Piccredit: fourthofficial.com
APA ADA PADA
LEE CHONG WEI?
LEE CHONG WEI?
BANYAK sekali yang
diperkatakan mengenai perlawanan akhir perseorangan badminton Olimpik 2016 di
antara jaguh negara Datuk Lee Chong Wei dan pemain Cina, Chen Long. Tiba-tiba,
sukan badminton diperkatakan oleh segenap rakyat Malaysia. Mereka mengikuti
siaran secara langsung dari Pavilion 4, Riocentro, Rio de Janeiro, Brazil.
Masing-masing mengharap juara badminton Malaysia itu dapat merangkul pingat
emas setelah mencubanya di dua olimpik sebelum ini.
Penyudahnya, Lee Chong
Wei gagal mengalahkan Chen Long pada perlawanan itu. Buat mereka yang baharu
menaruh minat kepada badminton kerana ia penyumbang pingat di olimpik, mereka
kecewa dengan kekalahan itu. Namun, bagi mereka yang senantiasa mengikuti sukan
itu, kekalahan Chong Wei dilihat dari sudut pandang yang pelbagai. Chong Wei tidak
kalah. Beliau tidak juga menang. Tetapi sebenarnya beliau telah berjaya sebagai
juara jika kita lihat dari konteks yang lebih luas.
Chong Wei hanya kalah
pertempuran itu tetapi sudah menang peperangan. He lost the battle but has already won the war. Sehingga 18 Ogos
2016, Chong Wei masih menduduki tangga pertama pemain nombor satu dunia yang dikeluarkan
oleh Badminton World Federation(BWF) dengan dengan 91,773 mata. Siapakah di
tangga kedua? Chen Long, dengan 86,984 mata.
Dengan kedudukan begitu, Chen
Long boleh mengatasi Chong Wei pada bila-bila masa untuk menduduki tangga
pemain nombor satu dunia. Tetapi, Chong Wei tidak lagi menyuarakan niatnya hendak menggantung reket. Jika
kita kenal pemain ini, kita akan dapati yang beliau tidak akan meninggalkan gelanggang
begitu-begitu sahaja.
Chong Wei adalah pemain
nombor satu dunia menurut ranking BWF selama lapan tahun dari 2006 hingga 2014.
Kedudukannya merudum ke tangga 182 apabila digantung kerana gagal dalam ujian dadah.
Namun, setelah beliau bebas hukuman, Chong Wei memanjat satu demi satu anak tangga
dengan penuh gaya ke tangga nombor satu kembali pada tahun ini.
Meskipun tidak dapat
menggenggam pingat emas walaupun dalam percubaan yang ketiga, beliau sebenarnya
berjaya. Chong Wei berjaya mengalahkan Lin Dan dalam perlawanan separuh akhir. Bukankah
Lin Dan pemain yang tidak dapat dikalahkan Chong Wei dalam perlawanan akhir dua
olimpik sebelum ini? Apabila Chong Wei menewaskan Lin Dan dalam pusingan
separuh akhir tempoh hari, bukankah beliau berjaya menewaskan nemesisnya itu? Dalam konteks ini, Chong
Wei adalah juara kerana telah menewaskan juara olimpik itu.
Ramai yang bercakap mengenai
bagaimana memperoleh kejayaan. Tetapi, tidak ramai yang berkata mengenai
bagaimana untuk mengekalkan kejayaan itu. Chong Wei adalah contoh yang semua
orang boleh lihat. Untuk berjaya dan mengekalkan kejayaan, latihan yang
konsisten adalah rahsianya. Practice
makes perfect, mengikut pepatah Inggeris.
Untuk kita, berusahalah
tanpa mengenal lelah. Beristiqamah dalam merancang apa yang diingini sama ada
secara teori mahupun praktik. Bertindak setelah berfikir. Bukan berfikir tanpa
bertindak mahupin bertindak tanpa berfikir. Tetapi, apa yang diusahakan itu
tidak akan berhasil dipertahankan jika tanpa ujian berdepan dengan masalah yang
sebenar.
Lihatlah Chong Wei…
setiap kali memukul bulutangkis, beliau menunggu pukulan balas lawan sebelum
bergerak. Meskipun dia menunggu, dia dapat menguasai permainan hanya kerana
meletak kesabaran meskipun selama setengah saat. Hanya dengan cara itu, dia
dapat membuat hantaran balas yang tidak dapat dijangkau pihak lawan. Kita? Bila
berdepan dengan satu cabaran, reaksi kita kerapkali berlebih-lebih dari
sepatutnya. Jika pemandu lain memintas jalan kita, kita bunyikan hon, maki
hamun dan membebel hingga separuh hari.
Chong Wei tidak pernah
menyerah kalah. Bila ketinggalan mata, dia akan berusaha merapatkan jurang. Jarang
sekali beliau tewas dengan mata yang jauh bezanya. Mengapa dia boleh begitu?
Dia dapat bertindak sedemikian kerana dia fokus dengan matlamatnya untuk
mendapat mata. Biarpun merangkak, dia tetap berusaha membalas pukulan. Yang
penting, Chong Wei senantiasa bergerak di tengah gelanggang.
Kita? Kita punyai pelbagai
alasan di dalam minda untuk tidak melakukan sesuatu, walaupun kita sudah
mengambil keputusan untuk melakukannya. Sepatutnya, kita harus punyai pelbagai
alasan untuk berbuat sesuatu. Yang penting kita senantiasa bergerak, kerana
dengan bergeraklah kita akan mudah menangkis cabaran.
Chong Wei seorang yang
mempamerkan ketenangan meskipun dalam tekanan. Dia akan mencuit hidungnya
apabila melakukan kesilapan. Namun, kita tidak pernah nampak dadanya berombak
mempamerkan kepenatan. Dengan bereaksi tenang, pihak lawan tidak boleh membaca
emosinya. Keadaan ini membuatkan lawannya gagal menggunakan serangan psikologi
sebagai jalan untuk menewaskannya.
Kita? Sedikit sahaja
dikomen, kita sudah naik hantu dan beremosi 24 jam. Mudahlah orang permainkan
kita apabila melihat kita mudah sekali melatah. Senang juga kita diserang
penyakit apabila gagal mengawal serangan tulisan mahupun verbal. Masalah kita
ialah, kita beremosi bukan kerana dikomen kerana melakukan sesuatu. Tetapi kerap
meroyan bila dikritik mengenai sesuatu yang kita tidak lakukan pun!
Masih belum terlambat
untuk kita belajar dari seorang juara dunia yang kini berada di depan mata kita
ini!
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.8.16.
No comments:
Post a Comment