polopoly.karangkraf
KITALAH MALAYSIA,
JIWANYA MALAYSIA
JIWANYA MALAYSIA
PADA 18 Jun ini, Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diadakan. Baharu sahaja Pilihanraya Negeri Sarawak mendingin,
dua PRK itu terus menghangatkan suasana politik di Malaysia. Sebenarnya, sejak tsunami
politik PRU ke-12 pada tahun 2008 berlaku, Malaysia tidak sunyi daripada kehangatan politik.
Cakap-cakap
dan kutuk mengutuk politik juga sudah menyeluruh dan sebati di kalangan kita
sehingga ia seolah-olah sudah menguasai apa sahaja yang berlaku di Malaysia.
Kejatuhan mata wang, minyak, BR1M, GST, TPPA, kamera AES, pembekuan pekerja
asing, banjir kilat, bahasa, biasiswa malah
apa sahaja dengan sembrono, dikaitkan dengan politik. Ia kian parah hingga
sudah melanggar batas-batas agama, ras dan budaya. Persefahaman antara ras di
Malaysia, toleransi beragama dan tata susila budaya rakyat Malaysia telah dimomokkan
dengan sudut pandang politik.
Politik
ini telah meracuni fikiran rakyat Malaysia sehingga kita tidak hormat anutan agama,
kepercayaan dan tatasusila orang lain kerana berasakan hanya politik sahaja
yang menjadi perisai untuk menjamin
kelangsungan keteguhan jatidiri ras masing-masing. Apabila hal politik ini
saban hari, minggu, bulan dan tahun dimainkan, sesiapa sahaja mula berasa tidak
selamat. Tiga ras utama, Melayu, Cina dan India khususnya diimbas dengan rasa
curiga di antara satu sama lain. Akhirnya, insiden kecurian di Plaza Low Yat,
nyaris menyalakan api perkauman apabila ia dihembus dengan asap politik.
Sampai
bila rasa ini harus menjalar di sanubari
masing-masing? Manusia secara fitrahnya mahukan keamanan, kedamaian dan
keselamatan. Orang Melayu, Cina dan
India pula adalah bangsa-bangsa Asia yang punyai tamaddun gemilang
masing-masing. Malangnya, anak cucu bangsa melayu, Cina dan India pada hari ini
dilupakan akan pentingnya menjaga kesiumanan masing-masing dek kerana bara
politik. Seolah-olahnya suara-suara aku cinta Malaysia, aku faham bangsa lain,
aku ingin hidup sayang menyayangi dianggap sebagai sesuatu yang ketinggalan
zaman.
Apa
akan terjadi sekiranya perkara ini terus dibiarkan? Sebagai sebuah akhbar,
Sinar Harian punyai peranan. Dan, peranan itu harus dimainkan. Sinar Harian amat
prihatin dan berasa bertanggungjawab untuk mengekang perasaan yang merosakkan
ini daripada terus menular dan membakar perasaan. Dan, kami masih yakin, rasa
persefahaman, toleransi dan rasa ingin hidup bersama di antara ras ini masih
wujud, tapi sudah tenggelam di celah-celah akar masyarakat.
Lantas
tercetuslah konsep Kitalah Malaysia sebagai pendekatan yang kecil tetapi
konsisten untuk menyemarakkan kembali rasa cintakan negara. Mulai November
2015, Sinar Harian mula memaparkan kolum satu halaman ini. Meskipun dalam sehari, Sinar hanya memaparkan
sebuah kisah seorang anak Malaysia, tidak kira dari mana-mana ras, tetapi apa
yang kita ingin paparkan ialah, jiwa Malaysia masih subur di kalangan kita
semua.
Ia
umpama setitik air yang menitis ke sebuah batu yang besar. Meskipun
setitis, namun lama kelamaan,
titisan-titisan ini bisa melekukkan batu. Lalu semua skuad Sinar Harian
ditugaskan untuk menggali dan menemukan insan-insan berjiwa Malaysia di seluruh
pelosok negara. Rupa-rupanya di luar kepompong politik, jauh dari riuh rendah
dan keluh kesahnya, masih terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang berpegang
kepada nilai-nilai kemanusiaan dan toleransi sebagai anak Malaysia.
Kini,
hampir 200 kisah-kisah anak Malaysia yang berjiwa Malaysia sudah diselongkar. Sinar
Harian mengharapkan agar kisah-kisah insan anak Malaysia ini menyuburkan
jiwa-jiwa kita yang lain, yang sudah kering perasaan!
Lalu terpaparlah kisah Abdul Lajan @ Anwar Hayatullah, yang mampu
berbahasa Tamil dan Cina, kisah
bagaimana Popo yang beragama Buddha membesarkan cucunya Nabilah Isham yang
beragama Islam dan Tan Ling Hing dikenali sebagai Jusoh kerana hidup di
kalangan masyarakat Melayu. Apakah ertinya? Ertinya, masih ramai rakyat Malaysia yang
boleh hidup bersama pelbagai kaum dengan aman damai lagi harmoni sebagai sebuah
keluarga.
Dan,
kolum Kitalah Malaysia ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada
pembaca akhbar ini. Ramai yang memuji dan menzahirkan bahawa inilah perasaan murni
mereka yang sudah lama terpendam.
Melalui
Sinar Harian Online pun, catatan Kitalah Malaysia mendapat beribu likes dan ratusan share. Ini tidak termasuk berpuluh-puluh komen positif mereka yang
berasa seronok melihat suburnya jiwa Malaysia ini. Malah, sesetengah blog
politik turut memaparkan kisah-kisah Kitalah Malaysia di blog mereka. Ini tidak
termasuk saluran-saluran televisyen yang membuat cerita susulan dari kolum
Kitalah Malaysia.
Sesungguhnya, kisah insan-insan
yang dibentang di kolum Kitalah Malaysia ini bukan tempelan atau yang
dibuat-buat untuk meuwar-uwarkan jiwa Malaysia. Ia benar, ia realiti yang masih
subur di celah-celah hiruk pikuk politik yang meresahkan.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.5.16.
No comments:
Post a Comment