Piccredit: Pethealthnetwork
MARI KITA
MENAMBAH SAHABAT
Saya
menerima sebuah mesej WhatsApp
daripada Ramlee Awang Murshid. Ramlee adalah seorang novelis yang memegang
jolokan Novelis Thriller Nombor Satu Malaysia. Bagi mereka yang tidak mengenali
beliau, dia ini entah siapa-siapa. Tetapi, jika saya katakan yang Ramlee adalah
seorang novelis jutawan, sudah menulis 29 naskhah novel dan novelis yang punyai
puluhan ribu peminat di Malaysia, mungkin ada yang terkejut. Ramai juga yang
tidak percaya.
Tidak
mengapa. Yang penting, saya hendak menceritakan bagaimana mesejnya itu memberi
kesan kepada saya. Beliau mengirim video melalui Whatsapp cebisan temubual beliau sebagai seorang novelis prolifik
dengan televisyen Astro Awani. Di antara soalan yang ditanya kepadanya ialah,
novel penulis manakah yang paling diminatinya? Beliau menjawab, Eyman Hykal dengan novel Detik Debarnya. Tentu sekali saya terharu kerana Ramlee memilih
novel tulisan saya sebagai novel paling disukainya.
Ramlee
adalah di antara penulis yang rapat dengan saya. Beliau di antara novelis yang
senior di syarikat penerbitan Alaf 21 di mana saya bertugas pada suatu ketika
dahulu. Di syarikat inilah Ramlee bertapak, berkembang dan menjadi seorang
penulis yang hebat. Di sepanjang urusan berkaryanya dengan syarikat ini, kami
membina perhubungan hingga menjadi erat. Sudah hampir 20 tahun kami bersahabat.
Namun,
sejak saya meninggalkan syarikat penerbitan Alaf 21 dan mula bertugas di akhbar
Sinar Harian, perhubungan kami mula renggang. Sekali-sekala bila berpeluang,
kami akan berjumpa dan makan-makan. Tatkala itulah kami semasakan kembali
perkembangan masing-masing. Walaupun tidak berhubungan, kami sentiasa tahu
masing-masing berada di ceruk mana di dunia ini.
Apabila
muncul Whatsapp, kami dan seorang
lagi sahabat membuka kumpulan sembang. Tetapi kumpulan ini tidak riuh seperti
kumpulan sembang yang lain. Jika ada sesuatu yang penting, mesej akan dihantar.
Pada hari yang sama juga masing-masing akan menerima respon.
Apabila
merenung dan berfikir bagaimana Ramlee masih mengingati karya yang saya tulis
lima tahun lalu, maka saya mengerti yang dia jujur dengan pujiannya terhadap
novel saya lima tahun dahulu. Masa menentukan wajah sebuah perhubungan, apakah
ia setakat kawan-kawan atau menjelma menjadi sebuah persahabatan dalam ertikata
yang sebenar.
Saya
teringat kisah seorang rakan sekolej saya, Hakim. Dua hari dia tidak pulang ke
asrama. Tatkala itu tiada telefon bimbit untuk mengirim mesej bertanya khabar.
Saya dan rakan-rakan sebilik yang lain amat risau tentang Hakim. Dia menghidap
penyakit asma. Kami semua khuatir kalau apa-apa yang buruk terjadi kepadanya.
Hampir sahaja kami buat laporan kepada bahagian hal ehwal pelajar.
Pada
hari ketiga, Hakim pulang. Dia kelihatan letih tetapi tersenyum-senyum. Kami
semua berkerumun hendak tahu apa yang hendak disampaikannya. Hakim bercerita,
dia ke utara tanahair untuk menguruskan perkahwinan bekas kekasihnya, Hanissa!
Kami terpempan. Kami tahu sejarah kisah cinta Hakim dan Hanissa. Hakim merana bila
dia ditinggalkan.
Tetapi,
apa maksud Hakim bila menyatakan yang dia menguruskan perkahwinan bekas
kekasihnya? Jawab Hakim, dia merisik bagi pihak bakal suami Hanissa! Dia
sanggup bertemu dengan keluarga Hanissa untuk menyampaikan hasrat mereka.
Memang seperti filem Hindustan. Kami seperti tidak puashati dengan kebaikan
Hakim. Mengapa dia begitu baik dengan bekas kekasihnya? Hakim menjawab,
walaupun mereka sudah putus kasih, mereka tidak putus sahabat.
Dunia
ini tidak seluas mana jika kita ada sahabat. Kita tidak akan kesunyian dalam
bersendirian. Orang bersendirian lebih mudah menghadapi risiko kegagalan. Sebaliknya
orang bersahabat umpama mempunyai satu lagi percikan api kejayaan. Seorang
sahabat itu sentiasa membekal tenaga di dalam jiwa kita. Malah, ada kalanya
kita menemui diri kita yang satu lagi di dalam dirinya.
Pada
hari ini, kita punyai ribuan kawan-kawan yang kita tak kenal di media sosial.
Kita punyai ratusan kawan-kawan di pelbagai kumpulan sembang, puluhan kawan-kawan
di tempat kerja, di kawasan tempat tinggal, kawan bisnes, malah kawan dari
kawan. Kita mengumpul kawan yang kita namakan sebagai networking untuk memberi kita erti dan guna kepada perhubungan itu.
Padahal, kita akan melupakan mereka sebaik sahaja kita tidak menemui mereka.
Bila
kita asyik menambah jumlah kawan, kita lupa untuk mengumpul sahabat. Sedangkan
sahabatlah yang akan berada di sisi pada waktu susah dan senang kita. Menjadi
teman menangis dan ketawa, malah menjadi pengiring pada hari mati kita. Jika
kita punyai ribuan kawan, berapa orang sahabat yang kita ada? Apakah puluhan
jumlahnya seperti apa yang Rasulullah S.A.W ada?
Insya-ALLAH artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.11.16.
No comments:
Post a Comment