Piccredit: blog.omvana.com
MEMBUAT
KEPUTUSAN
UNTUK ORANG LAIN
UNTUK ORANG LAIN
TATKALA di usia 20an, saya
pernah menjadi ejen di sebuah syarikat jualan langsung antarabangsa. Saya
sertai syarikat itu setelah mendengar penerangan dan impian yang dibentang oleh
rakan sepejabat yang kemudiannya menjadi penaja saya.
Pada mulanya saya sertainya
semata-mata kerana ingin memperoleh tambahan pendapatan. Cukup selesa jika dapat tambahan pendapat sekitar dua tiga
ratus ringgit sebulan. Sebagai orang bujang, tambahan pendapatan melebihi RM100
pada tahun 80an pun dikira banyak juga. Tiket wayang pun RM4 ketika itu.
Makanan ringan seperti ayam goreng pun tidak melebihi RM5 untuk satu set
hidangan. Setelah saya menghadiri mesyuarat-mesyuaratnya, saya semakin berminat
untuk terus melabur masa, tenaga dan wang ringgit ‘untuk masa depan saya.’
Bagaimana pun, saya lembab
dalam mengajak kenalan dan saudara mara saya menyertainya. Setelah sebulan,
saya hanya mampu mengajak dua orang. Sedangkan orang lain di dalam kumpulan
saya secara puratanya dapat membawa empat orang kenalan menyertai perniagaan
masing-masing.
Suatu hari, upline saya bertanya mengapa saya tidak
dapat mengajak ramai rakan dan taulan menyertainya sedangkan saya punyai ramai
kenalan. Jawapan saya, mereka nampaknya tiada masa tidak berminat menyertai
perniagaan saya. Lantas upline dan mentor saya berkata, sebab
utama kegagalan saya ialah kerana saya telah membuat keputusan untuk orang
lain.
Apa maksud ‘membuat
keputusan untuk orang lain?’ Beliau menerangkan, saya sebenarnya telah membuat
keputusan untuk mereka bahawa mereka tidak berminat. Bagaimana saya boleh tahu,
sedangkan saya belum pun membuka mulut memperkenalkan perniagaan saya? Jika
saya memperkenalkan perniagaan saya, barangkali akan ada yang berminat kerana
semua orang pada dasarnya inginkan pendapatan tambahan dan mencuba sesuatu yang
baharu. Jika saya tidak membuka jalan, bagaimana saya boleh kata mereka sudah
menolaknya? Ertinya, saya sudah berkata ‘tidak’ sebelum mencuba.
Kata-kata itu menyentap dan
masuk ke dalam fikiran saya. Ya. Saya tidak boleh mempunyai andaian bahawa
seseorang itu akan setuju ataupun tidak setuju dengan apa yang saya akan
sarankan selagi saya belum memberi penerangan kepadanya terhadap sesuatu yang
saya ingin sarankan.
Dari semasa ke semasa, kita
kerap berada dalam situasi di mana kita seolah-olah sudah tahu jawapan
seseorang sedangkan kita belum pun bertanya kepadanya. Bagaimana boleh begitu?
Mengapa kita judgemental atau memberi
jawapan ‘setuju’ atau ‘tidak’ meskipun persoalan belum dilontar?
Banyak keadaan dan ketika
di mana kita punyai masalah kerana kita tidak bertanya, tidak menerangkan
mahupun tidak mengkhabarkan sesuatu kepada seseorang. Andainya si suami tidak mahu menerangkan kepada isterinya
akan penyakit kronik yang dihidapinya semata-mata kerana khuatir isterinya akan
meraung, dia akan mendiamkannya sehingga keadaan sebegitu genting dan isterinya
benar-benar meraung mendengarnya.
Andainya seorang ketua
tidak memberitahu kepada stafnya akan tindakan yang akan dihadapi seandainya selalu
lewat menyiapkan tugas kerana tidak mahu stafnya berkecil hati, dia akan
menangguhkan nasihatnya itu sehingga prestasi seluruh jabatannya merudum.
Akibatnya, bukan sahaja seluruh staf jabatan itu sakit hati kepada staf yang
bermasalah itu. Sebaliknya, mereka jadi meradang dengan ketua yang tidak
menjalankan tugas menyelia staf yang bermasalah itu.
Andainya seorang jejaka berkenan
dengan seseorang gadis tetapi setakat menyimpan hati kerana bimbang lamarannya
ditolak, akhirnya dia sendiri putih mata apabila lamarannya benar-benar ditolak
apabila si gadis mengkhabarkan yang dia menerima lamaran orang lain kerana
berasakan dirinya tidak diminati oleh jejaka itu.
Berkatalah apa yang perlu
diperkatakan kepada seseorang itu walaupun di hati berasa bimbang seandainya
apa yang disuarakan itu ditolak. Jika jawapannya negatif, sekurang-kurangnya
kita sudah mencuba. Sebaliknya, jika jawapannya positif, alangkah ia baik untuk
perhubungan kedua-dua pihak? Pilihlah masa yang sesuai untuk menyatakan apa
yang ingin disampaikan meskipun berlapis-lapis lapik katanya.
Yang penting, seandainya
kita menyimpan perasaan dan persoalan, kita telah membuat keputusan untuk orang
lain. Cara itu tidak adil kepadanya. Pendekatan
itu juga tidak adil kepada diri kita sendiri.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 8.3.16.
No comments:
Post a Comment