Piccredit: huffingtonpost.com
TEKNOLOGI KERDIL
KITA DI
SISI-NYA
SEORANG teman menjemput
saya ke majlis perkahwinan anaknya. Majlis itu agak jauh dari rumah saya iaitu
di Puchong. Kerana itu saya menumpang sahaja jiran sebelah rumah yang
kebetulannya sepejabat dengan teman saya. Oleh kerana isteri masing-masing
tidak berkesempatan, maka saya bersama jiran saya sahaja yang ke majlis itu.
Kami sama-sama tidak
pasti lokasi majlis itu diadakan. Maka jiran saya, Kasir memasang GPS. Kasir
membawa anak bongsunya, Boy yang berusia lima tahun. Boy petah budaknya. Ada
sahaja soalan yang ditanya kepada ayahnya. Kadangkala perbualan kami terencat
bila Boy bertanya sesuatu kepada Kasir. Kadangkala Kasir terpaksa menghentikan
soalan anaknya bila dia hendak mendengar arahan dari suara GPSnya. Nampak juga
Kasir sekali-sekala rimas dengan selingan-selingan daripada Boy.
Setelah beberapa kali Boy
terasa perbualannya asyik terhenti kerana ayahnya hendak mendengar arahan
daripada GPS, maka budak itupun mula bertanya soalan-soalan yang saya kira
cerdik. ‘Perempuan tu tak penat bercakap ke, ayah?’ soalnya setiap kali
mendengar arahan dari suara dari alat GPS di kereta ayahnya. Kasir hanya
menjawab dengan gelengan.
‘Semua kereta ada alat
GPS ini ke ayah?’ Kasir mengangguk pula. ‘Kalau macam tu, perempuan tu ada
dalam semua kereta, ya kan, ayah?’ Kasir mengangguk lagi. ‘Dia beri arahan pada
semua kereta nak pegi ke mana-mana, kan ayah?’ Kasir mengangkat keningnya.
‘Kalau semua kereta di dunia ini pakai GPS, perempuan tu boleh beri arahan pada
juta-juta kereta, kan?’ Kali ini Kasir tidak mengangguk. Sebaliknya dia
mengeluh. ‘Ooo… kalau macam itu, Boy tak pelik!’
Kata-kata itu membuat
Kasir menoleh kehairanan memandang anaknya. ‘Kenapa tak pelik, Boy?’ soal Kasir
pula. ‘Apa yang peliknya?’ jawab Boy. ‘Malaikat maut pun boleh pergi serentak
pada ribu-ribu manusia kat dunia ini, bila ALLAH suruh, kan?’
Kali ini, aku pandang
Kasir, Kasir pula memandang aku. Dalam bersoal-soal itu, Boy punyai kefahaman
bagaimana malaikat Izrail menjalankan tugasnya, hanya dengan membandingkan
fungsi GPS yang mampu memberi arahan kepada jutaan pengguna dalam perjalanan masing-masing.
Sungguh. Tatkala aku kecil, aku tidak boleh memikirkan logik bagaimana malaikat
Izrail mencabut nyawa manusia serentak dalam beberapa lokasi di seluruh pelosok
dunia. Tetapi teknologi hari ini membolehkan kanak-kanak seperti Boy memahami
kehebatan ALLAH.
Fikiran saya melayang
teringatkan fungsi malaikat Raqib dan Atid, iaitu malaikat yang mencatat dosa
dan pahala manusia. Ketika kecil dahulu, saya tidak dapat memikirkan bagaimana
malaikat-malaikat itu menjalankan tugas mereka. Saya hanya membayangkan pen dan
kertas yang malaikat-malaikat itu gunakan untuk mencatat pahala dan dosa kita.
Bila memikirkan bagaimana malaikat-malaikat itu mampu mencatat dosa pahala
jutaan manusia, aku mula bingung.
Namun, pada hari ini,
kita melihat fungsi alat perakam audio dan visual yang menyimpan segala
maklumat. Begitu juga dengan medium yang menyimpan tulisan seperti SMS, Whatsapp, Facebook, blog, laman web
mahupun buku, jurnal dan helaian kertas dapat mengarkibkan apa sahaja yang kita
lakukan sejak lahir hingga kita ke liang lahad.
Jika sewaktu kecil kita
bingung bagaimana seluruh rakaman kegiatan manusia ini dilakukan, pada hari ini
kita tidak berasa pelik. Malah, kita sendiri yang memuatnaik aktiviti kita di
internet hingga ia boleh ditonton oleh jutaan manusia. Untuk itu, tidak
mustahil untuk mengerti bagaimana ‘layar besar’ yang mempamerkan aktiviti kita
di yaumil mahsyar kelak.
Kemampuan akal kita hanya
dapat memvisualkan sebuah dewan operasi yang amat besar serta mempunyai ribuan
skrin di mana setiap satunya diperuntukkan untuk seorang insan. Rakaman itulah
yang akan ditayangkan kembali di akhirat nanti. Tetapi, rahsia ALLAH dan segala
‘peralatan’ pemantauannya yang lebih canggih masih tidak dapat terjangkau dek
akal kita.
Minda-minda kita ini
umpama versi komputer yang tidak dibekalkan dengan perisian yang membolehkan
kita melihat rahsia-rahsia ALLAH kecuali hanya kepada apa yang dibenarkan
sahaja. Biarlah teknologi menghampirkan diri dalam memahami kehebatan ALLAH,
bukan kian menjauhkan seolah-olah kita serba-serbi tahu segala-galanya.
“Orang-orang
yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan
mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya
Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau,
maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (QS. Ali Imran: 191).
Insya-ALLAH artkel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 12.10.16.
No comments:
Post a Comment