RAJIN DAN USAHA
TANGGA KEJAYAAN
TANGGA KEJAYAAN
SAYA terpandang
seorang remaja yang sedang melengung di sebuah bistro. Di hadapannya ada sebuah
komputer riba. Dia kelihatan tiada bersemangat. Saya menyapanya dan bertanya
apa masalahnya. Rafie, nama remaja itu memberitahu saya yang dia penat membuat
pelbagai promosi baju-T di dalam laman sosial Facebooknya. Namun tidak ramai
yang membeli produknya. Katanya, dia mahu sahaja berhenti dan mencari kerja
daripada berniaga secara dalam talian. ‘Rajin dan usaha tangga kejayaan.’ Itu
sahaja nasihat saya apabila Rafie meminta pendapat saya mengenai usahanya.
Ramai
di antara kita yang sudah biasa dengan pepatah di atas. Namun, apakah kita menyedari bahawa pepatah di atas
masih lagi relevan? Jika kita ingin berjaya dengan apa yang kita lakukan,
buatlah sesuatu dengan konsisten. Sama da cepat atau lambat, jika kita
beristiqamah dengan sikap rajin dan usaha dengan apa yang kita lakukan,
insya-ALLAH ia akan menempa kejayaan.
Nabi
Nuh a.s telah menerima wahyu daripada ALLAH swt agar membina sebuah bahtera
untuk menyelamatkan kaumnya yang beriman dari banjir besar. Tatkala baginda
membinanya pun, dia telah dicemuh oleh kaumnya yang tidak mahu beriman. Dia diperlekeh
dan diperli. Namun baginda konsisten dalam apa yang dia lakukan kerana sudah
punyai visi akhir projeknya. Akhirnya, apabila banjir besar datang, dia berjaya
menyelamatkan kaumnya.
Pencipta Thomas Elva Edison telah melakukan
lebih 1,000 kali eksperimen hingga berjaya membuat mentol lampu elektrik.
Usahanya diragui oleh ramai saintis yang lain. Namun apabila berjaya, beliau
ditanya oleh seorang pemberita, apa perasaannya kerana gagal lebih 1,000 kali
dalam penciptaannya? Jawab Thomas, ‘Saya bukannya gagal 1,000 kali. Mentol
lampu yang saya buat ini adalah ciptaan setelah menapak lebih 1,000 langkah.’
Jutawan Cina,
Jack Ma telah menghadapi lebih tujuh kali kegagalan dalam hidup sebelum beliau
berjaya membina empayar Alibabanya. Beliau banyak kali gagal dalam peperiksaan
di sekolah, hanya mendapat satu markah dalam peperiksaan matematik, gagal
memasuki Universiti Havard setelah mencuba 10 kali dan juga gagal dalam lebih
30 temuduga kerja. Hanya kedegilannya untuk bersikap rajin dan usaha sahaja
yang akhirnya menjadikan dia seorang bilionair.
Bagaimanapun,
pada hari ini, situasinya sudah berbeza. Jika dahulu, mereka di sekeliling
seperti rakan taulan dan keluarga boleh menjadi peluntur semangat. Niat kita
untuk mula berniaga, berhenti merokok, berubah perangai ataupun membela kambing
sebagai suatu perusahaan akan mengundang banyak kritik daripada mereka di
sekeliling kita.
Kini,
oleh kerena tenggelam di alam siber, mereka di sekeliling kita pun tidak akan
peduli dengan apa yang kita lakukan. Terlalu banyak perhatian mereka terarah
kepada apa yang terpapar di telefon masing-masing. Media sosial, video, sembang
dan juga permainan menjadikan mereka tidak mahu ambil tahu dengan apa yang kita
lakukan. Ketidakpedulian ini juga akan melemahkan semangat kita.
Telefon
sebenarnya memisahkan manusia hingga menjadi individu-individu yang berada di
dalam dunianya yang tersendiri. Kerana itu, apa yang ingin dilakukan tidak akan
mudah menarik perhatian. Jika tiada kritik, cemuh dan perli dari orang di
sekeliling, ia juga menjadikan kita berasa apa yang kita usahakan itu tiada
maknanya.
Justeru,
bagaimana? Kita kena berpegang juga dengan prinsip rajin dan usaha tangga
kejayaan. Dalam suasana yang berbeza, prinsip kejayaan masih serupa. Jika
dahulu menjadi perhatian tetapi dicemuh lalu melemah semangat, kini tidak
dipedulikan juga akan melemahkan semangat.
Berbalik
kepada Rafie, saya menasihatinya agar terus melakukan apa yang ingin
dilakukannya secara konsisten. Jangan sekali-kali berhenti. Dengan begitu
banyak aplikasi dan pelbagai perkara yang mengasyikkan sesiapa sahaja, mereka
tidak akan peduli apa yang Rafie usahakan.
Tetapi,
algorithm di dalam media sosial itu direka untuk memaparkan siapa yang kerap
menaikkan status. Ertinya, siapa yang paling banyak memaparkan statusnya, maka
paparan dialah yang akan lebih kerap muncul.
Saya menasihati
Rafie agar memahami numbers game
dalam dunia siber. Meskipun kualiti menjadi keutamaan, kuantiti jugalah apa
yang bakal menarik perhatian orang. Lakukan sehingga mereka yang sibuk dengan
dunianya terperasan akan kehadiran kita. Apabila waktunya tiba, usaha kita akan
menjadi besi berani yang akan menarik pelanggan menghampiri kita.
Pokoknya,
jalan menuju kejayaan itu memang sunyi dan gelap. Kita perlukan lampu suluh
yang baterinya adalah semangat kita sendiri.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.12.17.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.12.17.
No comments:
Post a Comment