Piccredit: 1000awesomethings.com
KEPADA SIAPAKAH
HENDAK
MENGADU
SEWAKTU kecil, saya lebih
manja dengan emak. Jika saya mahu apa-apa, saya akan pinta dari emak. Jika saya
sakit, saya akan beritahu emak. Malah, apabila saya diusik abang-abang, saya
akan menjerit memanggil emak. Saya tidak rapat dengan ayah. Bila saya mahu
yuran sekolah, kepada emaklah saya meminta. Emak saya pula akan sampaikan
kepada ayah. Begitulah… Saya percaya, ramai di antara kita di sini lebih rapat
samada dengan ibu mahupun ayah.
Apabila saya sendiri
menjadi ayah, saya perasan ada di antara anak-anak saya lebih rapat dengan
emaknya. Isteri saya menjadi orang perantaraan. Sedari anak-anak saya kecil,
sehinggalah mereka dewasa, mereka punyai pilihan samada untuk menyampaikan
isihati mereka samada dengan saya mahupun kepada isteri saya.
Namun begitu, saya tidak
berkecil hati seandainya mana-mana anak saya menyampaikan hasrat mereka melalui
isteri saya. Barangkali, mereka kelu lidah untuk bercerita dengan saya. Yang
penting, akhirnya saya dapat maklumat mengenai masalah mereka dan akan membantu
menyelesaikannya.
Situasi kita di dalam
masyarakat, pertubuhan dan syarikat juga begitu. Kita akan memilih seseorang
individu mahupun ketua untuk menyampaikan masalah agar dia dapat
memanjangkannya kepada pihak yang bertanggungjawab. Misalnya, bila hendak
menyampaikan cadangan membesarkan surau, kita tidak menyatakannya melalui
mesyuarat. Tetapi, melalui imam.
Begitu juga di dalam
persatuan, kita sebagai ahli akan menyampaikan cadangan tarikh lawatan ke rumah
anak-anak yatim kepada seorang aktivis persatuan, bukan kepada setiausaha
mahupun presidennya. Di dalam syarikat pula kita akan mencadangkan cara
memperbaiki sistem kerja kepada seorang rakan sekerja yang baik dengan bos
kita.
Seperti seseorang anak
yang memilih ibu atau ayah untuk menyampaikan kehendak, kita sebagai qariah
surau, ahli persatuan mahupun pekerja di sesebuah syarikat punyai pilihan,
kepada individu manakah kita hendak sampaikan apa sahaja kemusykilan. Kita
tidak memilih Encik A bukan kerana kita tidak percayakan dia, tetapi kerana
kita lebih selesa dengan Encik B.
Dalam pada itu, apabila
kita berada di pihak yang berkuasa persatuan mahupun syarikat, kita kenalah
faham bahawa anak-anak buah kita punyai keselesaan kepada siapakah mereka
hendak sampaikan masalah. Seperti si anak yang akan memilih ibu atau ayahnya,
orang bawahan akan punyai pilihannya.
Justeru, kita tidak
bolehlah berasa kecil hati apatah lagi meroyan apabila orang bawahan kita
menyampaikan masalahnya kepada penolong kita dan bukannya kepada kita sendiri.
Dia bukannya tidak sukakan kita atau takutkan kita. Sebaliknya dia berasa
selesa menyampaikan hasratnya kepada penolong kita. Yang penting, apa jua yang
terbuku di hatinya dapat disampaikan dengan telus dan tulus. Dan, masalah itu
akan sampai jua kepada kita untuk diselesaikan demi kebaikan semua.
Komunikasi di dalam
institusi keluarga, pertubuhan, organisasi mahupun syarikat pula pada hari ini
telah juga diambil alih oleh media. Banyak masalah individu seperti tidak dapat
rumah, tidak cukup belanja perubatan, ataupun masalah perjawatan pun
disampaikan kepada media cetak mahupun elektronik. Masalah-masalah rakyat yang
lebih besar seperti paip yang kotor airnya, longkang tersumbat dan jalan
berlubang tidak dilaporkan kepada pihak yang sepatutnya secara langsung.
Sebaliknya, rakyat lebih senang bercerita kepada media.
Dari aspek undang-undang,
sosial mahupun politik, media menjadi penampan dan pemangkin untuk
menyelesaikan masalah. Seperti emak yang menjadi perantara dalam menyampaikan
masalah anak kepada ayahnya, atau penolong yang memanjangkan masalah seseorang
pekerja kepada bos syarikat, media juga memainkan peranan itu. Kerana itu,
media tidak boleh dikekang dan dihalang dalam menyampaikan apa yang menjadi
masalah rakyat. Ia mesti diberikan kebebasan untuk menyampaikan suara.
Media punyai peranan
pentingnya. Jika dihalang memainkan peranan sebagai perantara, ia akan
mendiamkan diri kerana serik sebagai penyampai. Tamsilannya, jika si emak
membisu seribu bahasa apabila kerap dimarahi si ayah kerana menyampaikan
masalah si anak, akhirnya si anak akan menjadi anak yang bermasalah.
Masyarakat yang tidak
punyai tempat untuk menyampaikan masalah pula akan memanifestasikan perasaannya
dengan dua cara. Pertama, dengan cara
membisu. Kedua, dengan cara meliar.
Insya-ALLAH artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 21.9.16.
Assalamulaikum Admin,
ReplyDeleteMohon untuk dimasukkan blog saya ke blok tuan. Blog saya:
biarlembuyangjadilembu.blogspot.com
Sekiranya sudah dimasukkan harap maklumkan kat email saya: biarlembuyangjadilembu@gmail.com
Terima kasih