Piccredit: professionalplanner.com.au
BANGUN DAN
BERLUMBALAH
KEMBALI
PERTANDINGAN atau peraduan adalah suatu pendekatan ingin bersaing
dalam sesebuah perniagaan, institusi mahupun masyarakat. Sesebuah perniagaan yang
melihat perniagaan lain sebagai pesaing
akan meningkatkan produktiviti, kualiti dan perkhidmatan agar lebih berjaya
daripada pesaingnya. Pekilang misalnya, akan cuba menambahbaik produknya agar
dapat memenangi hati pelanggan. Bila ia mendapat jualan tertinggi berbanding
dengan saingannya maka ia dikira menang di dalam pertandingan itu.
Pertandingan juga berlaku di kalangan bangsa, kaum, suku dan anutan. Pertandingan
untuk merebut ekonomi, kuasa dan identiti sesebuah kelompok manusia itu biasa
menjadi negatif dan sengit kerana sentimen kekitaan yang membawa kepada sikap
parokialisme yang berakhir dengan pertelingkahan, pergeseran malah peperangan.
Pertandingan yang sihat sebenarnya amat positif terhadap
mana-mana kelompok manusia. Ia memajukan mereka dalam mencapai impian
kemanusiaan. Perlumbaan menakluki bulan di antara Amerika dan Russia telah
membolehkan manusia untuk meningkatkan daya fikirnya. Meskipun Russia tidak
sampai-sampai pun ke sana, hasil perlumbaan itu menjadikan manusia berjaya
menerobos dimensi dan meneroka horizon baharu di bidang sains angkasalepas. Pada
hari ini manusia dapat menghantar kapal angkasa ke marikh, zuhal dan meneropong
jauh ke hujung alam.
Di peringkat individu pula, sikap bersaing ini sebenarnya
adalah fitrah manusia. Pakar-pakar psikologi melihat perlumbaan berjuta-juta sel
sperma ke dalam ovum merupakan perlumbaan terhebat manusia. Kita yang lahir ini
adalah hasil daripada sebuah kejayaan dalam perlumbaan yang pertama dalam sejarah
peribadi kita.
Jika kita boleh berjaya dalam pertandingan di antara
berjuta-juta sel sperma, mengapa kita boleh berasa kita tidak berdaya maju di
dalam hidup ini? Maknanya, jika kita ini lahir hasil sebuah perlumbaan, mengapa
kita takut untuk berlumba pula?
Konsep berlumba tidak semestinya berakhir dengan kemenangan
seorang juara semata-mata. Banyak juga perlumbaan yang berakhir dengan juara
bagi seramai mungkin pelumba. Jika kita lihat berlumba itu ada garis mula dan
garis akhir dan siapa yang sampai dahulu, maka dialah juara dan dia seorang
yang dapat hadiah, maka perlumbaan itu bisa menggusarkan kerana ia juga
menjanjikan kekalahan bagi yang tidak sampai dahulu ke garisan penamat.
Perlumbaan di padang belapan sememangnya begitu. Namun,
perlumbaan di medan kehidupan itu biasa dimenangi oleh setiap pelumba yang
sampai ke matlamat. Semua boleh menang dan semua boleh dapat hadiah
masing-masing. Biasa juga yang sampai kemudian akan memperoleh hadiah yang
lebih besar daripada yang sampai dahulu. Justeru itu, berlumbalah untuk
memperoleh kemenangan untuk diri. Ia hadiah buat sesiapa yang mencapai matlamat.
Orang lain, dengan matlamat dan keseronokan kemenangan mereka sendiri.
Jika direnungi, kita sebenarnya tiada pesaing dalam
perlumbaan hidup ini, kerana pesaing ialah mereka yang sama-sama berlumba untuk
merebut hadiah yang satu. Justeru itu, tiada gunanya kita kerap tertoleh-toleh
melihat ke kiri dan kanan untuk mempastikan samada pelumba lain sudah
menghampiri kita atau tidak kerana mereka berada di dalam perlumbaan mereka
sendiri. Perasaan takut dengan bayang-bayang itu bakal mengalih fokus kita terhadap
matlamat yang hendak digapai.
Apabila kita
berniaga nasi lemak di tepi jalan, tak bolehlah kita rasa tewas dengan
kehebatan bisnes francais makanan segera antarabangsa! Kita dan mereka berada
di padang yang berbeza. Untung kita, semua kita punya. Untung mereka, kena
berbahagi. Kita kerja untuk kita, mereka kerja untuk orang. Kita hebat, mereka
gah aje. Kita menyusur di denai niaga. Mereka merentas lebuhraya korporat. Kita
oren, mereka epal. Bandinglah oren dengan oren!
Dalam pada
itu, sifat bertanding ialah berlumba. Dan sifat berlumba pula ialah bersegera. Namun,
semakin ramai di antara kita yang tidak menganut sikap untuk bersegera ini. Ramai
yang bukan sahaja releks dalam menjalankan apa jua tugas, malah sikap releks
atau santai ini menjelma menjadi sikap bermalas-malasan. Malas membawa kepada
sikap lewa dan akhirnya bertangguh dalam semua hal. Tidak boleh begitu kerana
bukankah ia bertentangan dengan fitrah asal kelahiran kita sebagai juara dalam
perlumbaan peribadi yang pertama sebelum kita lahir itu? Bangun dan berlumbalah
kembali untuk kebaikan diri.
"Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang
ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam berbuat) kebaikan, di
mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari
kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(al-Baqarah : 148)
No comments:
Post a Comment