Tuesday, April 6, 2010

Jawapan Kepada Pelbagai Persoalan


MENGAPA
TIDAK BERTANYA
MENGAPA?


AHAD lalu, saya beruntung kerana dapat mendengar ceramah ‘State of Denial: Reporting The Middle East’ (dibaca, Palestin), oleh Dr. Robert Fisk, seorang wartawan terkenal daripada akhbar The Independent. Program anjuran Friends of Deir Yassin dengan kerjasama Institut Kajian Lanjutan Islam Antarabangsa itu mendapat sambutan dan perhatian.

Lebih 250 orang hadirin daripada pelbagai NGO, badan kerajaan dan individu memenuhi dewan utama institut itu. Ramai juga kakitangan kedutaan dan individu daripada pelbagai negara turut serta. Jelas sekali, isu Palestin begitu dekat di hati rakyat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa.

Dr. Robert pernah tinggal di Timur Tengah selama 30 tahun dan telah menyorot pelbagai pergolakan termasuk revolusi Iran (1979), pencabulan Israel di Sabra dan Shatila (1982), Peperangan Teluk (1991) termasuk penaklukan Iraq (2003). Beliau pernah menemubual Osama bin Laden, bukan sekali, malah tiga kali. Pengalaman itu lebih bererti daripada berbelas-belas anugerah kewartawanan antarabangsa yang telah beliau menangi.

Banyak sekali kata-kata hikmat yang dicurahkan oleh wartawan berusia 63 tahun itu. Saya tertarik dengan tiga perkara yang boleh kita renungkan bersama. Katanya, ‘war is not about victory and defeat. War is about death!’ Peperangan itu bukannya soal kemenangan dan kekalahan. Peperangan ialah kematian!

Beliau juga secara selamba berkata, ‘Dunia ditipu kononnya terdapat senjata pemusnah massa (weapon of mass destruction) di Iraq. Kerana fitnah itu, dunia akur dan menghalalkan pencerobohan Amerika dan sekutunya di negara itu. Akibatnya Iraq huru-hara dan masih bergolak hingga ke hari ini.’

Namun, apa yang menarik hati saya ialah kata-katanya yang bertanya mengapa istilah ‘mengapa’ tidak dipedulikan lagi dalam mengupas perbagai persoalan yang mendepani kita. Menurutnya, kita sering membicarakan siapa, apa, bila dan bagaimana sesuatu itu berlaku. Tetapi kita selalu terlupa untuk bertanya mengapa sesuatu itu terjadi.

Saya bersetuju dengan telahan beliau. Berpuluh-puluh persoalan peribadi, persekitaran, masyarakat dan juga negara bersimpang-siur di minda kita. Persoalan anak yang terpaksa membawa beg besar ke sekolah, jiran yang sombong, tabiat merokok dan pergolakan politik yang tidak sudah-sudah masih menjadi topik perbincangan. Ia akan terus diperkata, diulas, diforum, malah diseminarkan berulang-ulang kali.

Namun, persoalan akan hanya tinggal persoalan. Jika tidak bertanya ‘mengapa,’ tanpa disedari, kita sebenarnya sedang menjauhi jawapan. Padahal,bukankah jawapan yang hendak ditemui pada setiap persoalan?

Persoalan ‘siapa’ membicarakan mengenai orang, ‘apa’ mengenai perkara, ‘bila’ mengenai masa dan ‘bagaimana’ itu mengenai kejadian. Bila direnungi, kesemuanya bertitik-tolak daripada saat ia tercetus. Maknanya, kita hanya dapat lihat yang lahiriah, bukannya yang batiniah.

Persoalan ‘mengapa’ pula memfokus kepada sesuatu kejadian sebelum ia terjadi. Pertanyaan ‘mengapa’ berupaya memutar minda kita untuk memahami punca persoalan. Tanpa memahami ‘mengapa,’ kita sukar memperoleh jawapan. Memahami, ‘mengapa’ mengelakkan kita daripada tenggelam punca.

Tetapi, kerana tidak memikirkan ‘mengapa,’ fikiran jadi sesak hingga kita jadi malas untuk berfikir. Akibat malas berfikir, kita terima sahaja apa yang ramai orang lakukan. Media massa yang begitu berpengaruh akan meresap dan memerangkap minda kita yang malas berfikir.

Saban hari, fikiran kita diuli dan dicanai hingga kita mempunyai fikiran yang sama dengan orang lain. Ini kononnya dinamakan public opinion, padahal ia adalah minda yang stereotaip. Akhirnya, kita sudah menjadi salah seorang mangsa yang diternak fikiran oleh media apabila mempunyai herd mentality daripada kalangan silent majority.

Sedarilah betapa mudah kita memahami masalah dengan mengkedepankan ‘mengapa.’ Rasailah susahnya menyelesai masalah bila kita melupakan ‘mengapa.’ ‘Mengapa’ adalah kunci kepada jawapan.

Dalam analogi yang maha makro, tidak memadai kita mengetahui dan menyelidiki The Big Bang iaitu kejadian alam yang paling raksaksa. Sebaliknya fahamilah ‘mengapa’ ia diletupkan oleh Yang Maha Perkasa. Jika kita memahami setelah bertanya ‘mengapa’ kepada perkara yang sebesar itu, kita akan menemui makna pada hal yang sekecil hama.


Artikel ini terbit pada 7.4.10 di akhbar Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment