Piccredit: bbc.com
JANGAN JADI NASI TAMBAH
PEMBUNUHAN Kim Jong Nam di KLIA2 pada 13 Februari lalu telah menambah satu lagi
insiden buruk yang melanda negara. Sebelum ini, kita telah berdepan dengan
pelbagai tragedi-tragedi besar yang mendapat perhatian dunia.
Serangan di Lahad Datu
pada 2013, kehilangan kapalterbang MH370
dan MH, kedua-duanya pada 2014, dan kini pembunuhan abang tiri Presiden Korea
Utara Kim Jong Un membuka lembaran intrig di persada antarabangsa. Tiada
sesiapa pun yang suka Malaysia menjadi perhatian dunia kerana insiden-insiden
buruknya.
Namun, ia mencatat
sejarah negara bahawa kita juga pernah berdepan dengan pelbagai malapetaka berskala
besar yang negara lain hadapi. Kita biasa berdepan dengan banjir, gempa bumi,
bangunan runtuh, tsunami dan ribut kecil.
Mudah-mudahan, kita
tidak berdepan dengan malapetaka yang lebih buruk daripada apa yang kita telah
dan sedang alami. Untuk itu, kita perlu sama-sama berdoa agar terhindar
daripada kesukaran ini.
Peristiwa pembunuhan
Kim Jong Nam melibatkan dua buah negara. Setelah masing-masing menunjukkan
ketegasan, nampaknya kemelut ini akan berpanjangan. Ia mungkin mengundang
campurtangan negara lain. Apa-apa sahaja boleh terjadi samada menjadi jernih
mahupun sebaliknya.
Dalam pada itu, kita
sebagai rakyat perlu memainkan peranan yang sewajarnya. Cara yang paling
berkesan ialah menghormati tugas mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab
untuk menangani masalah ini. Ini adalah soal jenayah yang bersangkut paut
dengan hal-hal diplomatik di antara dua negara.
Mereka yang
menjalankan tanggungjawab itu tidak perlulah diasak dengan pelbagai pandangan
yang tidak membantu menyelesaikan masalah yang ada. Kita tidak boleh main-main dengan
kekuatan media sosial. Satu sahaja perbuatan ikut suka atau seronok-seronok
yang dilakukan, yang kemudiannya menjadi tular, boleh dihidu dalam waktu yang
singkat.
Akhirnya ia boleh
menyukarkan kerja mereka yang bertanggungjawab. Tidak molek seandainya
mana-mana individu atau kumpulan, atas nama kebebasan bersuara, kebebasan menuntut keadilan, memandai-mandai menuntut
itu dan ini kepada pihak Korea Utara. Niat kita mungkin baik, tetapi persepsi
pihak yang menerimanya mungkin sebaliknya.
Tidak cantik
seandainya ada mana-mana orang politik yang ingin angkat bakul menjadi hero
lalu menggunakan mulut laser untuk menangguk undi. Mudah sangat mengeluarkan
kritik ke atas pihak yang bertanggungjawab kononnya menyelesaikan kemelut ini
menurut pandangan mereka. Pandangan negatif atau mencabar mereka ini tidak
diperlukan sama sekali pada saat dan ketika ini.
Kita sebagai warga
negara Malaysia, perlu faham dan sedar di mana waktu dan ketikanya yang wajar
kita suarakan komen-komen sinis. Pemimpin-pemimpin yang ada adalah pemimpin
negara yang dipilih mengikut lunas demokrasi.
Meskipun ada sisi-sisi mereka yang kita tidak senangi, kita perlu beri
ruang dan peluang kepada mereka untuk menonjolkan sisi-sisi hebat mereka.
Bukankah kita sendiri
begitu? Kita ada sisi baik dan sisi buruk. Sisi cantik dan sisi hodoh. Kita
lahir dengan pakej yang tidak sempurna sebagai manusia. Bagaimana jika orang di sekeliling kita
menolak kita secara total semata-mata kerana kita punyai beberapa perangai
buruk?
Apa perasaan kita
seandainya mereka di sekeliling kita melihat apa sahaja yang kita lakukan untuk
kebaikan mengada-ada, palsu, menunjuk-nunjuk, riak, ujub dan apa-apa sahaja
yang negatif. Mereka tidak nampak satu pun kebaikan kita semata-mata kerana
satu kesalahan yang telah kita lakukan.
Berbalik pada kemelut
yang sedang kita hadapi, cara yang paling bagus ialah mengikuti perkembangan
dengan tenang. Kita boleh mengeluarkan pendapat yang berbeza, tetapi tidak
perlulah pandangan itu diangkat seolah-olah ia adalah pendapat yang perlu
didengar dan ditunaikan oleh pihak yang berwajib.
Kita tidak wajar
menjadi nasi tambah dalam hal-hal yang serius sebegini. Ikut sahaja adab yang
dibawa Rasulullah saw: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari
Akhir maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.” (Al-Bukhari)
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.3.17.
No comments:
Post a Comment