Piccredit: lolasabe.com
KITA BOLEH
JADI APA SAHAJA
SAYA temui Rayyan dan kawan-kawannya ketika dia menunggu bapanya yang lewat tiba
untuk membawanya pulang. Sebelum itu, Rayyan dan kawan-kawannya datang membeli
buku di Karangkraf Mall. Saya yang juga menunggu
seorang tamu sedang duduk menanti, semeja dengan mereka. Rayyan mengenali saya yang
bertugas di akhbar Sinar Harian. Malah, dia ada mengikuti kolum Maafcakap saya.
Rayyan
bertanya mengenai latarbelakang pendidikan saya. Dia dan kawan-kawannya kaget
kerana saya mengambil bidang senilukis dan senireka sewaktu belajar dahulu.
Mereka hairan kerana saya bukan datang dari bidang komunikasi massa. Bila
mendapati mereka begitu berminat hendak mengetahui jalur kerjaya saya, maka
saya nyatakan bahawa lebih separuh daripada bidang kerjaya yang telah saya
ceburi tidak ada kena mengena langsung dengan bidang seni.
Saya
mengambil bidang senilukis dan senireka, jurusan senireka perusahaan tatkala
menuntut di Institut Teknologi MARA (kini UiTM). Meskipun melukis adalah bidang
yang saya amat minati sejak di bangku sekolah, pendedahan dunia pelbagai bidang
ilmu di kampus membuatkan saya lebih terbuka hendak ambil tahu disiplin ilmu
lain.
Di
kolej, saya ada ramai kawan-kawan yang mengambil bidang pentadbiran awam. Sebagai
pelajar seni yang berjeans koyak dan berambut separas bahu, saya pelik dengan
pakaian kemas dan rambut pendek mereka. Mereka membawa buku ke hulu ke hilir.
Belajar di perpustakaan dan pandai berhujah kerana pengucapan awam adalah
antara subjek yang dipelajari.
Saya
rambang perasaan dan teringin hendak belajar mentadbir. Di kolej, saya aktif
dalam persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung(GPMS) hingga menjadi
jawatankuasanya. Dengan berpersatuan, saya berpeluang mengikuti projek-projek
khidmat masyarakat. Tentu sekali dengan berpersatuan, saya belajar pengucapan
awam dan mentadbir.
Setelah
keluar dari kampus, saya tidak menceburi bidang senilukis dan senireka.
Sebaliknya menjadi Setiausaha Kerja GPMS di peringkat nasional. Sebagai NGO,
GPMS juga mengambil bahagian dalam memperjuangkan isu-isu pendidikan. Pasti ia
juga tidak lari daripada membicarakan hal-hal politik. Daripada situ, saya
meminati politik pula.
Apabila
saya mendapat peluang menganggotai Biro Penyelidikan Belia (kini Biro
Tatanegara), ia seperti bulan jatuh ke riba. Saya belajar menganalisa isu-isu
semasa nasional dan turut berbicara hal-hal politik secara khusus pula.
Pelawaan
seorang kenalan menganggotai Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah (kini
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) di Unit Serantanya membuka
peluang yang lebih luas kepada saya untuk memperdalami politik. Tatkala itu,
saya boleh dikatakan masak dalam hal-hal politik Umno dan Pas di kawasan
pembangunan wilayah seperti Felda, Felcra dan juga Risda.
Berniaga
juga adalah minat saya. Saya diperkenalkan kepada seorang tokoh korporat yang
punyai lebih 50 buah syarikat dengan perniagaan bernilai berbilion ringgit. Dan
saya mengambil keputusan untuk bekerja dengannya. Di sana, saya banyak sekali
belajar selok belok politik perniagaan, perundangan dan perbankan. Dalam
sehari, saya akan hadiri tidak kurang dari tiga mesyuarat. Namun, pencarian
ilmu saya belum tamat.
Seorang
kawan lain pula mengajak untuk menganggotai sebuah kolej swasta bernama Klang
Valley College, mematikan angan-angan saya untuk menceburkan diri dalam bidang
politik berparti. Di kolej itu, saya bertugas di Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Di
situ, saya mentadbir hal pelajar. Pengalaman saya di bidang-bidang sebelum ini
amat membantu. Hanya setelah kolej itu terkubur (di atas sebab politik juga),
maka saya kembali ke bidang seni.
Saya
membuka syarikat perkongsian yang menerbitkan komik Kreko (kini masih ada di
pasaran). Bila perniagaan gagal, saya bertugas di sebuah syarikat pengiklanan. Dunia pengiklanan punyai kegilaannya yang
tersendiri. Diri saya sebagai anak seni muncul kembali di sini.
Kerjasama
syarikat itu dengan Kumpulan Karangkraf akhirnya membawa saya untuk bertugas di
syarikat ini. Padang kerjaya di Karangkraf ini begitu luas. Di sini, saya pernah
menjadi Editor Majalah Gelihati, sebuah majalah kartun. Kemudian saya mengetuai
Jabatan Pemasaran, Jabatan Latihan, Jabatan Sumber Manusia dan akhirnya
menerajui syarikat penerbitan buku, Alaf 21. Dua belas tahun di Alaf 21, saya
melangkah ke bidang persuratkhabaran di Sinar Harian.
Rayyan
dan kawan-kawannya memandang saya bagai tidak percaya. Bagi saya, jalur kerjaya
saya bukan luarbiasa kerana pada asasnya ia adalah kerja. Bila ditanya,
bagaimana saya boleh menguasai bidang-bidang itu? Jawab saya ringkas, “Buku!
Baca bidang profesion yang baharu kamu ceburi. Belajar teorinya dan praktikkan.
Nescaya, kamu boleh buat apa sahaja kerja!”
Bila
ditanya lagi apa tip lain? Kata saya, kita kenalah percaya kepada rezeki ilmu
dan kerjaya yang ALLAH SWT tentukan.
Kita boleh pilih jurusan sains di sekolah, tetapi memasuki bidang
kemanusiaan di kolej. Setelah lulus di universiti, rezeki kita mungkin di
bidang kulineri yang tidak pernah kita impikan!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit d akhbar Sinar Harian pada 15.2.17.
Terkadang ilmu / pengalaman boleh diumpamakan pokok yang mungkin mengambil masa untuk berbuah. Apa yang penting ialah KESABARAN dan ISTIQAMAH memelihara ilmu atau hasil peluang menimba pengalaman seseorang melalui pembacaan karya (buku) untuk kita adaptasi sebagai anak tangga menuju kejayaan kerjaya serta membenarkan JANJI ALLAH pasti berlaku
ReplyDeleteBenar kata-kata tuan itu.
Delete