Piccredit: sinarharian.com.my
TIDAK KENAL
SIAPA YANG DIZALIMI
HAMPIR setiap minggu, ada sahaja tangkapan dan siasatan SPRM yang diumumkan kepada
kita. Bagus kerana ia menunjukkan SPRM berjaya menghidu dan membongkar
perbuatan rasuah di kalangan mereka yang menyalahgunakan kuasa. Tidak bagus pula
kerana ia seolah-olah menggambarkan bahawa rasuah sudah menjadi makanan harian
mereka yang terlibat.
Betapa
ada yang menyimpan wang di dalam laci, almari malah di dalam dinding. Betapa pula
berkotak-kotak, berikat-ikat wang ringgit, matawang asing, barang kemas,
motorsikal dan sejumlah kereta yang disita untuk menjadi barang bukti
pendakwaan.
Rasuah
pada hari ini nampaknya bukan lagi tindakan yang dilakukan secara
sembunyi-sembunyi atau berpakat secara senyap-senyap untuk satu-dua transaksi
sahaja. Ataupun ia berbentuk komisyen yang dibayar secara beransur-ansur untuk
sebuah kelulusan. Bukan duit kopi yang dihulur kerana mempercepatkan
permohonan. Bukan juga wang yang diselit ke dalam kotak mancis untuk lepas dari
dikenakan saman.
Sebaliknya
rasuah pada hari ini sudah menjadi suapan tetap seperti ufti yang dibayar oleh pemberi
kerana berasakan dirinya kecil, kepada penerima yang dianggapnya amat berkuasa.
Lebih buruk lagi, ia bukan diberi kepada seorang. Tetapi ia dihulur kepada
sekelompok mereka di sesebuah bahagian pentadbiran. Maknanya rasuah yang
berlaku itu dianggotai oleh sebuah sindiket.
Ia
adalah jenayah terancang. Ada yang meluluskan, ada yang jadi pengutipnya, ada
yang jadi pengawal dan ada yang jadi penyimpan harta haram yang diperoleh.
Hampir pasti, yang meluluskan sesebuah permohonan untuk mendapat habuan itu
adalah orang yang berkuasa.
Jika
rampasan itu bernilai berjuta ringgit, tentulah orang yang meluluskan itu
punyai kuasa meluluskan permohonan yang bernilai juta-juta juga. Dan oleh
kerana ia dilakukan oleh sebuah kumpulan, tentu sekali setiap anggotanya
sama-sama lindung melindungi. Tidak ditukar ke mana-mana bahagian lain demi
menutup rapat kebusukan angkara durjana itu.
Kita
yang mengikuti berita-berita mengenai tangkapan ke atas mereka yang bakal
didakwa melakukan rasuah ini mula berasakan bahawa perbuatan keji ini sudah
berakar umbi. Sudah menjadi budaya. Bayangkan, bagaimana bila seorang petugas
yang baharu memasuki organisasi itu?
Dia
akan dipengaruh hingga akhirnya menjadi salah seorang anggota rahsia itu.
Apabila hari demi hari dia melihat penyelewengan yang sudah menjadi prosedur
standard operasi jabatannya, akhirnya dia lemas dan tenggelam menjadi salah
seorang daripada mereka. Bagaimana pun, jika dia berdegil kerana punyai prinsip
dan pegangan agama yang kukuh, mungkin sekali dia akan disisihkan atau ditukar sahaja
ke bahagian yang lain.
Bagaimana pula kesan si perasuah itu terhadap
keluarganya? Barangkali pada mulanya si anak isteri hanya dikongsi habuan dalam
bentuk hadiah istimewa ulangtahun, lulus peperiksaan, percutian, malah juga
umrah untuk mencuci dosa. Lama kelamaan, bau harum ringgit, bau beg kulit,
kerlipan rantai dan loket dan deruman enjin kereta mengaburi deria mata hati si
anak isteri hingga akhirnya mereka tidak sedar dunia hitam yang mereka lalui.
Tidak
menghairankan apabila sudahnya, satu keluarga buat-buat tidak tahu daripada
manakah hasil luar biasa yang diperoleh oleh si ketua keluarga. Dan satu
keluarga turut ketagihan dengan kemewahan dunia penuh lip-lap sehingga mereka
boleh enjoy berbelanja daripada
sumber pendapatan yang begitu pelik banyaknya dan aneh daripada mana datangnya.
Maknanya
perbuatan rasuah bukan sahaja diterima sebagai sesuatu yang biasa di dalam
sesebuah bahagian yang punyai kuasa. Tetapi ia dianggap rezeki oleh segenap
anggota keluarga. Tidak keterlaluan jika terdapat saudara-mara yang memperoleh
tempias daripada kekayaan ini kerana bersubahat dengan si perasuah itu sebagai
penerima habuan sebagai proksinya.
Pelaku
yang menjadi pelakon utama sebenarnya bukannya tidak sedar dunia gelap yang dia
heret keluarganya lalui. Sesekali fitrah insaniah akan menyentuh hati kecilnya
akan betapa besarnya dosa yang ditanggung apabila memberi kepada yang tidak
berhak kerana menafikan yang berhak.
Namun,
pelakunya begitu jauh dan panjang angan-angannya. ‘Esok lusa, aku akan bertaubat.
ALLAH Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Tentu Dia akan ampunkan segala
dosa-dosaku.’ Dia
terlupa bahawa dosanya itu melibatkan manusia yang dizalimi. Kepada mereka inilah
yang perlu dia pohon ampun. Logiknya, sempatkah dia pohon ampun kepada ratusan
malah ribuan manusia yang dia zalimi itu? Apakah dia masih ingat malah kenal
setiap orang daripada mereka itu?
"Sesungguhnya
orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seakan-akan dia berdiri di kaki gunung.
Ia takut gunung itu akan menimpa dirinya. Sementara orang durhaka melihat
dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang dengan
begini saja (sambil menepiskan tangan), maka dengan mudah lalat akan
terbang". [HR.
Bukhari Muslim].
Kembalilah
ke jalan yang dirahmati kerana di situ ada pengampunan. Membawa sebutir dosa
itu lebih berat dari memikul seguni wang dari hasil yang haram. Nauzu billahi
min zalik.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.3.17.
No comments:
Post a Comment