Wednesday, April 21, 2010

3 Ketika Kita Rasa Disayangi


Foto: usimages.detik.com
ERTI KETIKA
MAKANMU BERSUAP


MINGGU lepas saya mendapat SMS daripada seorang sahabat yang tinggal di Johor Bahru. SMS memberitahu tentang Aidil yang kini terlantar akibat demam panas yang teruk di sebuah hospital di Shah Alam. Saya termenung seketika. Betapa dalam era siber ini, sahabat yang tinggal jauh di selatan tanah air lebih tahu cerita seorang kawan yang berada di hospital yang begitu hampir dengan tempat kerja saya. Dekat tapi jauh, jauh tapi dekat.

Aidil berusia 50-an. Bertubuh agam. Perutnya masih kempis di usia begitu kerana dia rajin berjoging, bukan setakat brisk walking seperti kebanyakan insan seusianya. Makannya berjaga, bukannya berdiet. Dia makan apa sahaja. Hidangkan apa sahaja asalkan bukannya batu, kayu dan plastik; dia akan ratah semuanya. Tetapi, dia tak banyak makan. Baginya, setengah pinggan pun sudah cukup banyak.

Aidil juga seorang usahawan yang berjaya. Mempunyai pelbagai syarikat yang dikuasai sepenuhnya, syarikat perkongsian dan dia juga menjadi Ahli Lembaga Pengarah berbelas-belas syarikat lain. Banyak juga syarikat-syarikat kecil yang ditajanya dengan memberikan modal. Jika rugi, dia akan ambil tahu. Tetapi kalau untung, dia tidak ambil pusing dan tidak mahu ambil untung walau satu sen pun.

Dalam dunia peribadinya, Aidil mempunyai anak-anak yang kesemuanya menjadi. Harta-harta dunianya banyak sebagaimana selayaknya dipunyai oleh seorang jutawan. Aidil AJK surau di kawasan perumahan teres berhampiran, kerana di kawasan perumahan banglo tempat tinggalnya tidak ada surau.

Dia berkahwin di usia muda. Sebaik sahaja Aidil dan girlfriendnya tamat belajar di universiti, mereka bernikah. Anis yang setia dan baik hati inilah yang kini sedang menyuapnya dengan sup. Mereka berdua tersenyum bila saya terjengul di pintu wad. Maklumlah, saya pernah menjadi posmen Aidil tatkala dia mabuk cinta dengan isterinya.

Saya memerhati Aidil yang begitu tenang meskipun tubuhnya susut. Selepas sesuap, sesuap lagi sup yang masuk ke kerongkongnya. Sesekali mereka berdua bertentang mata lalu bertukar senyuman. Romantisnya mereka.

“Kalau engkau nak tahu, ada tiga ketika di mana kita makan bersuap,” ujar Aidil. “Pertama, ketika kita masih bayi, kedua ketika kita menjadi raja sehari dan ketiga ketika kita sakit dan dah tua macam keadaan aku sekarang ini.”

“Betul kata engkau, tu. Tapi, apa yang istimewanya?” soal saya kerana baru perasan dengan situasi yang dinyatakan Aidil. Saya juga ingin menggembirakan hatinya dengan menggalakkan dia bercakap. Mudah-muadahan, dia akan lupakan sakitnya buat seketika.

“Bila orang menyuap kita makan, kita akan rasa seronok. Itulah saat di mana kita berasa diberi perhatian dan disayangi. Kerana itulah, dalam ketiga-tiga keadaan, sama ada ketika kita masih bayi, sebagai pengantin ataupun sebagai pesakit, kita ingin merasa disuap makanan selama yang boleh. Kita mahu suasana itu berpanjangan.

Kalau hendak mengeratkan kasih sayang sesama kita, di antara ibu dan anak, adik-beradik dan juga suami isteri, cubalah suap menyuap makanan. Oleh sebab makan adalah keperluan asas manusia, kita akan kekal kasih dengan orang yang menyuap kita. Sekali-sekala, cubalah menyuap makanan kepada anak yang dah besar. Mereka akan kasihkan kita. Ini naluri manusia.”

Apa yang diperkatakan Aidil memang ada logiknya. Terfikir-fikir juga bila kali terakhir saya menyuapkan makanan kepada isteri dan juga anak-anak. Dan saya tersenyum sendiri bila tidak ingat bila kami makan bersuap.

Saya tersenyum lagi bila melihat Aidil mencapai sudu sup untuk menyuap isterinya pula. Dan saya bingkas meluru kepadanya apabila sudu itu terlepas dan Aidil mula tercungap-cungap.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.4.2010

2 comments:

  1. Moga shbt U sembuh segera. Dat three stages yg you rungkaikan 2 mang btul.Right to d core.
    Cme my bebi, forthcoming year gonna b 1st former, she's now almost 12. Tp setiap plg dr skola won't eat unless I suap. Begitu dinner, mcm alasan dia buat xmoh mkn sndri. Dijerit pun buat mke sposen. Finally, takut prot dia sket, terpksa suap jugak. She's prompt to gastric. Pdnya, makan sndr cme dlm majlis, wat d hell, sampai bler eh..?[klu I berpergian, blek tgok mke dia yg masam coz she jest took light food utk alas prot tgg I blek for her 'real meal' perghh![geram]
    Nvl aksi U dah lme khatam, when next? Salam sukses.Citer U klaas

    ReplyDelete
  2. Bebi makan bersuap? Mudah-mudahan bila dia besar (akil baligh) dia akan selesa suap sendiri. Lagipun, anak bongsu bila dia sampai satu stage, dia akan cuba berdikari dan menyendiri agar tidak dilihat sebagai si manja anak emak lagi.

    Ini bercakap melalui pengalaman, Haiza, sebab saya ni anak bongsu. Saya juga kenal ramai anak-anak bongsu yang punyai pattern ingin bersendirian dan berdikari bila meningkat dewasa. :)

    Nvl berikutnya sedang ditulis. Sila ke http://www.meniti-maut.blogspot.com

    ReplyDelete