Piccredit: sinarharian
SALAM YANG ADA MAKNA
SEKEPING foto membawa 1,000 erti. Pelbagai tafsiran terlintas di layar minda kita apabila
menatap gambar Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang
bersalaman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lalu. Salam mereka bukannya
salam biasa yang formal. Sebaliknya, kedua-dua tangan kanan dan kiri mereka
saling bersilang dan saling tergenggam erat.
Body language
keakraban itu menggambarkan perasaan rindu dua sahabat, pertautan kembali dua
insan yang pernah menjadi mentor-mentee dan silaturrahim dua buah ketua
keluarga yang sudah lama terpisah. Kedua-duanya pasti sudah berkirim salam,
bertanya khabar dan berkomunikasi melalui pesan memesan sebelum mereka bertemu lalu
terakam sebagai detik bersejarah dua orang insan. Indah, tenang dan hening amat,
jika kita teliti daripada sudut kemanusiaan.
Namun,
salaman itu adalah salaman yang ada makna. Ertinya dalam. Walaupun kita tidak
tahu apa yang Tun M dan DS Anwar perbualkan, hampir pasti bahasa tubuh mereka
sudahpun memberi mesej ‘Let’s talk business.’
Bila memikirkan itu, segala momen yang indah, tenang dan hening yang terlihat
mula berubah menjadi riak, kocak, ombak, gelombang dan gelora.
Barangkali,
inilah tafsiran kebanyakan daripada mereka yang melihat daripada sudut politik.
Daripada setinggi-tinggi kepimpinan sehinggalah serendah-rendah ahli
parti-parti politik, masing-masing akan melihat ia sebagai sebuah kejayaan
mahupun sebagai suatu cabaran; bergantung dari sudut mana mereka memerhati.
Justeru, ada yang melihatnya dengan helaan nafas yang panjang ~ kerana lega.
Ada juga memandangnya dengan helaan nafas yang panjang ~ kerana kesesakan
paru-paru!
Kita
tidak boleh tidakapakan foto yang ditatap itu. Itu penolakan kepada kenyataan.
Jangan nafikan bahawa ia tidak apa-apa jika tidak mahu terperosok dalam sindrom
penafian. Ia benar. Ia berlaku. Tidak perlu spekulasi lagi bahawa Tun M dan DS
Anwar tidak mungkin akan bertentang empat mata.
Ia
bukan teka-teki kerana tidak pernah merebak pun tanda-tanda mereka akan
bersefahaman, apatah lagi bertentang mata dan bersalaman penuh akrab. Namun,
apabila ia berlaku, ia tidak memperlihat bahawa ia suatu tindakan yang spontan.
Sebaliknya, ia adalah sesuatu yang sudah diatur. Pasti ia direncana oleh
seseorang yang dipercayai oleh kedua-dua personaliti itu.
Jadi,
selepas ini apa, ya? Kita harus lihat, DS Anwar sebagai seorang tokoh
pembangkang yang diterima oleh mana-mana pihak. Di PKR, Dap, Amanah, malah Pas
dan kini bakal parti Bersatu telah menyaksikan persetujuan awal DS Anwar dengan
kehadiran Tun M di blok pembangkang.
Mereka
di Pakatan Rakyat yang belum boleh menerima Tun M mungkin terdiam memikirkan
pendirian apabila DS Anwar boleh bertukar senyuman dengan tokoh politik itu. Faktor
DS Anwar telah memberi imej bahawa Tun M kini sudah sah bersama mereka.
Di
pihak BN dan UMNO pula, Tun M dilihat semakin jauh daripada mereka. Bagai sudah
berpatah arang dengan parti yang pernah diterajuinya. Mereka yang kecewa dengan
langkah Tun M ke pihak pembangkang khususnya bila duduk semeja dengan Lim Kit
Siang mula mencongak kebarangkalian pendirian apabila melihat Tun M sudah
berbaik dengan DS Anwar.
Bagaimana
dengan mereka yang tidak menyertai mana-mana blok politik seperti ramai di luar
sana? Memilih parti mana yang diyakini kini kian sukar. Tun M, TS Muhyiddin, DS
Mukhriz yang pernah menjadi pemimpin UMNO kini sudah bersama pembangkang. Bekas
tokoh-tokoh Pas seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa kini
menerajui Amanah. Dan, Pas yang dipimpin Dato’ Seri Haji Hadi Awang sudah boleh
kelihatan berbaik-baik dengan UMNO. Tetapi Ikatan yang berbaik dengan Pas pula
tidak begitu baik dengan UMNO meskipun ada pemimpinnya daripada Umno atau
pro-BN. Menepati pepatah politik ~ tidak ada persahabatan kekal; tidak ada juga
musuh yang kekal.
Political fusion
ini sedang berlaku. Ramai yang tidak boleh menerima apa yang terjadi. Ramai
yang tidak boleh menerima melihat tindakan-tindakan individu yang dahulunya
mereka hormati. Kita boleh ketawa ataupun marah dengan tindakan-tindakan mereka
ini. Namun, yang harus diteliti ialah kesan terhadap tindakan mereka ini kepada
kumpulan masing-masing.
Betapa
pun, semuanya akan mengendur buat seketika apabila Bersatu wujud sebagai sebuah
parti politik yang sah. Ketika itu nanti, akan kelihatan garisan jelas yang
memisah dua pihak yang saling bertentangan. Seolah-olah sudah bersedia untuk
bertempur di medan pilihanraya.
Namun,
sebaik sahaja angin PRU bertiup, sebuah lagi political alignment akan berlaku. Apakah faktor sokongan yang bakal
memberat ke kiri atau ke kanan akan ditentukan oleh Pas kerana pendirian parti
itu masih belum terserlah? Ketika itu, akan berakhirkah sebuah permulaan, dan
bermulakah sebuah pengakhiran?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.9.16.
No comments:
Post a Comment