Piccredit: telegraph.co.uk
SETIAP PERKARA
AKAN HILANG
SERINYA
SAYA ingin mengajak anda
dalam sebuah eksperimen ringkas lagi mudah. Tujuan eksperimen ini adalah untuk
memahami persepsi manusia terhadap sesuatu yang baharu. Betapa sesuatu yang
baharu itu akan dianggap elok, molek, bagus, indah, hebat… tetapi setelah
beberapa lama, sesuatu yang dianggap luarbiasa itu sudah jadi biasa-biasa
sahaja. Tidak mengapa andainya jawapan anda itu tidak seperti yang saya
andaikan kerana jika begitu, artikel ini sebenarnya tidak betul. Bila demikian,
saya akan surrender, angkat bendera
putih kerana anda bukan manusia biasa!
Okey… cuba bayangkan
seorang artis yang paling cantik atau yang paling hensem. Apakah sudah terpapar
wajah artis itu di layar minda anda sekarang? Ya, ada sesuatu yang magis yang
terdapat pada wajahnya, suaranya mahupun peribadinya sehinggakan anda begitu
teruja dengannya. Jika pun anda hanya setakat meminati dan tidak menggilainya,
anda akan terhenti seketika menatap wajahnya di TV mahupun majalah dan akhbar
setiap kali terpandang dirinya. Dialah artis yang tercantik atau terhensem
berbanding dengan artis-artis lain.
Namun, apakah anda
perasan, sebelum ini ada juga artis-artis lain yang mempersonakan anda? Mereka
cantik atau hensem, bersuara menarik, berpersonaliti yang mengagum dengan aura
yang mempersona. Tetapi, apabila
direnung, mungkin terdapat lima atau enam artis yang pernah anda kagumi sebelum
ini. Nah, sekarang… mengapa anda tidak meminati artis-artis yang dahulu itu?
Mengapa artis terkini yang anda minati ini adalah yang tercantik dan terhebat? Mengapa
tidak lagi mereka yang sebelum ini anda minati?
Sebenarnya ini berkait
rapat dengan kesukaan kita kepada sesuatu yang baharu. Dalam bahasa Inggeris ia
digelar lustre. Lustre diumpamakan
sebagai cantik, berseri lagi berkilauan. Apa yang punyai lustre akan tiba masa apabila ia hilang lustrenya.
‘It has lost its lustre.’ Begitulah bidalan kata dalam bahasa
Inggeris. Konsep lustre yang hilang ini
terdapat dalam bahasa itu. Setahu saya, konsep ini tiada diperkata dalam bahasa
kita. Apabila sesuatu istilah itu tiada di dalam bahasa kita, kita tidak akan
punyai konsep ‘lost its lustre’ itu.
Apabila kita tidak punyai
kefahaman dengan konsep itu, maka berulang-ulang kalilah kita akan terperangkap
dengan kitaran tabiat terpesona dengan sesuatu yang baharu. Yang baharu itulah
yang tercantik, yang terbaik dan yang terhebat. Yang sebelum ini atau yang lama
itu sudah tak bagus. Mengapa? Kerana ia sudah lama.
Jika kita renungkan ingatan
kita kepada personaliti-personaliti yang muncul di media seperti ustaz-ustaz
misalnya, kita akan berasa ustaz-ustaz yang baharu muncul di media kinilah yang
terhebat berbanding dengan ustaz-ustaz yeng sebelum ini anda minati. Begitu jugalah
dengan personaliti radio, penyampai televisyen, pakar motivasi, chef, doktor
dan ahli sukan. (Maaf cakap jika saya melencong sedikit… orang sudah tidak suka
dengan politik kerana agaknya personaliti-personaliti politik adalah yang itu,
yang itu juga dan tidak bertukar ganti!)
Bila kita susuri dengan
minat kita dengan permainan-permainan video mahupun aplikasi, kita akan dapati
minat kita beralih semata-mata apabila muncul yang baharu. Dahulu ramai di
antara kita meminati permainan pac-man.
Kemudian beralih kepada permainan tetris,
diikuti dengan farmville, angry bird,
candy crush dan kini pokemon-go.
Saya pernah menyentuh di
artikel sebelum ini, bagaimana makanan yang baharu menjadi kegilaan. Sebelum
ini ramai yang meminati jambu batu potong yang disembur asam, kemudian mereka
meminati durian crepe, cupcakes,
goreng pisang cheese… dan kini ramai yang menggila kopi.
Sesuatu yang cepat
naiknya akan cepat juga turunnya. Itulah prinsip alam. Samada saham, jenis
perniagaan, jenis pekerjaan, makanan, permainan dan juga personaliti tidak
boleh lari daripada prinsip ini. Sedangkan alam itu saban hari memaparkan
proses dan progres evolusioner. Bagaimana matahari terbit di timur dan terbenam
di barat secara perlahan. Alam yang gelap perlahan-lahan cerah, kemudian
bersinar dan panas terik sebelum hangat, suam dan sejuk apabila siang berganti
malam, matahari diganti dengan bulan.
Amat bagus jika kita
meminati yang baharu. Ia tanda kita ingin berubah. Namun berubah semata-mata
kerana sukakan perubahan itu akhirnya akan menjadikan kita dipermain oleh
kitaran perubahan itu sendiri. Kita ingat, kita berubah. Sedangkan kita
sebenarnya hanya bertukar.
Jika kita hanya bertukar,
ia hanya kulit dan bukannya isi. Jika begitu, apakah maknanya jika apa yang
kita riuh rendahkan itu sebenarnya tidak punyai erti? Andainya kita maklum
bahawa tiap sesuatu itu akhirnya akan hilang serinya, kita tidak akan mudah
terpesona dan tergila-gila dengan sesuatu yang baharu. Sebaliknya, kita akan
tenang memilih apa yang sesuai dengan diri. Cukup sekadar bekal sebelum kita
berakhir nanti.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.8.16.
No comments:
Post a Comment