Piccredit: popiyah.com
BEZANYA MERDEKAKU
DAN MERDEKAMU
DAN MERDEKAMU
Syukur
kehadrat Illahi kerana pada hari ini kita dapat menyambut Hari Kemerdekaan Yang
ke-59. Setiap kali tibanya tarikh keramat ini, layar minda saya akan
menayangkan paparan aktiviti yang saya lalui di zaman persekolahan di bandar Mersing
pada tahun-tahun 60-an. Hari Merdeka
adalah hari di mana saya dan rakan-rakan sekolah akan berbaris di padang majlis
daerah untuk menyanyikan lagu Negaraku,
dan lagu Bangsa Johor yang
kemudiannya diikuti dengan lagu patriotik seperti Malaysia Berjaya.
Setelah
itu, wakil rakyat akan berucap. Sebaik sahaja majlis sambutan itu tamat, kami
akan berlari beramai-ramai ke panggung wayang kira-kira setengah kilometer daripada
padang majlis daerah. Pada hari merdeka akan ada tayangan wayang percuma. Biasanya
filem Hollywood seperti Tarzan atau
filem peperangan seperti Guns of Navarone.
Sebaik sahaja tayangan tamat, kami akan berlari semula ke padang majlis
bandaran untuk menyaksikan sukan rakyat. Ada juga lumba basikal dan lumba beca.
Di sungai pula akan ada perlumbaan perahu atau bot.
Pada
sebelah malam pula saya dan ibubapa akan berjalan dari Kampung Sri Lalang
kira-kira satu kilometer dari bandar Mersing untuk menyaksikan pula perarakan
kereta berhias. Kadangkala, ada pula wayang pacak di tengah padang majlis
daerah yang menayangkan filem Melayu seperti cerita Ali Baba Bujang Lapok arahan seniman P. Ramlee.
Bagi
saya, 31 Ogos adalah tarikh yang punyai erti tersendiri. Radio akan memainkan lagu-lagu
patriotik. Televisyen pula menayangkan montaj Tunku Abdul Rahman yang melaung ‘Merdeka!
Merdeka! Merdeka!’ di stadium. Sebagai kanak-kanak, itulah erti kemerdekaan. Ia
adalah hari cuti, hari berseronok dan hari di mana banyak sekali Jalur Gemilang
dikibarkan. Lurus dan simple sahaja
pemahaman saya mengenai apa itu merdeka.
Namun,
persepsi yang mudah itu mula berubah apabila Malaysia berdepan dengan
konfrantasi dengan Indonesia. Hari-hari, bersama keluarga, saya mendengar
berita radio mengenai ancaman negara Indonesia terhadap Malaysia. Kadangkala abang
dapat memutar ke stesyen Radio Kalimantan. Maka laungan perang psikologi
Indonesia terhadap Malaysia akan kedengaran. Frasa ‘ganyang Malaysia,’ kerap
disebut-sebut juruhebah Indonesia.
Rasa
takut dan ngeri mula terasa. Bagaimana jika Indonesia dapat menawan Malaysia?
Ayah kata, kita semua akan lari ke hutan. Kita akan berpakaian compang-camping
dan hanya makan ubi kayu seperti di zaman Jepun. ‘Teruknya hidup jika kita
hilang kemerdekaan,’ begitu detik hati saya.
Apabila
tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 berikutan rasa tidak puashati di antara kaum
selepas Pilihanraya Umum ke-3, saya semakin risau. Bagaimana saya hendak hidup
dan membesar sekiranya rakyat asyik bergaduh sesama sendiri? Keadaan ketika itu
begitu mencemaskan. Saban hari ada sahaja berita yang mendukacitakan berlaku di
sepanjang tempoh itu. Mujur saya tinggal di Mersing, sebuah daerah yang aman
dan jauh dari kekecohan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Keadaan
mula kendur apabila para pemimpin politik memainkan peranan untuk meredakan
ketegangan ras utama Melayu, Cina dan India. Semua pihak berkuasa tempatan, jabatan
dan sekolah disaran untuk menganjurkan majlis beramah mesra di antara ras yang
dikenali sebagai Majlis Muhibbah.
Dua
noda hitam dalam sejarah negara itu meninggalkan kesan kepada saya akan betapa
pentingnya kita menjaga keamanan agar ia akan melestarikan kemerdekaan. Kerana
pernah diancam kebimbangan itu, boleh dikatakan bulu roma saya akan merinding apabila
melihat Jalur Gemilang berkibar. Di panggung wayang, saya tidak akan toleh kiri
kanan untuk berdiri apabila lagu Negaraku
dimainkan. Apa nak malu dengan Negaraku?
Bangga lagi, adalah!
Kadangkala,
apabila memikirkan itu, saya boleh mengerti mengapa generasi muda pada hari ini
tidak dapat menghayati erti kemerdekaan. Bagi mereka, kemerdekaan itu perbarisan
yang mereka tonton sambil terbaring di depan TV, pertunjukan bunga api, konsert
dan pesta-pestaan. Jalur Gemilang hanyalah bendera yang dikibar ‘di musim
kemerdekaan.’
Rasa
bangga terhadap negara hanya akan terasa apabila Lee Chong Wei memasuki
pertanding akhir Sukan Olimpik. Sukan. Itulah satu-satunya situasi yang akan
mencetuskan fenomena rasa bangga kepada negara. Maaf cakap, lain-lain tidak
ada. Kerana apa? Kerana kita tidak punyai apa-apa yang hendak dibanggakan
secara bersama-sama.
Generasi
ibu bapa saya yang hidup di zaman pemerintahan Jepun dan zaman ancaman komunis
lebih punyai rasa sayangkan negara daripada generasi saya. Nyawa mereka di
hujung senjata. Kerana itu generasi tua, tidak kira Melayu, Cina dan India amat
menghargai kemerdekaan negara. Persoalannya, apakah kita perlu alami kehidupan yang
merempat di tanahair sendiri, baharulah kita sedar betapa tingginya harga
sebuah kemerdekaan?
Saya
teringat larangan emak tatkala saya kecil dahulu. Di antara larangannya ialah
menghalang saya memegang bal lampu yang bernyala. ‘Jangan pegang, nanti tangan
melecur.’ Saya angguk. Tetapi dalam diam-diam di belakangnya, saya pegang juga.
Tatkala tangan berasa terbakar, ketika itulah saya menyesal. Saya bukan degil.
Tapi saya hanya ingin mengalami sendiri apa itu kepedihan.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 31.8.16.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete