Piccredit: amiro82.blogspot
UNTUK AKTIVIS SOSIALYANG BAHARU
UNTUK AKTIVIS SOSIALYANG BAHARU
SAYA ke rumah seorang sahabat saya Badrul untuk beraya. Tiba ke rumahnya, dia memberitahu
hendak ke surau berdekatan kerana ada sambutan hari raya. Dia perlu hadir ke
majlis itu kerana dia adalah ahli jawatankuasa surau. Salah saya juga kerana
terus redah ke rumahnya tanpa bertanya samada dia ada program lain ataupun
tidak. Tetapi, Badrul mengajak saya sekali berhari raya. Saya ikut sahaja,
sebab yang penting hendak bertemu dan bersembang dengannya walau di mana pun dia
berada.
Setibanya
di surau, saya nampak ramai sekali mereka yang datang. Ramai yang berpakaian
sedondon mengikut tema keluarga. Masing-masing membawa juadah dari rumah
meskipun pihak surau sudah menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman.
Sambil menjamah nasi himpit dan kuah kacang, Badrul sempat memberi komen
tentang betapa ramainya ahli kariah yang datang pada petang itu. Melebihi 300
orang, tidak termasuk kanak-kanak. Katanya, untuk sebuah surau yang saf
solatnya hanya dua pada hari-hari biasa, jumlah hadirin pada petang itu adalah
luarbiasa.
Dia
sempat bercerita, kehadiran jemaah pada bulan Ramadan pun hanya ramai pada awal
Ramadan. Menjelang pertengahan membawa ke akhir bulan itu, jumlah jemaah semakin
sedikit, hanya tiga saf untuk solat Terawih. Katanya, jawatankuasa masjid sudah
tiada idea bagaimanan untuk menarik sekian ramai ahli kariah untuk
program-programnya.
Jika
dibuat acara ceramah, ada segolongan yang datang. Bila dianjur hari sukan,
golongan lain pula yang hadir. Jika dibuat program jualan, kursus jenazah,
gotong royong dan seumpamanya tidak semua yang menyertainya. Pendek kata, ada
kumpulan yang suka acara ilmu, yang suka acara kebajikan, yang suka aktiviti
sukan ataupun gotong royong. Payah sekali dapat menghimpunkan semuanya pada
satu-satu masa seperti pada majlis hari raya ini.
Memang
benar kata-kata Badrul. Di mana-mana surau atau masjid pun keadaannya sudah
jadi begitu. Malah, dalam apa jua aktiviti anjuran syarikat, jabatan kerajaan, NGO
dan parti politik, memang bukan semua yang akan hadir. Masing-masing akan
punyai sebab untuk tidak datang. Mungkin kerana ada program lain, mungkin ada
aral melintang atau semata-mata tiada minat terhadap sesuatu aktiviti itu.
Inilah
fenomena yang terjadi pada hari ini apabila kita menjadi semakin individualistik.
Tidak payah kita beri contoh yang jauh. Cukup sekadar melihat betapa asyiknya
kita dengan telefon masing-masing. Dan, apa yang ditatap oleh setiap daripada
kita itu sendiri pun hampir kesemuanya tidak sama. Walaupun sama minat pada Facebook umpamanya, apa yang dilayani
itu pasti mengenai minat masing-masing. Ada yang suka memapar status diri,
berkongsi resipi masakan, video pelik, music, madah, foto unik dan apa sahaja.
Memang
keadaan sebegini memisahkan kita dengan orang lain meskipun duduk bersentuh
bahu. Namun, begitulah keadaan kita pada hari ini. Justeru itu, jika kita ingin
membuat kerja-kerja kebajikan yang perlukan sokongan ramai, ia mungkin tidak
terjadi kerana masing-masing punyai kesibukan tersendiri. Tetapi apa yang boleh
dilakukan ialah bentuk sumbangan yang boleh masing-masing lakukan mengikut
kemampuan mahupun kepakaran.
Misal
kata, jika kita ingin membuat kunjungan ke rumah anak-anak yatim, janganlah
mengharap semua ahli persatuan, rakan sejabatan mahupun semua ahli kariah akan
dapat turut serta. Oleh kerana masing-masing punyai kesibukan mahupun prioriti
aktiviti mereka, apa yang perlu diperoleh agar semua mereka itu terlibat ialah
dengan mempelbagai bentuk sumbangan, samada masa, tenaga dan material.
Mungkin
sekali ramai yang tidak punyai masa. Tetapi sebilangan daripada mereka punyai
tenaga. Mereka boleh menyumbang dengan memviralkan program yang dianjur melalui
laman sosial bagi mendapat derma. Ataupun mereka boleh membantu membeli
barangan keperluan di pasaraya sebagai barangan untuk disedekahkan. Atau boleh
meminjamkan van mahupun MPV untuk digunakan. Ramai juga yang tiada punyai masa
dan tenaga tetapi punyai wang ringgit sebagai derma atas nama organisasi kita.
Akhirnya, walaupun hanya kita yang dua-tiga orang tiba ke rumah anak yatim, kita hanya menyampaikan
hasrat 100 orang insan lain yang tidak berkesempatan untuk tunjuk muka sebagai
tanda prihatin terhadap golongan itu.
Ingat
tak pada kata-kata nasihat orang Negeri Sembilan mengenai peranan unik anggota
masyarakat yang di antaranya berbunyi, “yang buta meniup tepung, yang pekak
membakar meriam, yang capek menghalau ayam, yang kurap menyiang buluh.”
Kesimpulannya,
adalah bagus andainya kita tidak berkira dengan masa yang mampu kita
sumbangkan, Namun, jangan pula mengira mengapa nilai sumbangan orang lain tidak
seperti kita.
Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.
No comments:
Post a Comment