Piccredit: sinarharian
PEMBACA
KEMBALI
PERCAYAI AKHBAR PERDANA
SEWAKTU kecil, saya berpeluang
mengenali seorang wartawan sambilan atau stringer
di daerah kelahiran saya ~ Mersing. Dia menulis berita di sebuah buku nota.
Apabila dia hendak menghantar berita ke syarikat akhbar, dia akan gunakan
telefon awam. Saya biasa memerhatinya bercakap kuat dan sepatah-sepatah dengan
orang yang menerima panggilan, yang saya percaya seorang penulis kopi mahupun
penyunting akhbar.
Jika dia menulis rencana, baharulah
dia menggunakan mesin taip dan akan menyertakan gambar bersama berita itu
sebelum mengeposnya. Jika bernasib baik, dalam masa tiga hari, beritanya yang
terpilih itu akan tersiar. Jika tidak, makan minggu juga untuk diterbitkan.
Kerja wartawan pada waktu dahulu bolehlah dikatakan sukar dan cerewet. Hanya
mereka yang benar-benar berminat dapat menjiwai kerjanya hingga menjadi
kerjaya. Berbeza dengan keadaan wartawan pada hari ini yang serba canggih.
Baru-baru ini saya menyampaikan
telefon bimbit percuma kepada 16 orang wartawan daerah Sinar Harian, yang kami
gelar sebagai Skuad Cakna. Mereka terpilih kerana amat komited dengan tugas. Masing-masing
dikatakan komited bukan sahaja kerana boleh menulis berita untuk Sinar Harian
edisi cetak. Malah, mereka pantas mengirim berita dalam bentuk video untuk
dipapar di portal Sinar Online dan juga SinarTV ~ tiga medium persembahan Sinar
Harian pada hari ini.
Pada peringkat awal penubuhan akhbar
Sinar Harian 10 tahun lalu, seseorang wartawan itu dibekalkan dengan alat PDA,
kamera dan telefon bimbit. Kini sebuah telefon pintar sudah dapat memenuhi
tuntutan kerja mereka. Sekali jalan, mereka boleh menyampaikan berita dalam
bentuk tulisan melalui e-mel atau Whatsapp,
mengirim foto dan video sebelum menamatkan tugas mereka pada satu-satu hari
itu.
Inilah penyampaian berita melalui medium
multi-media. Seorang wartawan menjadi pemberita, jurufoto dan juga juruvideo.
Sekali pandang, seolah-olah kerja tiga orang menjadi kerja seorang. Untunglah Sinar
Harian mendapat khidmat seorang karyawan untuk menjalankan kerja tiga orang
pekerja. Bagaimana pun ia tidak diukur sebegitu. Walaupun seorang petugas perlu
menggunakan tiga jenis medium penyampaian, namun hasil kerja yang glossy dan clean cut tidak diperlukan kerana selera pembaca akhbar pada hari
ini sudah jauh berbeza.
Jika dahulu, pembaca selesa menatap
foto-foto tokoh-tokoh VIP mahupun selebriti yang posing dengan mengeraskan
badan, mengukir senyum nampak gigi,’ subjek foto sesebuah berita pada hari ini
lebih santai. Gambar-gambar pak menteri sedang berjalan, duduk di sisi katil pesakit
atau mendukung bayi tidak memerlukan jurufoto khas untuk hadir mengambil
gambar.
Begitu juga, selebriti pada hari ini
tidak semestinya bermake-up dan
berdandan bling-bling. Cukup sekadar
berpakaian kasual, malah berposing dengan wajah lawak pun sudah boleh diterima
pembaca pada hari ini. Foto-foto begitu hanya memerlukan seseorang wartawan
mengambil foto atau video dengan sebelah
tangan sebelum mengirimnya ke akhbar versi cetak mahupun atas talian.
Tidak perlu kepada jurufoto untuk
mengambil syotnya. Ini adalah kerana jurufoto pada hari ini lebih diperlukan
untuk mendapatkan syot-syot yang mempunyai 1,000 cerita daripada sekeping foto.
Tugas itu lebih berat kerana mereka tidak lagi bermain di padang berita yang
pantas dan mendatar, tetapi di ladang cerita yang perlahan dan mendalam.
Selera pembaca pada hari ini
sememangnya sudah jauh berubah. Mereka tidak menunggu akhbar rasmi untuk
menyampaikan sesuatu berita. Mereka
mahukan kecepatan dalam menerima berita. Bagaimana pun, oleh kerana sesiapa
sahaja boleh menjadi penyampai berita, sumber yang tiba kepadanya terlebih
dahulu akan membentuk persepsinya. Namun, jika tidak lama dahulu, persepsi
seseorang itu kekal terbentuk pada berita-berita paling awal yang diterimanya,
kini ia tidak lagi begitu.
Khalayak pembaca pada hari ini lebih
canggih. Meskipun mereka mendapat sesebuah berita daripada mana-mana sumber pun,
mereka tetap membuka akhbar cetak mahupun laman web rasmi sesebuah agensi
berita untuk mensahihkan berita yang mereka peroleh. Maknanya, berita daripada
sumber rasmi akhbar perdana kini kembali diyakini oleh masyarakat.
Kerana anjakan keyakinan khalayak
pembacalah maka banyak media pada hari ini terutamanya Sinar Harian
menitikberatkan penyampaian berita dengan menggunakan tiga media iaitu media
cetak, atas talian dan juga video. Pengalaman bekerja beserta kecepatan dan
kecekapan mereka menyalurkan berita itu kini berjaya memaling perhatian audien
untuk kembali kepada persembahan akhbar-akhbar rasmi.
Comscore, iaitu agensi pembekal
sukatan audien secara digital telah mencatat peningkatan minat pelayar internet
terhadap berita. Jelas sekali, berita-berita daripada penerbit rasmi seperti
daripada Kumpulan Utusan, Media Prima mahupun The Star Media Group turut mengungguli
carta portal-portal yang mendapat jumlah pelayar yang lebih tinggi berbanding
daripada laman-laman bebas. Yang kerap menjuarai carta biasanya ialah akhbar
Sinar Harian yang pernah mencatat lebih daripada 30 juta pageviews ataupun satu juta pelayar dalam sehari!
Ya, persaingan sihat antara penerbit rasmi berita. Apa yang penting, berita itu cepat dan tepat.. tanpa ada tokok tambah dan perisa
ReplyDeleteSetuju! :)
ReplyDelete