Piccredit: techworldinfotech.com
TAK JUJUR BILA BERBUAT
BAIK
PUJIAN adalah reaksi seseorang yang memandang
tinggi dengan pendirian atau tindakan yang telah kita lakukan. Lagi tinggi
penghormatan mahupun persetujuan seseorang itu terhadap perlakuan baik kita,
lagi tinggi melangitlah pujiannya. Kita lazimnya akan kembang hidung apabila
dipuji.
Proses mendidik anak menggunakan pujian sebagai
cara menggalak seseorang anak itu mengekal atau memperbanyakkan sesuatu sikap
yang baik. Apabila dipuji, seseorang anak itu belajar bahawa apa yang
dilakukannya itu adalah baik. Si anak akan mengulangi perlakuan yang menerima
pujian bagi mengesahkan kepada dirinya bahawa ia adalah suatu perbuatan yang disukai.
Si anak yang mahu keseronokan dipuji itu akan
mengulangi perbuatan yang menerima pujian itu. Misalnya, seorang anak yang
pandai bertepuk tangan, akan menerimna pujian dari ibunya. Pujian ini
menggembirakannya. Kerana suka, si anak akan bertepuk tangan lagi untuk dipuji
dan dipuji lagi.
Bagaimana pun, pujian itu ibarat gula. Demikian
rumusan Dr. Richard Bailey dari Universiti Oxford. Katanya, jika pujian diberi
secara berpatutan, ia adalah sesuatu yang membahagiakan. Sebaliknya, jika
dilakukan secara berlebih-lebihan, ia akan merosakkan. Benar, katanya.
Pujian yang melampau juga boleh menjadi suatu
ketagihan. Orang yang menerima pujian yang berlebih-lebihan akhirnya melakukan
sesuatu yang baik itu bukannya kerana dia bersikap sebegitu. Sebaliknya dia berbuat
baik kerana mahukan pujian. Apakah seseorang itu jujur seandainya dia melakukan
sesuatu semata-mata kerana mahukan pujian? Sudah tentu kita katakan tidak!
Jika begitu, kita kenalah berhati-hati. Kerana,
akhir-akhir ini tanpa kita sedari, kita banyak kali juga melakukan sesuatu
kebaikan bukannya untuk memperoleh pahala. Sebaliknya melakukan kebaikan kerana
mahu dipuji. Bagaimana boleh jadi begitu? Facebook!
Kini kita mungkin perasan betapa Facebook
membuat kita suka melakukan sesuatu yang baik itu bukan kerana mahu menyenang
atau membahagiakan orang lain. Sebaliknya kerana mahu dipuji! Andainya anda
belum perasan lagi, biarlah saya katakan sikap kita yang suka dipuji ini
disebabkan oleh butang ‘like.’
Apabila Mark Zukerberg, tauke Facebook
memperkenalkan butang ‘like,’ ia
bertujuan supaya seseorang yang membaca status kita boleh memberi reaksi.
Butang itu sebenarnya membolehkan status yang dipaparkan itu masuk ke dalam newsfeed kita apabila menekan butangnya.
Ia diprogram agar mereka yang kita ‘like’
itu akan mudah hadir di depan mata apabila kita membuka laman sosial itu di
lain waktu.
Bagaimana pun, ramai yang silap apabila
mentafsir butang ‘like’ itu hanya menandakan seseorang itu menyukai apa yang
kita catatkan. Walhal untuk Facebook, ia bertujuan untuk mengumpul data
interaksi sesama individu, yang punyai minat yang sama, yang sekepala, yang
sestatus agar mudah Facebook membuat psikografik pengiklanannya.
Sebaliknya, kita hanya melihat butang ‘like’ itu
semata-mata sebagai tahap pengukur kebaikan atau kebagusan kita. Apabila kita
terpesona dengan berapa banyaknya ‘like’ sebagai
petanda kepopularan, maka kita mula menaikkan sesuatu status semata-mata kerana
mahukan pujian.
Kita membanding-bandingkan ‘like’ kita dengan ‘like’
orang. Kita muram bila hanya memperoleh dua ‘like’
untuk sebuah status yang kita paparkan. Dan kita berasa iri hati apabila ‘like’ orang lain itu berpuluh, malah
baratus-ratus jumlahnya. Kerana itu, sudah timbul tren di mana ada di kalangan
kita yang akan mengugut kawan-kawan supaya ‘like’
apa yang dipaparkan. Malah, ada yang beri amaran sanggup putus kawan jika
mereka senyap sunyi tidak memberi reaksi terhadap apa yang dipaparkan.
Helo… di dunia nyata, kita tidak akan
sekali-kali membuang kawan semata-mata kerana mereka tidak menjawab salam kita,
tak hadir kenduri atau tak ziarah tatkala kita terbaring di hospital. Mengapa
pula di dunia siber, kita sanggup buang kawan? Apakah kita punyai dua darjat
perhubungan? Lain kawan di alam siber, lain kawan di alam nyata.
Oh, mungkin kita bertindak begitu kepada
kawan-kawan di Facebook kerana kita tak kenal pun mereka walaupun setelah menerima
mereka sebagai kawan. Maka, apabila kita mudah menerima mereka, maka dengan
mudah juga kita membuang mereka. Rupa-rupanya silap kita juga kerana tidak
berhati-hati memilih kawan selama ini. Nampaknya, kita juga tidak serius hendak
berkawan dengan mereka.
Jika begitu, jangan terkejut jika kita dapati
ada di antara kawan yang sudah membuang kita sebagai kawannya!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.3.17.
No comments:
Post a Comment