Piccredit: iasaglobal.org
KERJA APA
YANG KITA PILIH?
YANG KITA PILIH?
DALAM pada
suasana susah mendapat kerja, masih ramai lagi di kalangan anak-anak muda yang
masih memilih kerja. Mereka percaya bahawa sesuatu bidang yang ingin diceburi
itu mestilah yang sesuai dengan jiwa, bukan sebaliknya.
Siapa pula
yang memberi pandangan bahawa ada kerja-kerja yang baik, dan ada kerja-kerja
yang kurang baik semata-mata kerana rupa fizikalnya? Tidak boleh tidak,
seseorang itu mempunyai tanggapan yang tidak tepat mengenai sesebuah profesion
itu adalah kerana pengaruh orang di sekeliling, khususnya orang dewasa. Pendek
kata, ibubapa sendiri!
Minat
anak-anak terhadap sesuatu bidang yang dianggap tidak punyai masa depan itu
akan disanggah oleh ibubapa. Mereka percaya, bidang-bidang yang menjadi pilihan
oleh kebanyakan orang lain itu adalah sesuatu yang selamat dan boleh menjamin
masa depan.
Contoh yang
dipaparkan dalam filem Ibu Mertuaku arahan P. Ramlee memaparkan minat seorang
pemuda Kassim Selamat dengan muzik. Oleh kerana profesionnya sebagai ahli muzik
dan bukannya lawyer, magistret mahupun doktor, cinta seorang gadis
bernama Sabariah terhadap Kassim Selamat itu ditentang oleh ibunya Nyonya
Mansur. Meskipun mereka telah berkahwin, akhirnya kedua-dua Sabariah dan Kassim
Selamat hidup merana kerana campur tangan si ibu mertua.
Dahulu,
masyarakat biasanya mempunyai sesebuah pandangan mulia atau tidaknya terhadap
sesebuah profesion. Sebelum merdeka, oleh kerana sebahagian besar dari kalangan
anggota masyarakat masih belum berpendidikan, profesion gurulah yang menjadi
sanjungan. Cikgu dipandang satu-satunya jawatan yang hebat. Mereka dihormati
dan tidak kurang dari kalangan mereka yang diangkat menjadi pemimpin.
Kerja
sebagai Pegawai Daerah itu juga adalah jawatan yang dihormati kerana mereka
membawa bayangan raja, atau penghulu yang memerintah sesebuah daerah. Jawatan
polis dan askar juga menjadi sanjungan kerana ketika itu adalah zaman tidak
menentu selepas perang dunia. Mastarakat berasa selamat jika terdapat di
kalngan mereka yang berjawatan askar mahupun anggota polis.
Begitu juga
jawatan doktor, kerana mereka dianggap penyelamat nyawa. Ketika itu banyak
sekali penyakit yang kita anggap biasa pada hari ini adalah penyakit yang amat
berbahaya. Demam malaria, batuk kering dan taun adalah penyakit berjangkit yang
boleh tercetus menjadi wabak. Kehadiran doktor menjadikan mereka berasa
selamat.
Kian masa
berlalu, pandangan masyarakat mula berubah. Seiring dengan pembangunan negara,
jawatan-jawatan yang asing di kalangan masyarakat seperti jurutera, akauntan
dan akitek mula menjadi pilihan profesion anak-anak muda. Pandangan masyarakat
terhadap profesion ini semakin tinggi apabila mereka memegang jawatan tinggi di
dalam organisasi.
Apabila
tiba era IT, maka apa sahaja jawatan yang berkaitan dengan komputer menjadi
pilihan. Anak-anak yang menjadi seorang jurutera komputer, penganalisa sistem,
mahupun mereka yang mahir dalam membaik pulih komputer itu pula dikagumi.
Bidang komputerlah yang pasti menjamin masa depan.
Kini,
segala-galanya sudah berubah sama sekali. Perkembangan teknologi yang
menjadikan dunia ini tiada punyai sempadan pengetahuan telah menjadikan bidang
yang tiada glamornya menjadi profesion yang menjadi pilihan anak muda. Siapa
pernah terfikir, jawatan tukang masak menjadi pilihan ramai apabila ia dikenali
dengan nama glamor ~ chef? Siapa boleh terfikir, jawatan tukang urut menjadi
suatu jawatan profesional iaitu physiotherapist?
Bagaimana
pula jawatan sebagai ustaz yang dahulunya hanya di sekolah pondok, pada hari
ini boleh menjadi begitu popular, disanjung dan dikagumi? Jawatan motivator
yang pada suatu ketika dahulu hanya setakat berceramah di sekolah-sekolah kini
menempatkan mereka di dewan-dewan besar hingga mereka boleh berceramah di
merata dunia?
Sedikit
demi sedikit, apa sahaja profesion halal yang menjadi pilihan sudah tidak
dipandang sinis apatah lagi dicemuh. Kerja sebagai petani yang menanam serai,
buah naga mahupun harumanis kini dihormati. Begitu juga nelayan, apabila mereka
ke laut dalam. Mereka yang berniaga tudung, minyak wangi, kek, acar, sambal dan
buku secara online pun sudah kaya raya. Pendek kata, apa sahaja bidang yang
boleh menyara hidup, malah menjana pendapatan lumayan akan menjadi pilihan.
Tidak ada istilah kerja-kerja itu kotor atau tidak glamor. Pandangan masyarakat
terhadap profesion ini sudah berubah.
Rugilah
mereka yang masih berpegang pada pandangan bahawa hanya kerja kolar putih,
duduk di bilik-bilik berhawa dingin sahaja yang dipandang tinggi. Itu pandangan
lapuk dan sudah tidak relevan. Mereka yang begitu sudah ketinggalan dari segi
persepsi ~ persepsi bahawa orang akan peduli dengan mereka yang berpakaian
lawa. Sedangkan banyak kerja yang berpakaian comot itu mereka yang berpoket
tebal.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.7.16.
No comments:
Post a Comment