Piccredit: fairpress.eu
BILA BERHENTI ATAU
DIBERHENTI KERJA…
DIBERHENTI KERJA…
SUDUT PANDANG PERTAMA. Dalam iklim ekonomi yang tidak begitu sihat, sebilangan daripada kita mula risau bila mendengar khabar syarikat tempat kerja akan mengurangkan kakitangan. Andainya kita mula lewat menerima gaji pada tarikh yang sepatutnya atau menerima hanya sebahagian daripadanya, kita boleh mengagak bahawa pihak syarikat kesempitan wang.
Bagi syarikat yang
bertanggungjawab, mereka akan mengumumkan keadaan sebenar syarikat. Mungkin,
mereka akan memotong gaji. Itu lebih baik daripada sesetengah syarikat yang kantoi
dalam membayar gaji. Syarikat yang tidak bertanggungjawab pula mengunci pintu tatkala
kita datang untuk bekerja pada esok pagi. Ada juga majikannya yang lesap.
Amat malang apabila kita
yang diberhentikan kerja kerana syarikat gulung tikar. Sesiapa pun tidak mahu
perkara itu terjadi, lebih-lebih lagi jika tiada tanda-tanda menunjukkan
syarikat tempat kita bekerja itu akan bungkus. Betapa pun, kita yang diberhentikan
kerja samada kerana perniagaan syarikat merosot mahupun kerana kelemahan
tataurus syarikat, akan mengalami pedihnya. Lebih-lebih lagi apabila kita tidak
bersedia berdepan dengan keadaan kehilangan kerja.
Jika kita punyai kerja
kedua mahupun ketiga, mungkin ia boleh menampung perbelanjaan walaupun dengan
mengikat perut. Mungkin perniagaan kecil-kecilan menjual tudung secara atas
talian, membungkus kerepek untuk dijual, atau menjadi broker menjual kereta
terpakai, boleh membantu sedikit sebanyak keperluan asas seperti makan dan
bayaran bil-bil dan ansuran.
Bila kita boleh bernafas,
walaupun sesak, kita boleh mencari kerja lain atau memulakan usaha yang merintis
jalan untuk memperoleh pendapatan yang lebih baik. Walau apa pun, selagi usia
panjang, maka selagi itulah rezeki itu dijanjikan ada oleh-NYA, samada untuk
diri sendiri mahupun mereka yang di bawah tanggungan kita.
SUDUT PANDANG KEDUA. Dalam
keadaan ekonomi yang baik atau sebaliknya, terdapat sebilangan daripada mereka
yang sentiasa berasa tidak puashati dengan apa yang diperuntukkan oleh
syarikat. Kenaikan gaji hanya sedikit, elaun terlalu kecil, tidak cukup kerja
lebih masa, susah mendapat cuti, tiada bonus dan apa sahaja yang tidak menepati
citarasa akan menjadi kompelin.
Itu belum termasuk rakan
sekerja yang tidak beri kerjasama, ketua yang tidak beri cukup rehat, majikan
yang kedekut, kerusi meja yang buruk, susah dapat parkir, jauh dari tempat
makan dan entah apa-apa lagi yang menjadi bebelan mereka. Hari demi hari, hanya
cemuhan sahaja yang dihamburkan. Tidak ada apa-apa yang baik syarikat berikan
kepadanya kecuali hanyalah keburukan demi keburukan. Tetapi, walaupun syarikat
tempatnya bekerja itu begitu buruk, dia masih tidak berhenti kerja!
Tiba-tiba, apabila dia
diberhentikan, kerana menjadi liabiliti syarikat, mulalah dia naik angin. Habis
ruang di media sosialnya menjadi tempat dia meluahkan perasaan. Umpatnya, majikannya
itu tidak adil kerana menamatkan perkhidmatannya. Padahal, dia sendiri yang
mengundang dirinya dibuang kerja.
SUDUT PANDANG KETIGA. Ada
majikan yang begitu sukar untuk mengambil tindakan terhadap kakitangannya. Jika
pun kakitangannya menunjukkan prestasi cemerlang, kenaikan gajinya
begitu-begitu sahaja. Selagi tenaga pekerjanya boleh dikerah, selagi itulah
diperah. Kenaikan RM100 dilihat sebagai tambahan RM1,200 bila didarab dengan 12
bulan ~ menyamai gajinya sebulan!
SUDUT PANDANG KEEMPAT. Terdapat
juga majikan yang sukar mengambil tindakan terhadap kakitangan yang bermasalah.
Kasihan, dia. Siapa nak beri makan diri dan keluarganya bila dia diberhentikan?
Biarlah dia terus bernaung di syarikat ini. Jika dia punyai masalah kerja,
kurangkan kerjanya! Padahal, pekerja inilah yang menjadi parasit yang
mengempiskan kantung syarikatnya.
SUDUT PANDANG KELIMA. Ada
pula kakitangan yang menghantar surat meletak jawatan. Sebab yang biasa ialah kerana
dia dapat gaji yang lebih baik di tempat lain. Kebanyakan majikan yang mampu
akan membuat tawaran berganda, semata-mata supaya kakitangan itu tidak
berhenti. Biasanya bila tawaran diterima, dia tidak jadi berhenti. Tetapi
percayalah, tidak sampai 12 bulan, dia akan menghantar lagi surat berhenti jika
gajinya tidak dinaikkan lebih tinggi. Majikan tidak boleh berkata apa pada kali
ini. Sebaliknya terpaksa melepaskan dia jua akhirnya.
SUDUT PANDANG KEENAM. Ada
rakan-rakan sepejabat yang menganjurkan majlis perpisahan yang syahdu siap
dengan jamuan serta cenderahati untuk kakitangan yang hendak bertukar kerja. Percayalah, orang yang hendak bertukar kerja
atas kehendaknya itu begitu gembira kerana tidak sabar untuk bertugas di tempat
baharu. Ironinya, yang hendak berhenti itulah yang sepatutnya menganjurkan
majlis jamuan untuk belanja kawan-kawan supaya dapat berkongsi kegembiraannya.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 28.9.16....
No comments:
Post a Comment