Piccredit:beritaviral.click
KENAPA MAKAN
APA YANG ORANG MAKAN?
APA YANG ORANG MAKAN?
DI ANTARA perkembangan yang
dinamik dalam dunia perniagaan di Malaysia pada hari ini ialah perniagaan
makanan. Di zaman ekonomi meleset dan harga barangan naik, kita masih lagi
menjamu selera seperti biasa, meskipun harga sesetengah makanan sudah naik
melebihi kadar biasa. Jika sebelum ini, sepuluh sen kenaikan harga teh tarik
akan membuat ramai orang bising, kini kenaikan segelas teh yang melebihi dua
puluh sen tidak lagi menjadi topik bualan. Kita bayar sahaja tanpa soal. Untuk
tawar menawar, jauh sekali kerana akan dianggap gila. Walhal, bukankah tawar
menawar itu sendiri adalah adat jual beli?
Tekak antarabangsa
masyarakat Malaysia yang boleh makan apa sahaja yang dihidang menjadikan
tempat-tempat makan menjadi tempat tumpuan popular. Malah, makan sudah menjadi
suatu rekreasi keluarga. Satu keluarga boleh keluar untuk makan malam di gerai
mahupun restoran dan kemudian terus pulang ke rumah. Dan, satu keluarga akan
puas dengan rekreasi sebegitu.
Kita juga mempunyai trending atau arah aliran hidangan masakan. Pada sesuatu ketika, kita akan menggilai sesuatu
hidangan. Tidak lama kemudian, selera kita berubah kepada hidangan yang lain
pula secara beramai-ramai dan meninggalkan hidangan yang sebelum ini amat
diminati. Kegemaran pada sesuatu hidangan itu seolah-olah seperti fesyen
pakaian yang datang dan pergi. Cuma daripada segi hidangan masakan, apa yang
telah ditinggalkan, belum ada lagi diminati kembali, seperti fesyen pakaian
yang ada kitaran zamannya.
Beberapa tahun yang lalu,
jambu batu potong yang ditabur dengan asam boi menjadi makanan ringan yang
popular. Gerai-gerai jambu batu potong dan jus jambu batu menjadi kegilaan,
bukan sahaja kepada mereka yang berminat untuk berniaga, malah para pelanggan.
Jualan serbuk asam boi turut meningkat. Banyak pasaraya membekalkan serbuk asam
boi dalam bentuk paket.
Tidak lama selepas itu,
timbul pula hidangan durian crepe. Selain
terdapat jualan di kiosk-kiosk di pasaraya, resipinya juga turut dicari oleh golongan
wanita. Ramai yang mencuba melalui resipi di internet dan ia berjaya. Ramai
juga yang menjadikan ia sebagai pendapatan sampingan. Malah, durian crepe juga boleh dibeli secara talian.
Kesukaan kita kepada
minuman teh bubble yang kemudiannya
melahirkan trend minuman ice-blended. Banyak kiosk muncul di
pasaraya. Malah, terdapat pula kedai minuman beryogut yang menjadi kegilaan dan
stail. Kemudian, datang trend makan
nasi Arab seperti nasi mandy, nasi haneeth dan nasi kabsa daging kambing
mahupun ayam.
Setahun dua yang lalu,
timbul pula kegilaan pisang goreng keju. Banyak gerai-gerai pisang goreng keju
dibuka. Harga pisang goreng yang boleh dibeli dengan harga lima biji seringgit,
ada yang meningkat ke harga RM5-RM7. Kuahnya bukan sahaja keju cair, tetapi
terdapat pelbagai jenis perisa seperti coklat, coklat putih, karamel, kayu manis dan
kopi.
Yang mutakhir setelah redanya kegilaan terhadap pisang goreng
keju ialah kegilaan kepada kopi tepi jalan. Apa sahaja yang terjual di bistro
terkenal seperti Coffee Bean dan Starbucks kini boleh didapati di
simpang-simpang jalan dengan harga yang relatifnya lebih murah, meskipun
harganya dua kali ganda daripada harga air sirap di tepi jalan. Oh, ya. Ada
minuman yang mula menjadi trendy ~
aiskrim sumi jelly!
Apa ertinya semua ini? Pertama, ia menggambarkan budaya makan
sudah bertukar menjadi sesuatu yang bermusim. Yang penting ialah herd mentality untuk kita sama-sama
mencuba apa yang kini menjadi habuan halwa tekak. Jika tidak merasa seperti
ramai orang lain, kita rasa ketinggalan.
Kedua, keselesaan sudah mengatasi perkiraan harga. Ertinya,
tabiat kepenggunaan kita mengutamakan kehendak, tidak kira berapa harga ataupun
sesukar mana sesuatu makanan itu diperolehi. Jika kita terpaksa bergerak
berpuluh kilometer hanya untuk menjamah sepinggan hidangan atau terpaksa
menunggu lama kiriman makanan secara talian untuk tiba ke rumah, kita sanggup
menunggu walau berapa kosnya.
Ketiga, apabila selera kita berubah mengikut trend, makanan kini adalah bayangan
kepada keadaan psikologi kita. Makanan sudah menjadi bahan untuk memujuk diri
daripada segala kekusutan fikiran. Kita tidak berasa selamat jika tidak makan
apa yang orang lain sedang sukakan. Sebab itulah, kita tidak peduli walaupun kebanyakan
makanan yang trendy ini tinggi
kalori, tinggi gula dan garamnya. Gara-gara food
anxiety, kita makan sahaja tanpa memikirkan apakah ia selamat untuk
kesihatan tubuh dan poket sendiri!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.3.16.
Assalamualaikum. Nampaknya saya antara yang ketinggalan, kurang peduli akan apa yang kawan2 sedang 'gila' akan hidangan luarbiasa di luar sana. Mereka sanggup travel beratus kilometer untuk dapatkan makanan yang konon sedap sangat. Sambil share gambar2 dengan cheese leleh, mayo melimpah... Sebenarnya saya jadi seram dengan trend hidangan rakyat Malaysia kini. Tak takutkah kegilaan terhadap makanan sebegini boleh mengundang penyakit instant? Apa2pun, saya lebih suka yg sederhana.
ReplyDeleteBenar sekali saudari. Tampak seperti tak sporting bila kita kemukakan penyakit yang datang bersama pelbagai jenis hidangan pada hari ini. Makanan yang berkhasiat, kurang gula dan kurang garam dianggap makanan untuk orang yang sakit. Walhalitulah hidangan untuk orang yang menjaga kesihatan.
DeleteBenar. Bersederhana itu lebih baik.