Piccredit: ywca north central indiana
TELUS ITU
BUKANNYA TELANJANG
KITA hidup di era ICT, yang membawa maksud era information
and communication technology. Ringkasnya era teknologi maklumat, iaitu era
IT. Pada asalnya, era IT ini adalah gabungan rangkaian telefon dan audio
visual yang membolehkan penggunanya
memperoleh, menyimpan, memindah atau mengubah maklumat yang diterimanya.
Bagaimana
pun, lama kelamaan, era ICT atau IT ini membawa maksud kehidupan harian kita
yang bergantung kepada maklumat yang disampai atau yang kita kirim melalui
komputer. Yang mutakhir, peri pentingnya telefon pintar kepada kehidupan
seharian kita.
Kita
mengkritik tentang kebergantungan kita kepada telefon pintar. Yang membuatkan
kita bingkas bangun pagi bukannya kerana jam loceng sudah berbunyi. Tetapi,
apabila keinginan untuk melihat apakah mesej Whatsapp yang masuk ke dalam
telefon kita.
Jika
sebelum ini, bunyi dering telefon akan menjadikan kita menggelabah mencapainya,
kini bunyi dengutan mesej yang masuk ke kotak telefon yang menjadikan kita
gelisah. Seolah-olah mesej itu akan hilang sekiranya ia tidak ditatap.
Kita
bercelam-celum di antara dunia nyata dengan dunia siber. Pemanduan kita di
jalanraya sudah tidak menarik. Apa yang lebih seronok ialah mesej, audio dan
video yang sampai ke dalam telefon. Tak dengar pun bunyi hon kereta di belakang
kerana kita masih asyik dengan telefon meskipun lampu trafik sudah bertukar
hijau. Tidak rasa lagi gelisah menunggu di barisan pejabat pos atau bank kerana
apa yang terpapar di telefon sudah mengasyikkan.
Tiada
lagi mesyuarat yang membosankan kerana ada sahaja lawak kawan-kawan yang
menyelit di antara mesej yang sampai sebagai penghibur. Telefonlah pengubat
kesunyian dan kedukaan walaupun ia bererti orang di sebelah makan hati kerana
kita semakin tidak pedulikan dia!
Sememangnya
IT yang dibekalkan oleh telefon pintar membantu kita untuk melihat dunia. Ia
membawa kita belayar di lautan siber hingga ke hujung dunia. Daripada suatu
segi, telefon pintar sudah menjadi alat terapi kesunyian, kebosanan, malah
dapat menghilangkan rasa duka lara.
Kita
bukan sahaja membaca apa yang orang lain paparkan. Sebaliknya, kita juga
berpeluang untuk menzahirkan perasaan dan berkongsi apa jua yang kita ada
dengan sesiapa sahaja yang berminat. Keterbukaan ini menjadikan kita telus.
Telus dalam melahirkan fikiran, pandangan dan juga perasaan. Telus dalam
berkongsi ilmu dan minat dengan orang lain.
Bagaimana
pun, ketelusan yang tanpa batas ini akhirnya menjadikan kita manusia yang
telanjang! Telanjang kerana orang lain dapat tahu apa sahaja yang kita ada, apa
jua yang kita fikir, impikan dan igaukan. Yang positif, yang negatif kesemuanya
sudah terpapar untuk ditatap oleh orang lain.
Jika
sampai orang tahu yang kita kecil hati bila isteri tak tumbuk sambal belacan,
kita meroyan kerana bos marahkan kita dalam mesyuarat, kita tak gemar hadiah
kemenangan juara permainan karom, nampak kemaruk bila dapat makan kek keju… orang
lain dah boleh agak siapa kita.
Apa
yang kita papar di dalam media sosial itu mencerminkan peribadi. Tidak perlu
seseorang itu berkelulusan psikologi untuk menelah peribadi kita. Apa yang kita
tulis dan tampal di laman media sosial peribadi itu sudah cukup menelanjangkan
kita.
Jika
ditamsilkan seseorang yang berjubah dan berpurdah… memang dia seorang yang
misteri hingga kita dapat bercakap dan mendengar suaranya. Jika dia berpakaian
santai yang menampakkan wajahnya, kita lebih mudah mengenalinya.
Dan,
maaf cakap sebagai contoh… sekiranya dia
berpakaian seksi, ada banyak bahagian tubuhnya yang sudah tiada misteri.
Bagaimana pula jika dia telanjang? Kita akan menoleh ke lain arah!
Terbukalah,
teluslah asal jangan dedahkan segala-galanya. Telus itu bukannya telanjang! Jika
kita telanjangkan diri di laman sosial, apa lagi misteri yang kita hendak
simpan dari mata orang lain mengenai diri kita?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.5.17.
No comments:
Post a Comment