupas telur, mengetatkan skru, menghidupkan dapur mahupun
memanggil kucing untuk diberi makan atau lari apabila dikejar lembu!
Maknanya, apa yang kita
hadapi buat pertama kali itu sebenarnya sudah dihadapi dan diatasi oleh ratusan
ribu manusia lain dengan baik dan jayanya. Boleh dikatakan tidak ada benda yang
kita hendak lakukan pada hari ini tidak pernah dilakukan orang lain. Sebelum
kita buat sesuatu perkara itu, sudah ada sekurang-kurangnya seorang manusia
lain yang pernah berjaya melakukannya.
Jika kita hendak menyelam ke
lautan dalam, mendaki Everest, mengembara di gurun Sahara mahupun merentas
Antartika... semua perkara-perkara ini sudah dilakukan oleh ribuan orang yang
lain. Oleh itu, apalah sangat jika kita kena lakukan sesuatu yang baharu, yang
sebenarnya dah lama orang lain buat?
Sebenarnya, apa yang
dirisaukan itu bukannya kebimbangan kepada kegagalan menguasai sesuatu yang
baharu itu sendiri. Sebaliknya ia adalah kerana kita tidak selesa berdepan
dengan pola aktiviti yang mengganggu rutin dan zon selesa kita sendiri!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.3.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.3.18.
No comments:
Post a Comment