Wednesday, March 31, 2010

Menghidupkan Jiwa


RUGINYA BILA
BERUBAH NIAT

BARU-BARU ini, saya bertemu dengan Saad, rakan ketika di universiti. Penampilannya sama seperti 20 tahun yang lalu. Tidak berubah. Belum nampak yang dia sudah ‘menjadi orang.’ Kasihan. 20 tahun lalu juga saya sudah menjangka apa yang akan terjadi terhadap dia. Punca kegagalannya ialah, dia selalu terlupa apa yang dia hendak lakukan.

Saya pernah menemani Saad untuk ke perpustakaan. Perjalanan kami daripada bilik kuliah ke perpustakaan kerap terhenti-henti bila Saad ditegur teman-temannya. Tempat yang hanya terletak selang sebuah bangunan dari bilik kuliah itu mengambil masa lebih 30 minit perjalanan.

Semuanya kerana Saad ringan mulut untuk bersembang dengan kenalan-kenalannya. Lain kenalan, lainlah pula bualannya. Dia sempat bersembang dan duduk di bangku laman dengan mereka, bertukar nombor telefon, bercerita hal-hal semasa, bergurau senda dan kejar mengejar dengan teman-teman siswi walaupun seketika. Akhirnya, saya seorang yang sampai ke perpustakaan. Saad pula entah ke mana-mana kerana dia terlupa dengan niat asalnya.

MANUSIA mesti mempunyai tujuan hidup. Ini adalah kerana kehidupan kita adalah satu perjalanan. Pada setiap hari, kita akan mengharungi satu perjalanan dengan memikul beberapa tugasan peribadi mahupun terhadap orang lain. Fardhu ain dan fardhu kifayah.

Andainya tujuan itu untuk matlamat yang singkat seperti memandu dari rumah ke pejabat, cukuplah setakat memasang niat. Tetapi, seandainya matlamat yang diingini itu berjangka panjang dan besar erti serta nilainya, sesuatu niat itu perlu disendal dengan nawaitu, dibaji dengan azam, dan dipasak dengan istiqamah.

Cita-cita untuk menjadi pelajar terbaik, seorang profesional sama ada peguam, doktor, ahli ekonomi mahupun arkitek, perlukan nawaitu, azam dan iltizam sebagai pendinding agar kecekalan hati tidak tergoyah dan tergugat dengan gangguan luaran dan dalam diri.

Seseorang yang berjaya mencapai hasratnya belajar dalam bidang parakaunan di menara gading mungkin mempunyai niat asal untuk membantu keluarga bila tamat pengajian. Namun, dek kerana terlupakan nawaitunya, dia mula ponteng kuliah, tidak membuat tugasan, malah tidak menduduki peperiksaan itu sendiri.

Begitu juga, seseorang yang ingin menjadi penyanyi dan berjaya menjuarai sesuatu pertandingan yang menjadikannya artis rakaman, boleh lupa akan niat asalnya bila dia selaputi dirinya dengan kehidupan yang gawat, penuh gossip dan skandal hingga masyarakat sudah lupa dia asalnya seorang penyanyi.

Pada hari ini, kita temui ahli politik yang secara senyap-senyap merenggut hak rakyat. Padahal, niat asalnya berkecimpung di dalam politik adalah untuk membela hak rakyat. Ada doktor yang sudah tidak lagi memulihkan pesakit, malah mencari jalan agar pesakitnya terus menerus bergantung kepada ubatan preskripsinya supaya poket pesakit dapat diperah selama mungkin.

Betapa ramai di antara mereka yang berubah niat asal setelah dapat mencapai apa yang dicita-citakan? Akibat berubah niat, maka cita-cita, azam, iltizam yang murni dan yang tulus mula hilang daripada ingatan. Bila itu terjadi, cita-cita yang tergenggam itu terlerai gugur ke bumi.

JIKA kita melihat ke dalam diri, pasti kita temui waktu-waktu kegagalan kita dalam perjalanan hidup ini terjadi apabila kita berubah niat. Sama ada niat kita hendak menjadi pelajar terbaik, pekerja cemerlang, pejuang kemanusiaan, pejuang keamanan, pejuang keadilan, pejuang agama, malah suami atau isteri mithali pun akan melalui denai-denai kehidupan yang sukar bila kita berubah niat asalnya.

Bagaimana pun, lihatlah juga di sekeliling kita. Selain daripada teman dan kenalan yang tergapai-gapai kerana tersungkur setelah berjaya dalam mencapai matlamat masing-masing, kita juga akan temui mereka yang terus menerus berjaya di dalam hidupnya.

Siapakah mereka? Mereka adalah insan-insan yang tidak berhenti untuk berehat dan bersenang-senang. Mereka tidak mengeluh kepenatan meskipun fizikal mereka tampak lelah. Sebaliknya, kita pula yang letih melihat ketangkasan fizikal dan mental mereka. Ini adalah kerana, manusia ini mempunyai jiwa yang hidup.

Jiwa yang hidup adalah kompas
agar niat tidak berubah.
Ia lurus tersasar ke arah
matlamat hidup dan mati kita.

No comments:

Post a Comment