Tuesday, July 26, 2016

ITULAH IBU



PICCREDIT: bambangwahyu81.wordpress

BUAT IBU YANG JAUH AKU TINGGALKAN

ORANG kota biasa menyambut hari raya hingga ke penghujung Syawal. Malah, mungkin terbabas sehari dua memasuki ke bulan Zulkaedah. Pada hari-hari Sabtu dan Ahad, jalan-jalanraya utama kota akan sesak kerana masing-masing membuat ziarah ke rumah saudara mara yang selalunya tinggal di hujung kota.

Maka kenderaan pun bersimpang-siur dan berderet-deret merentasi kota. Ditambah pula dengan rumah-rumah terbuka syarikat-syarikat swasta, badan-badan bukan kerajaan dan jabatan-jabatan kerajaan yang turut dihadiri oleh lain-lain kaum, sesak jalanraya mengalahkan jem pada hari-hari kerja.

Sambil menikmati juadah aidilfitri di sebuah rumah terbuka, saya bertukar-tukar cerita dengan Sharif, seorang jiran yang kampungnya di Tarom, Johor Bahru. Katanya, dia empat beradik pulang ke kampung ibubapanya bersama keluarga masing-masing. Mereka semua sepakat dalam penggiliran dengan isteri yang membolehkan mereka berempat pulang serentak pada tahun ini.

Dalam menceritakan hari raya yang penuh ceria tetapi nostalgik di tempat kelahiran, dia terkilan dengan apa yang terjadi pada emak akibat terlalu seronok bila dapat bermanja dengannya. Masing-masing bukan sahaja setakat pulang dengan angkatan keluarga seramai 25 orang, malah tidak beriya-iya meminta emak memasak masakan hariraya kegemaran mereka seperti mereka kanak-kanak dahulu.

Mereka mahu ketupat yang emak anyamkan sendiri kerana cantik bentuknya. Mereka mahu emak masak ketupat di tepi rumah sebab mereka boleh mengintai dari tingkap seperti sewaktu mereka kecil dahulu. Emaklah yang berjaga malam menanti ketupat masak, termasuk menukar airnya. Emak jugalah yang menggantung ketupat di dawai ampaian baju. Lepas itu, emak potong bawang, kacang panjang, lobak, kentang, sengkuang untuk dibuat lodeh. Kemudian emak perap ayam dan sediakan rempah ratus untuk dibuat rendang pada keesukan harinya. Sharif?
Dia, isteri dan anak-anak berlingkar di depan televisyen menonton siaran. Adik beradik yang lain sudah pulang ke hotel berdekatan. Maklumlah, rumah kecil itu tidak boleh memuatkan semua ahli keluarga kecuali keluarga Sharif. Pada hari raya, mereka makan sepuas-puasnya hingga bertambah-tambah. Maklumlah masakan emak memang sedap. Seluruh anak-anak dan isteri masing-masing pun memang suka dengan air tangan emak.

Masuk hari kedua Syawal, mereka berempat minta emak memasak lauk kegemaran mereka ~ betik masak air, sambal ikan bilis dan ikan kering. Mujur, emak guna periuk-periuk besar yang mereka bawa balik. Jika tidak, berapa kali entah emak Sharif perlu masak untuk menghidangkan masakan untuk mereka.

Sambil makan, mereka memuji masakan emak. Sambil mengunyah mereka menambah nasi. Sambil bersembang mereka tak perasan berapa kali emak ke dapur menyenduk nasi tambah. Orang tua itu hanya tersenyum puas hati melihat anak-anaknya makan dengan penuh berselera.

Tetapi mereka tidak sedar yang emak mereka tidak punyai tenaga seperti 50 tahun dahulu. Emak sudah tua. Sudah kurang kederat, kata orang. Tetapi melihatkan anak-anak kesayangan pulang bersama anak menantu dan cucu-cucu, orang tua itu menggagahkan dirinya untuk menggembirakan anak-anaknya seperti 10 tahun lalu, seperti 20 tahun lalu, seperti 30 tahun lalu, seperti 40 tahun lalu dan seperti hari itu.

Bila mereka pulang meninggalkan emak bersama berkotak-kotak biskut raya, empat persalinan baju raya, tudung dan selendang serta wang, mereka berasa mereka telah lakukan yang terbaik buat emak. Mereka fikir, mereka telah menggembirakan emak. Walhal, mereka tidak sedar yang mereka hanya menggembirakan hati mereka sendiri tanpa peduli apa kesukaran yang emak lalui.

Emak… di matanya masih melihat anak-anaknya itu seperti anak-anak kecil seperti dulu-dulu. Dia ingin memuaskan hati anak-anaknya seperti sentiasa. Dia mahu peluk tiap seorang anaknya di celah ketiaknya dan mendodoikan anak-anaknya hingga terlena. Dia tidak rasa pun yang anak-anaknya sudah besar, beristeri dan beranak-pinak. Itulah imej anak-anak yang terpahat di mindanya apabila mereka pergi meninggalkannya.

Malang bukan, apabila anak-anak yang sudah besar panjang masih menagih kasih sayang yang berbaki dari emak. Sepatutnya, mereka pulalah yang patut mencurahkan kembali kasih kepada emak hingga wanita itu tersedar yang anak-anaknya sudah besar dan mengambil giliran menjaganya pula. Jika demikian keadaannya, baharulah emak bukan sahaja gembira, malah bahagia hingga menutup mata.


‘Okeylah. Aku nak ke hospital,’ kata Sharif. ‘Dia jatuh kat bilik air sebab kepenatan. Aku yang bawak dia dari kampung. Lepas ni, dia duduk dengan aku.’ Aku mengangguk mendengar ceritanya penuh mengerti.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit pada 27.7.16 di akhbar Sinar Harian...

No comments:

Post a Comment