ravenswoodelementary.org
TIDAK PERLU
JADI RASIS
MANUSIA dijadikan
daripada pelbagai suku, kaum dan bangsa. Hidup mereka di sesebuah wilayah itu
membentuk identiti mereka melalui adat, budaya, bahasa dan juga psikologi.
Manusia juga bergerak dan mengembara jauh dari tempat asal mereka. Malah ada di
antara mereka yang merantau jauh merentasi laut ke benua yang lain.
Pada zaman
dahulu, mereka berhijrah untuk mencari kehidupan baharu. Ada juga yang
bertujuan untuk menakluk. Akhirnya, samada dengan cara berhijrah secara aman
ataupun berperang, mereka yang berpindah ke tempat baharu itu akan berasimilasi
dengan masyarakat tempatan melalui pergaulan mahupun perkahwinan. Ada juga yang
terus mengekalkan sosio-budaya masing-masing kerana itu menjadi jati diri
kelompok mereka. Inilah identiti bangsa.
Bagaimana pun,
ini juga akan mencambah perasaan bangga bangsa yang jika tidak dikawal akan
melahirkan pula sikap rasis, iaitu bukan setakat berbangga kepada kehebatan
kaumnya, tetapi juga memandang rendah kepada kaum yang lain hingga menganiaya mereka.
Maaf cakap,
semakin sehari, kita makin diacum sentimen hingga muncul rasa ketidakselesaan dengan kehadiran
bangsa lain. Padahal, di sekolah, kita tidak pernah diasuh untuk hidup dengan
rasa penuh curiga dengan bangsa lain. Mengapa ini terjadi?
Selama ini,
bukankah kita tidak punyai masalah jika terpaksa memperlahankan kenderaan di
jalanraya kerana ada perarakan Thaipusam di hadapan. Kita terima sahaja bunyi gendang
di perarakan kematian orang Cina. Ataupun tidak kisah jika memparkir kenderaan
hingga menutup separuh jalan raya untuk bersolat Jumaat.
Selama ini, orang
India tidak rasa bersalah untuk memecah kelapa di jalan raya dalam perarakan
Thaipusam, orang Cina tidak berasa bersalah membakar mercun untuk perayaan Chap
Goh Meh ataupun orang Melayu tidak berasa bersalah kerana menggunakan pembesar
suara untuk melaungkan azan. Kita semua tidak berasa bersalah kerana kita tahu,
kita semua bertoleransi kerana kita dididik untuk menghormati adab resam bangsa
lain ~ co-exist.
Tetapi telinga
kita mula menipis bila kita terpengaruh dengan hasutan bahawa bangsa kita akan
tewas, hilang identiti, hancur segala-galanya jika kita benarkan kaum lain
terus menerus berpegang kepada identiti mereka. Maaf cakap, mereka yang kerap
bercakap mengenai kepentingan bangsa hingga kita berasa marah dengan kaum lain
ialah orang politik! Tidak kiralah sama ada mereka orang politik dari pihak mana
pun!
Kita tidak dengar
orang berniaga bersikap rasis sepertimana orang politik. Begitu juga ahli-ahli
akademik, peguam, doktor, akitek apatah lagi ahli-ahli sukan. Kalau pun ada
kita dengar hal-hal rasis diperkatakan dalam bidang-bidang profesional, jika
kita kaji susur galurnya, kita akan dapati ia berakar daripada inklinasi
politik seseorang itu.
Maknanya, apabila
sahaja kita membuka mulut dan bercakap mengenai politik, maka hal-hal perkauman
ini akan muncul seiring dengannya. Padahal, jika kita bergaul rapat dengan
orang politik, mereka bukan setakat tidak memilih bangsa dalam bersosial, malah
ramai yang menjadi rakan niaga ataupun berkahwin dengan bangsa yang lain. Jadi,
kata-kata penuh emosi untuk merangsang rasa curiga terhadap kaum lain itu
adalah untuk apa?
Pada dasarnya
kita sendiri tidak kisah pun dengan rasa rasis ini. Sebab itulah, dalam kehidupan
seharian, kita boleh telan char kuey teow atau memamah muruku. Kita boleh
berkurta, bersari, berjiran dengan bangsa lain, bercakap mengikut telo bangsa
lain ataupun bersenam taici. Tidak ada masalah pun.
Jika kita lihat
apa yang baik, apa kelebihan yang ada pada kaum lain dan tidak melihat
keburukan semata-mata, maka rasa rasis itu boleh dikendurkan. Semua insan
mahukan kedamaian. Itu fitrah manusia. Malah, ia adalah tuntutan semua agama.
Mengapa makin sehari,
kita semakin jauh mengenepikan semangat cinta negara? Jika kita mengakui inilah
negara kita, kita kenalah terima kehadiran mereka yang dilindungi perlembagaan
negara. Tidak bolehlah, kerana mahu kekal berkuasa atau merebut kuasa, kita
menggadai masa depan anak bangsa dengan mencetus emosi perkauman sesama kita.
Dalam situasi hari ini, dengan segala faktor yang ada, tiada siapa akan menang
segala, tiada siapa yang akan kalah semuanya. Yang menang akan jadi arang, yang
kalah akan jadi abu jika kita biar pergeseran sesama kita menjadi bara hingga mencetuskan
api perkauman.
In sya ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.4.16.
No comments:
Post a Comment