Piccredit: socialnewsdaily.com
HENDAK BERTINDAK BIAR BERTEMPAT
SAYA cukup geram apabila
tatkala memandu di lorong laju, ada pula kenderaan yang memberi isyarat kerana hendak
memotong. Kalau tidak membunyikan hon, mereka menyalakan lampu supaya saya
segera ke lorong sebelah. Walaupun memberi jua laluan kepada mereka, saya tahu
mereka bukannya pemandu yang cekap.
Kalau mereka cekap,
mereka akan terus beralih ke lorong kiri dan memotong kereta saya. Tanpa bunyi
hon, tanpa perlu menyalakan lampu, mereka sudah memecut dan sayup meninggalkan
saya. Saya tahu pemandu begitu memang hebat. Sebabnya, pelumba kereta di litar
lumba tidak pernah menyalakan lampu atau membunyikan hon bila hendak memotong!
Ada ketikanya juga saya
begitu rimas bila ada di kalangan ahli kumpulan WhatsApp yang saya sertai berbalas pantun mengenai politik. Mula-mula
dengan fakta, kemudian berbalas kritik dan akhirnya kutuk mengutuk seolah-olah
sedang berdebat secara berdepan. Bila saya tutup WhatsApp dan buka balik sejam kemudian, polemik itu masih tak
habis-habis lagi.
Saya mengagak yang mereka
bukan cekap berdebat kerana mereka hanya pandai menulis. Sebabnya, mereka boleh
ambil masa untuk susun perkataan yang power
untuk mencantikkan ayat dan mematahkan hujah. Bila dah rasa kemas,
baharulah dikirim ke dalam mesej kumpulan. Lagipun, orang yang cekap berdebat
tidak suka menulis panjang-panjang.
Pada hari ini, kita hidup
di padang yang terbuka luas. Orang kata, tanpa sempadan. Ruang maklumat, berita
dan cerita boleh ditatap dalam waktu yang singkat. Ia menjadikan kita ghairah
apabila maklumat tiba di hujung jari. Sementelah pula, masing-masing boleh
menulis
dan mahu suara
masing-masing didengari, maka maklumat yang tiba itu dilontar kembali ke merata
tempat mengikut kehendak sendiri.
Dunia tanpa sempadan ini
umpama pasar di mana kita boleh lihat apa sahaja yang kita suka. Umpama kita
melangkah di pasar juga, kita akan berhenti dan membelek barangan yang
kita ingini. Tidak semestinya apa jua
barangan yang kita pegang itu sesuatu yang kita ingin beli dan bawa balik.
Tetapi, begitulah.
Barangan yang berada di pasar semuanya tampak sama nilainya. Walaupun ada
barangan yang mahal, tetapi oleh kerana ia berada di pasar, barang yang mahal
pun tidak nampak mahalnya. Puncanya ialah kerana suasana di pasar itu sendiri
apabila semua barangan dihimpun di suatu kawasan. Tiada konsep eksklusif.
Begitu jugalah, mengapalah
mereka yang cerdik pandai pada hari ini pun sudah tidak peka dan selektif
dengan audien? Tidak kiralah samada doktor, jurutera, akauntan, peguam,
pendidik, seniman malah golongan ustaz sendiri, masing-masing menyuarakan pandangan
kepakaran mereka di mana-mana sahaja yang mereka mahu seperti juga seperti
kita-kita yang hanya orang biasa ini.
Jika semua mereka ini
menggunakan laman-laman sosial untuk menyampaikan ilmu masing-masing, maka di
manakah eksklusiviti dan medan sesuai untuk penyebaran ilmu itu sendiri? Oleh
kerana ia dikemukakan di forum yang umum, sesiapa sahaja boleh membidas, malah
mempersenda hujah yang diberi, meskipun yang mempersoalkan itu hanya
melakukannya secara suka-suka sahaja. Akhirnya, hujah yang baik dipalit dan
dipesong hingga tampak dangkal.
Tempat yang sesuai bagi
seseorang ustaz menyatakan hukum hakam secara jelas ialah melalui majlis ilmu
secara bersemuka. Penyampaiannya berbeza mengikut audien. Jika audiennya orang
kampung, maka bahasa mengajak yang digunakan. Jika audiennya pelajar
universiti, maka cara hujahlah yang dipakai.
Orang politik pula, tentu
sekali patut menggunakan ayat-ayat yang memujuk bagi audien umum. Jika hendak
berdebat, hanya sesuai di majlis forum mahupun di parlimen. Pakar perubatan
pula misalnya, boleh menyampaikan ilmunya melalui ceramah, kuliah ataupun
melalui jurnal.
Jika mereka yang bijak
pandai ini hanya rancak di media cetak, elektronik mahupun media sosial,
eksklusiviti ilmu mereka akan jadi murah bila dilekehkan oleh mereka yang tidak
menghormati ilmu.
Sebab itulah, seperti
pemandu litar lumba yang tidak perlu menunjuk handal di depan pemandu amatur,
mereka yang cerdik pandai tidak perlulah berbalah dengan orang biasa apabila
turun ke medan perbualan orang bawahan seperti kita-kita ini. Mereka perlu
kekalkan kehadiran di padang masing-masing. Jika mahu juga bersama dengan orang
ramai, mereka hanya perlu menyampaikan ilmu dan hujah masing-masing secara
seadanya. Tetapi, yang paling baik ialah mengajak orang ramai ke gedung atau
forum ilmu mereka.
Umpamanya, jika si
pelumba grand prix memandu penonton di litar lumbanya, baharulah si penonton
tidak akan mempersoal akan kehebatan si pelumba. Sekurang-kurangnya tempias
ilmu memandu laju dapat dipelajari oleh si penonton. Dan, yang pasti, si
pelumba itu akan dikagumi akan kehebatannya.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.5.16.
No comments:
Post a Comment