Piccredit: pinterest.com
MATA MEMANDANG
TAPI TAK MELIHAT
TAPI TAK MELIHAT
MATA. Salah satu daripada
lima pancaindera yang dianugerahkan Illahi kepada kita. Fungsinya untuk
melihat. Seseorang bayi yang baharu lahir tidak dapat memandang dengan jelas. Ia
hanya dapat mengesan cahaya dan pergerakan. Pada usianya sebulan, baharulah ia
dapat fokus kepada objek-objek sejauh kira-kira 30 sentimeter.
Pada usia tiga hingga
empat bulan, ia mula mengenal warna dan boleh melihat objek-objek yang lebih
kecil. Kemudian pandangannya boleh menjangkau sejauh satu meter dan memandang
pergerakan di sekelilingnya. Penglihatannya akan bertambah baik di usia
tiga hingga lima tahun.
Apabila kelopak mata
ditutup atau keadaan sekeliling menjadi gelap, mata tidak dapat melihat
apa-apa. Dalam kegelapan, kita perlukan cahaya untuk melihat. Jika tiada
cahaya, kita bergantung dengan deria pendengaran untuk mengagak apakah yang ada
di sekeliling kita. Bagi orang yang buta matanya, orang kata, mata hatinyalah
yang membantu dia untuk nampak.
Sebahagian besar daripada
kita boleh melihat melalui imaginasi.
Imej-imej yang tersimpan di dalam memori itu membolehkan kita melihat sesuatu
walaupun ia tiada di depan mata. Mungkin juga gabungan imej-imej itu membolehkan
kita membentuk imej-imej yang baharu. Para perekabentuk mencipta objek-objek
tiga dimensi yang belum pernah kita jumpa melalui daya kreatif imaginasi mereka.
Tanpa kita sedari, ramai
di antara kita, meskipun tiada kebolehan memandang daripada sudut kreatif, kita
dapat jua melihat imej-imej yang pelik di luar jangkauan minda. Ada kalanya di
luar logik akal. Malah, tiada had dan sempadan yang menghentikan pandangan itu
singgah di layar minda. Ya. Itulah mimpi.
Dalam keadaan biasa, kita
melihat secara realiti apa yang muncul di depan mata. Dalam keadaan mata
terpejam, bantuan imaginasi membantu untuk kita nampak. Dan, di alam mimpi kita
nampak apa sahaja yang diputar minda kita. Kesemuanya berpunca daripada mata,
penglihatan atau imaginasi. Mudah sahaja peranan mata yang dikurniakan oleh Yang
Maha Melihat.
Namun, pada hari ini, manusia
telah memutar peranan mata yang dibantu dengan bunyi, bau, rasa dan sentuhan
bersama imaginasi yang palsu dalam apa yang dinamakan sebagai virtual reality atau realiti yang dibuat-buat.
Virtual reality yang terkini itu
terpapar di monitor komputer mahupun dalam bentuk headset.
Seseorang yang
menggunakannya akan berasa tenggelam dalam dunia yang seakan-akan seperti di
alam yang sebenar. Alat virtual reality
ini digunakan dalam latihan simulasi penerbangan mahupun peperangan. Tetapi yang
banyak ialah dalam bentuk permainan. Suka-suka. Seronok, seronok.
Satu lagi bentuk alat
yang mempunyai daya memutar minda untuk berada di alam nyata mahupun fantasi ialah
melalui pendekatan augmented reality,
iaitu realiti palsu yang dihidupkan dengan melapiskan apa yang nyata dengan
imej yang palsu. Permainan Pokemon Go
adalah sebuah permainan menggunakan telefon pintar yang mengasyikkan kerana si
pemain akan terpesona bila berada di antara lapisan alam sebenar dan alam imej
yang palsu.
Fungsi asal mata sebagai
deria untuk melihat yang nyata, kini dikelirukan melalui dua pendekatan virtual reality dan augmented reality yang kebanyakannya
berbentuk permainan. Namun, tanpa kita sedari, selama mana kita berada di alam
ciptaan itu, kita akan berada dalam situasi immerse
~ tenggelam. Tenggelam juga boleh membawa makna lemas. Ertinya, lemas dan tidak
berdaya mencari daratan nyata. Orang lemas itu tidak dapat berbuat apa-apa
kerana segala pancainderanya sudah lesu.
Maaf cakap… jika
seseorang yang bermimpi buruk itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana rohnya
diheret ke sana ke mari dalam tidur, apakah tidak, permainan virtual reality dan augmented reality ini membawa sama roh kita ke sana ke mari dalam sedar?
Jika virtual reality itu sesuatu yang tidak ada, tetapi dibuat-buat
seperti ada, dan augmented reality itu
sesuatu yang ada tetapi dilapisi dengan sesuatu yang tiada, bukankah
kedua-duanya itu punyai unsur-unsur ghaib? Dalam permainan yang menggunakan virtual reality dan augmented reality ini, kita boleh melihat sesuatu yang ghaib.
Apakah juga apabila kita
asyik dengan alam ghaib di dunia nyata melalui permainan minda ini kita boleh
terlupa untuk mempelajari apa yang terkandung alam ghaib yang sebenar?
Bukankah alam barzah dan
alam akhirat itu alam-alam ghaib yang perlu kita ketahui dan sentiasa terpasak
dan terpasang dalam menjalani kehidupan ini? Jangan nanti bila terpesona dengan
keghaiban ciptaan manusia, kita tidak punyai ilmu untuk menghayati dan menjiwai
alam-alam ghaib yang kita bakal temui kelak.
Bersediakah kita berdepan
dengan keghaiban yang sepatutnya kita ketahui dan pelajari apabila hijabnya tersingkap?
Jangan lupa, alam ghaib itulah yang akan menjadi realiti buat diri kita nanti.
No comments:
Post a Comment