PEMBACA KIAN TUMPUL FIKIRAN
INDUSTRI persuratkhabaran mula berkembang di Eropah. Pada awalnya, akhbar
ditulistangan dan beredar di Venice pada 1566. Akhbar bercetak pula diterbitkan
secara mingguan di Germany mulai 1609. Ia mula berkembang pesat di United
Kingdom apabila kerajaan pada ketika itu melonggarkan sekatan.
Di tahun 1830an mesin-mesin cetak besar memainkan peranan untuk
menerbitkan ribuan naskhah dan akhbar berkembang di bandar-bandar utama Eropah.
Pada mulanya akhbar-akhbar banyak bersandar kepada laporan politik untuk
mendapat dana. Mulai tahun-tahun 1900an pula dunia pengiklanan kian berkembang.
Dan, akhbar sebagai medium pengiklanan memperoleh pendapatan untuk hidup hasil
sumbangan pengiklanan.
Apabila radio tercipta, berita mula disampaikan melalui medium itu.
Namun, radio tidak begitu menjejaskan jualan akhbar hingga munculnya televisyen
pada tahun 1950an. Televisyen melalui persembahan audio visualnya menarik
sejumlah besar pembaca akhbar.
Namun, perkembangan internet pada tahun 2000 dan kemunculan telefon
pintar sedekad kemudian amat memberi kesan kepada pendapatan iklan. Banyak para
pengiklan memperuntukan sejumlah besar dana pemasarannya melalui pembelian
ruang iklan. Akhbar sebagai medium pengiklanan kian ditinggalkan.
Kewujudan media sosial khususnya Facebook
memberi kesan yang besar kepada akhbar cetak. Sebagai medium sembang yang
popular, penerbitan akhbar ingin mencuri perhatian pengguna dengan muncul di
platform itu. Walaupun terus diterima oleh khalayak pembaca, jualan akhbar
bercetak kian merosot.
Syarikat-syarikat yang ingin mengiklankan produk mereka mula
memperuntukan sejumlah besar belanja iklan mereka di media sosial pula. Instant
article di mana iklan diselangseli dengan berita di laman Facebook menjadikan
khalayak pembaca semakin memandang enteng kepada akhbar bercetak. Youtube, Twitter, Instagram dan
portal-portal akhbar dalam talian juga bagai menjanjikan talkin untuk akhbar
bercetak.
Trend itu juga dapat dilihat pada perkembangan industri akhbar di negara
ini. Akhbar-akhbar arus perdana nampaknya mengalih perhatian kepada laporan
berita dalam talian. Portal-portal akhbar-akhbar ini begitu popular kerana
mendapat tempat-tempat teratas sebagai laman-laman yang paling banyak dilayari.
Laporan Comscore bagi bulan Oktober 2017 menunjukkan akhbar Harian Metro,
Berita Harian, The Star, Malaysiakini dan akhbar Sinar Harian menduduki lima tangga teratas sebagai
portal-portal berita yang paling popular di Malaysia. Harian Metro mendapat
lebih 47 juta pelayar yang mengunjungi lamannya.
Ini diikuti dengan The Star 25 juta, Malaysiakini 23 juta, Berita Harian,
21 juta, dan Sinar Harian 17 juta. Apabila jutaan pengunjung melayari
portal-portal berita ini, ia menarik sejumlah besar iklan daripada akhbar
bercetak kepada akhbar atas talian. Ia menjanjikan potensi pengiklanan yang
kian membuak.
Kini, akhbar-akhbar perdana ini mengubah cara kerja masing-masing dengan
menggunakan pendekatan digital first.
Wartawan pada hari ini tidak lagi menghantar laporan ke akhbar cetak supaya
beritanya dapat diterbitkan pada keesokan hari. Sebaliknya, wartawan diwajibkan
untuk menghantar berita ke portal akhbar untuk dipapar secara dalam talian
kerana berita itu perlu disiarkan pada hari yang sama. Namun biasanya, berita
secara live adalah pendekatan yang
paling dikehendaki.
Malah, struktur organisasi syarikat akhbar dirombak dengan mengadakan sistem bilik berita bersepadu atau common newsroom di mana sesebuah berita itu disampaikan dalam bentuk tulisan, foto dan juga video. Berita ini ditarik untuk diagih ke pletform penyampaian berita di akhbar cetak mahupun secara digital.
Khalayak pembaca akan suka bilamana mereka boleh menonton sesebuah perlawanan bolasepak di stadium dengan melihat dengan mata kepalanya atau melalui telefon pintar masing-masing secara live. Pada keesokan harinya, dia tidak perlu membelek akhbar lagi untuk membaca mengenai perlawanan semalam. Dia hanya perlu menatap ulasan perlawanan bersama dengan ulasannya di telefon pintarnya.
Kemudahan penyiaran berita melalui internet menjadikan khalayak mendapat
apa yang diingininya secara cepat. Dia akan melayari ke mana-mana sahaja hingga
dia bertemu jawapan yang dikehendakinya. Syarikat-syarikat akhbar memenuhi
keperluan ini secara dalam talian. Akhbar cetak semakin dilupakan.
Namun, tanpa disedari oleh khalayak, mereka menjadi semakin tumpul
pemikiran. Mereka menonton, membaca dan mendengar. Tanpa sempat merenung apa
yang ditatap, mereka sudah beralih ke cerita lain. Sambil membaca, fikiran
mereka diusik pula dengan iklan-iklan yang muncul tanpa salam.
Akhirnya, dunia pemberitaan menjelma menjadi dunia hiburan bilamana apa yang menarik itulah yang disukai. Kisah mangsa pelarian yang kebuluran kurang mendapat perhatian berbanding dengan kisah lembu jatuh ke dalam parit!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.12.17.
No comments:
Post a Comment