Piccredit: pmnewsnigeria.com
GADIS SUNTI BERKASUT TUMIT TINGGI
SYUKUR alhamdulilah.
Akhbar Sinar Harian sudah menjangkau ke usia 10 tahun. Akhbar ini bertahan
hingga sedekad meskipun pada peringkat awal, tindakan pengasasnya Dato’ Dr. Hussamuddin
Yaacub menerbitkan akhbar harian dianggap sebagai sebuah usaha gila. Apatah
lagi, dua akhbar yang pernah diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf sebelum itu
iaitu Watan dan Eksklusif tidak panjang usianya.
Sinar Harian terbit pada
31 Julai 2006 tatkala lanskap politik negara sedang mula memanas. Daripada
sudut sosiologi, masyarakat mula kritis terhadap kepimpinan politik negara dan pada
waktu yang sama, kebebasan bersuara makin dibenarkan. Kerana itu, konsep akhbar
yang tidak memihak ke kiri mahupun ke kanan mula mendapat tempat di hati
pembacanya.
Jika diukur dengan akhbar
berbahasa Melayu iaitu Berita Harian yang berusia 59 tahun, Utusan Malaysia, 52
tahun; Harian Metro, 25 tahun dan Kosmo, 11 tahun; Sinar Harian adalah akhbar
yang paling bongsu. Namun begitu, ia dapat berdiri sama gagah dengan
akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang lainnya. Pertumbuhan ekonomi 4 %
berturut-turut selama empat tahun sebelum itu boleh dikatakan sihat dari segi
poket rakyat. Pembaca tidak kisah untuk menambah belanja untuk membeli sebuah
lagi akhbar tambahan. Ia membantu akhbar ini untuk join the bandwagon.
Tabiat konsumer pada tempoh
itu turut membantu perkembangan akhbar ini. Jika dahulu, apa yang dinamakan sebagai
brand loyalty adalah sesuatu yang menjadi
prioriti pengguna. Ketika itu, pengguna sukar mengubah selera untuk mencuba
sesuatu yang baharu kerana pada asasnya sesebuah jenama yang menguasai pasaran lazimnya
akan jauh meninggalkan pesaing yang terdekat. Justeru, jika sesebuah jenama
sudah menguasai pasaran, amat sukar jenama yang lain-lain dapat mengejar, bersaing,
apatah lagi mengatasi sesebuah jenama juara.
Namun, dengan kemunculan internet
dan media sosial di mana semua orang boleh bercakap, golongan noisy minority mula menenggelamkan suara
silent majority. Dalam ertikata yang
lain, golongan majoriti senyap yang mahukan ketenteraman dan kestabilan kerana malas
berfikir mula digugat dengan pandangan-pandangan alternatif dan kritis.
Akhirnya, silent minority pula yang
menjadi the noisy majority. Kita
lihat fenomena ini diterjemahkan dengan tsunami PRU-12 yang melahirkan
masyarakat yang berani bersuara. Sinar Harian yang wujud di era perubahan ini seiring
dengan perubahan pemikiran masyarakat. Kerana itu, Sinar Harian mendapat
sambutan yang baik.
Setelah lima tahun
menemui pembaca, Sinar Harian menerima cabaran yang besar dari dalam. Apabila
akhbar-akhbar mula mengadaptasi versi atas talian masing-masing, Sinar Harian
pun ikut sama kerana tidak mahu ketinggalan. Tatkala itu, ia menyaksikan banyak
sekali akhbar-akhbar versi cetak terutamanya di barat yang gulung tikar kerana
tidak mampu bersaing dengan versi online mereka
sendiri.
Apabila akhbar boleh
dibaca secara percuma di internet, siapa lagi yang mahu membeli? Sinar Harian mengkaji
senario itu. Sinar mesti seperti orang lain yang punyai versi online yang tentunya percuma. Dalam waktu
yang sama, versi cetaknya perlu hidup untuk periuk nasi.
Mujurlah kami cepat
menangani situasi ini dengan pendekatan menang-menang. Versi cetak dan versi
atas talian harus saling bergantung agar kedua-duanya hidup. Caranya ialah
dengan mengkhususkan versi atas talian sebagai penyampai berita, dan versi
cetak sebagai penyampai cerita. Ya. Orang sekarang mahu cepat tahu semua benda
dengan segera. Kemalangan, rompakan, banjir, pengumuman belanjawan, dasar-dasar
dan keputusan bolasepak ingin diketahui secara real time. Itulah peranan Sinar Online.
Namun, jika ingin
mengetahui mengapa kemalangan terjadi, bagaimana rompakan dilakukan, apa jadi
dengan murid di sekolah yang banjir, berapa jumlah yang boleh dijimat berikutan
dengan pengumuman belanjawan dan apa komen penjaring gol kemenangan pasukannya,
mereka boleh mendapatkan ceritanya dari versi cetak Sinar Harian. Sinar Harian Online
membuat berita, Sinar Harian Cetak menggarap cerita.
Sinar Online juga membantu
Sinar Harian dengan berperanan sebagai pemberi maklumat apakah berita yang akan
menjadi pilihan pembaca pada keesokan hari. Dengan menggunakan data daripada Google Analytics dan lain-lain perisian,
ia boleh membaca trend berita yang
diminati. Maklumat itu menjadi pertimbangan untuk tajuk akhbar Sinar Harian
versi cetak pada keesokan harinya.
Kini, Sinar Harian sudah
punyai identitinya yang tersendiri. Ia adalah sebuah akhbar yang begitu cepat
dewasa dengan bentangan isu-isu yang kadangkala tidak menjadi pilihan
akhbar-akhbar lain. Kami tidak sehandal mana pun kerana masih belum konsisten.
Seolah-olah, kami ini seumpama gadis sunti yang buat
pertama kali memakai kasut tumit tinggi. Tatkala ramai yang bersiul-siul
melihat kami melintasi jalan dengan gaya yang meliuk lentuk, tiba-tiba kami jatuh
tersembam kerana belum pandai menyimbangkan badan mengikut gaya seorang wanita
anggun! Kami masih mentah!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.8.16.
sinar harian..terbaik..keep on moving..
ReplyDeleteTerima kasih, puan!
ReplyDelete