Piccredit: 123rf.com
INILAH TANAH TUMPAH DARAHKU
BARU-BARU ini kita bersorak
sorai tatkala menonton perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki Sukan
Olimpik Rio 2016 di antara Lee Chong Wei dan Chen Long. Chong Wei tewas dan mendapat
pingat Perak. Sebelum itu, pasangan regu campuran badminton Chan Peng Soon dan
Goh Liu Ying serta pasangan regu lelaki badminton Goh V Shem dan Tan Wee Kiong juga memperoleh pingat
perak, Dalam acara renang platform 10M seirama wanita pula, Cheong Jun Hoong dan Pandalela Rinong memperoleh pingat perak
sementara Azizulhasni Awang pula memperoleh pingat gangsa dalam acara lumba basikal Keirin Lelaki.
Akhirnya, kita
memperoleh empat pingat perak dan sebuah pingat gangsa. Meskipun terkilan, kita
tetap bersyukur dengan kejayaan terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan di
sukan olimpik musim panas itu. Kehebatan mereka menjadi topik perbualan di
mana-mana.
Belum pun reda
rasa bangga kita kepada ahli-ahli sukan negara itu, tiba-tiba muncul pula
ahli-ahli sukan paralimpik kita yang memperoleh tiga pingat emas. Ketika artikel ini ditulis, kita merangkul
pingat-pingat itu melalui acara 100M T36 yang dijuarai oleh Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Lontar Peluru F20 oleh Muhammad
Ziyad Zolkefli dan acara Lompat Jauh T20
yang dijuarai oleh Abdul Latif Romly.
Sudah
begitu lama kita tidak dibuai perasaan yang begitu gembira dan bangga bila
memandang Jalur Gemilang. Sudah begitu lama juga kita tidak berdiri bulu roma
apabila terdengar lagu Negaraku berkumandang. Kejayaan ahli-ahli sukan itu memberi
sebab kepada kita untuk berasa bangga kepada negara. Kita bangga kerana kita
juga sebahagian daripada rakyat Malaysia. Tidak kira apa bangsa dan keturunan,
kita punyai perasaan yang serupa.
Ramai
yang berkata, kemenangan-kemenangan itu menyatukan Malaysia. Benarkah? Benar untuk
beberapa ketika. Selepas itu, rasa penyatuan itu akan surut dan menghilang.
Perasaan itu hanya seketika kerana rasa bangga itu datang dari elemen luar, bukan daripada dalam diri.
Sementelah
kita berada dalam tempoh sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, elok juga
kita menilik ke dalam diri, tebal nipisnya patriotisme di dalam sanubari. Patriotisme
adalah suatu perasaan cinta seseorang terhadap negaranya. Ini negara tumpah
darahnya, tempat hidup dan matinya. Inilah negara yang akan kita pertahankan
kedaulatannya daripada ancaman musuh.
Jika
dahulu, ancaman musuh datang dalam bentuk fizikal melalui peperangan yang
bertujuan untuk menakluk sesebuah negara. Tidak lama dahulu, peristiwa
pencerobohan di Lahad Datu telah membuat kita berasa terancam. Situasi itu
telah menjadikan kita memberi sokongan moral yang tidak berbelah bahagi kepada
pasukan tentera kita, sekurang-kurangnya dengan meredakan perbalahan politik,
atau bercakap yang bukan-bukan hingga meniup elemen sengketa sesama sendiri.
Berpuluh-puluh
tahun sebelum itu, kita telah bersatu untuk menentang serangan politik British
dengan menolak Malayan Union. Kita memperoleh kemerdekaan apabila kita bersatu
untuk menamatkan pemerintahan penjajah. Setelah itu, kita berdepan dengan
konfrontasi Indonesia dan turut berjaya menghentikan serangan fizikal serta ideologi
komunis. Serangan-serangan yang bertahun-tahun itu membuatkan kita punyai rasa patriotisme
yang berpanjangan.
Tetapi,
pada hari ini, tanpa ancaman-ancaman fizikal itu, kita berasa selesa dan tidak
berasa terancam. Kita sudah hilang feel sayangkan negara, hinggakan perasaan bangga
dengan kejayaan ahli-ahli sukan itu sudah dijadikan suatu perasaan banggakan
negara yang hebat sangat. Padahal, perasaan itu hanya seketika sahaja.
Dalam
pada itu, ancaman musuh pada hari ini datang dalam bentuk yang pelbagai melalui
serangan ekonomi, serangan sosial, serangan ideologi dan juga serangan agama.
Sayang sekali, serangan-serangan dalam bentuk ini dipandang sepi kerana kita
tidak berasa ia suatu bentuk serangan yang akan menjadikan kita porak peranda
dan akhirnya berbalah hingga menjadikan kita lemah.
Kita
tidak akan lagi ditawan secara fizikal. Tetapi ekonomi, sosial, ideologi dan
agama kita amat terdedah kepada serangan-serangan yang akan meruntuhkan
jatidiri kita sebagai rakyat Malaysia. Lihatlah kedudukan ekonomi kita
berbanding dengan negara-negara serantau yang lain. Daripada segi sosial, wajah-wajah
siapakah yang berada di sekeliling kita? Bagaimanakah pula konflik dan intrig
politik yang tidak bernoktah di dalam negara kita? Dan, bagaimana pula kita
yang rata-ratanya rakyat yang beragama, semakin menipis toleransi beragamanya?
Hampir
setiap saat, ekonomi, sosial, ideologi dan agama kita diserang secara
bertubi-tubi. Kita tidak berasa sakit kerana ia memakan secara dalaman. Namun,
akhirnya, ia akan muncul dengan wajah hodohnya. Umpama kanser yang akan
menunjukkan wajahnya apabila sampai ke tahap empat. Tatkala itu, kita semua rakyat
Malaysia hendak salahkan siapa?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 14.9.16.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 14.9.16.
Kita hampir kehilangan rasa sayang pd negara.. Huhu.. Pemikiran terjajah..
ReplyDelete